28 Mar 2011

Surat terbuka untuk Uthaya Sankar SB

Penulis rasa isu novel lnterlok semakin dibiarkan berlarutan dikhuatiri kelak masyarakat menganggap seperti 'kebudak-budakan'. ..
Sejak awal lagi penulis menekankan bahawa sesiapa yang mahu bercakap mengenai novel lnterlok maka wajib dibaca dan dihayati. Jika tidak dapat dihayati maka membaca hanya sekali tidak memadai. Bacalah dua atau tiga kali ataupun beberapa kali yang disukai.
..
Penulis rasa tidak perlulah berhujah berdasarkan pengalaman sendiri sebagai seorang Guru Bahasa Melayu, Guru Kesusasteraan Melayu, Pemeriksaan Kertas Peperiksaan Kesusasteraan Melayu SPM, penggiat kesusasteraan, penulis kreatif, wartawan sambilan, stringer sebuah akhbar arus perdana terkemuka dan lain-lain.
..
Tidak perlu penulis sebutkan yang 'lain-lain' lagi. Apatah lagi salah seorang ahli panelnya Uthaya Sankar SB dilaporkan oleh wartawan portal berita 'seorang novelis dan penulis cerpen terkenal'. Jikalau begitu, elok dan tahniahlah.
..
Soalnya; jika perbincangan tersebut dibincangkan dari sudut leksikologi , psikosastera dan psikolinguistik maka biarlah dibicarakan dari aspek tersebut. Dan sudah tentulah disiplin pembicara atau ahli-ahli panelnya juga berada dalam lingkungan tersebut.
..
Begitu juga andainya diperhalusi dari aspek sosiolinguistik, semantik, antropologi dan silang budaya maka keahlian dan kepakaran pembicara juga tidak boleh dipertikaikan lagi. Bak kata bidalan Melayu; jika tidak tahu menari, janganlah dikatakan tanah tinggi rendah; jika kail panjang sejengkal, janganlah lautan dalam hendak diduga; usahlah menangguk di air keruh; buang yang keruh, ambil yang jernih.
..
Kepada Uthaya Sankar SB yang penulis rasakan mewakili generasi anak muda pascamerdeka ataupun lebih tepat pasca-Malaysia; Uthaya tentulah mempunyai deria bara yang berkobar-kobar; semarak juang dan idealis memuncak.
..
Namun sebagai individu yang tahu sedikit sebanyak dunia penulisan, kreatif dan kreativiti adalah lebih baik Uthaya bercakap sebagai seorang seniman kreatif.
..
Apabila penulis membaca sebuah laporan daripada akhbar bahawa Uthaya juga salah seorang exco pemuda MIC maka penulis rasa agak kurang seronok dan dirasakan adalah malang jika Uthaya berfikir dan berdiri sebagai seorang exco pemuda MIC yang mana tentulah memakai kaca mata yang berkepentingan politik.
..
[Pembetulan: Sila RUJUK DI SINI]
..
Walaupun ini hanya pendapat peribadi penulis sebagai sahabat dan rakan sesama penulis namun sewaktu pertemuan singkat dengannya sewaktu waktu dahulu penulis ada menyebut, "Jangan anda risau. Sesuatu bangsa atau individu itu akan dihormati dan dikagumi bukan kerana asal usul keturunannya tetapi kerana kejayaannya berjaya meningkatkan martabat diri dengan ilmu pengetahuan”.
..
Tegasnya, bukan kerana perkara-perkara yang remeh-temeh ini.
..
Sebenarnya penulis pun tidak mengenali sangat siapakah Uthaya Sankar SB ini. Maklumlah antara penulis dan beliau kami berbeza generasi.
..
Uthaya sudah pasti generasi pasca 13 Mei 69 yang mana era negara kita ke arah pembangunan dalam serba bidang; baik pendidikan, ekonomi mahupun pembinaan sosial.
..
