25 Apr 2011

Pengetua lepas tangan, ibu bapa buat laporan polis

SHAH ALAM, 25 April 2011 – Sekumpulan ibu bapa kepada pelajar yang dikatakan terlibat dalam pergaduhan di kawasan sekolah dan dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan pada 20 April lalu, mengesahkan sudah membuat laporan polis terhadap pengetua sekolah terbabit.


Gopalan Sithambaram berkata, para ibu bapa berkenaan tidak berpuas hati dengan perbuatan pengetua itu dan mahu Kementerian Pelajaran mengambil tindakan wajar terhadap beliau.

“Polis telah menahan 23 pelajar dalam kawasan sekolah dan dibawa ke balai polis di mana foto mereka diambil dan keterangan mereka dicatatkan polis sebelum kesemua pelajar itu diberi taklimat oleh pegawai Jabatan Pendidikan Selangor (JPS).

“Perkara ini sepatutnya boleh diselesaikan di sekolah sahaja oleh pentadbiran sekolah tanpa melibatkan polis atau membawa pelajar terbabit ke balai polis,” katanya.


Menurut Gopalan dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Seksyen 11, di sini, “pengetua beritahu saya, bukan dia yang suruh pihak polis datang dan dia tidak boleh halang pihak polis”.

“Kami (ibu bapa) tidak puas hati kerana pelajar yang ditahan itu tidak terlibat dalam pergaduhan tersebut dan beberapa guru sekolah itu sendiri menjadi saksi dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bapa, Stephen Perumal Velu mengesahkan bahawa pengetua berkenaan memang berada di sekolah semasa polis datang pada 20 April.

“Puan pengetua yang mengarahkan polis membawa 23 pelajar itu ke balai polis.

“Anak saya pun ditahan sedangkan semasa kejadian, anak saya berada bersama guru disiplin sekolah,” katanya dalam laporan berasingan yang dibuat di balai polis yang sama.

Kesemua ibu bapa yang membuat laporan polis menyatakan bahawa mereka “tidak puas hati dengan pengetua ini kerana dia tidak meneliti perkara yang sebenarnya dan sengaja tahan pelajar tersebut”.

“Pihak sekolah juga tidak memaklumkan kepada ibu bapa tentang hal penahanan tersebut dan sehingga jam 8:00 malam (20 April), pelajar masih belum balik ke rumah,” kata laporan polis itu.

Dalam laporan itu, ibu bapa terbabit juga menyebut bahawa mereka telah berusaha menemui pengetua pada pagi 21 April untuk mendapatkan penjelasan mengenai punca sebenar anak-anak mereka ditahan dan dibawa ke balai polis.

“Pengetua beritahu yang dia tidak tahu,” kata laporan itu.

Laporan polis yang dibuat oleh ibu bapa itu secara individu juga menyebut dengan jelas: “Saya tidak berpuas hati dengan perbuatan pengetua ini dan minta pihak Kementerian Pelajaran mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pengetua tersebut”.


Seorang ibu, Quah Saw Choon berkata, surat dan laporan sedang disediakan untuk diserahkan secara langsung kepada pihak berkenaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.


“Daripada maklumat yang saya terima, kebanyakan ibu bapa, penjaga dan bekas pelajar sekolah itu tidak menolak kemungkinan bersedia mengadakan perhimpunan aman bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengetua berkenaan.

“Tindakan berhimpun secara aman ini bertujuan menarik perhatian Putrajaya terhadap segala masalah yang berlaku di sekolah itu sejak hampir empat tahun lalu,” katanya.

Pengetua berkenaan gagal dihubungi untuk mendapatkan komen sama ada sebarang usaha diambil untuk menyelesaikan masalah.


Manakala kerani yang menjawab telefon pagi tadi hanya memberikan jawapan “tidak pasti”.