Kebetulan semasa penulis bertugas di Negara Brunei Darussalam, pada awal pagi sering menonton RTM1 slot laporan dan komentar akhbar-akhbar Malaysia lalu ternampak Uthaya di kaca TV yang pernah bekerja secara kontrak di RTM ketika itu.
..
Sebelum itu lama dahulu pernah penulis terserempak dengan beliau kerana ketika itu beliau satu-satunya anak muda keturunan lndia yang ikuti kuliah sarjana di Jabatan Persuratan Melayu UKM manakala TB ketika itu sudah pun berjaya mendaftarkan diri sebagai mahasiswa PhD di UKM.
..
[Nota: Apa makna “TB”? Sila rujuk catatan asal mamat ini pada 22 Mac 2011 DI SINI untuk mendapatkan jawapannya.]
..
Ditakdirkan dalam kesibukan isu Interlok diperkatakan sana sini pada bulan Februari lalu, kebetulan penulis terserempak Uthaya di Shah Alam. Penulis sedang mencari bahan untuk satu projek penyelidikan manakala Sankar sibuk katanya kini bertugas sebagai wartawan di sebuah penerbitan.
..
[Pembetulan: Penolong Editor di sebuah penerbitan (akhbar).]
..
Penulis seperti biasa, bertegur-sapa terlebih dahulu kerana berpegang kepada bidalan 'ular jika menyusuri akar takkan hilang bisanya'.
..
Oleh kerana komitmen dan hambatan waktu, penulis sekadar bertanya khabar dan berbual ringkas kerana kami saling memahami tanggungjawab masing-masing. Penulis bertanyakan tentang pengajian sarjananya di UKM. Beliau memberitahu pengajiannya tidak tamat, separuh jalan.
..
Penulis bertanyakan juga beliau mendapat ijazah pertama daripada universiti mana dan katanya dari Universiti Malaya dalam bidang pengajian media. Eloklah, ujar penulis jujur.
..
Apa yang penulis mahu nyatakan bahawa pada mulanya penulis menyangkakan mungkin Uthaya memperoleh disiplin linguistik Melayu atau antropologi ataupun dalam disiplin kesusasteraan Melayu seperti Lim Swee Tin sahabat lama penulis. Namun keadaan di sebaliknya. Tetapi tidak kisahlah. Yang penting ada minat, ada latar penglibatan dan ada kesungguhan.
..
Begitulah Uthaya Sankar yang penulis temui secara kebetulan. Kemudian penulis cuba memancing bertanyakan isu Interlok. Tetapi mungkin situasi ketika itu, Uthaya cuba mengelaknya.
..
Penulis faham dan akur. Daripada situ penulis diberitahu olehnya bahawa kebolehannya berwacana dalam Bahasa Melayu kerana latarnya mendapat pendidikan formal di sekolah kebangsaan bukan SJK Tamil dan tinggal di kawasan perkampungan Melayu bukan di estet.
..
[Pembetulan: Sila RUJUK DI SINI]
..
Dengan selamba penulis bergurau bahawa jika begitu penulis lebih mengenali masyarakat lndia di Malaysia daripada beliau. Penulis jelaskan bahawa penulis membesar dan bergaul dengan kehidupan di estet sejak dilahirkan dan membesar dalam kelompok komuniti Melayu, Cina dan lndia.
..
Dalam erti kata lain, penulis sangat masak dengan tingkah ragam dan gaya resam masyarakat lndia ketika itu di estet. Bahkan apa yang ada dalam budaya pemikiran masyarakat lndia di Malaysia ini penulis dapat rasakan.
..
Sebab itu lnterlok yang penulis pernah baca pada tahun 1970, dapat penulis hayati kerana penulis merasakan terlalu hampir dengan kehidupan itu dan tiada masalah apapun jika tidak dipinda apa jua pun.
..
[Hebat: Novel itu hanya terbit pada 1971 tetapi mamat ini sudah membacanya setahun lebih awal.]
..
lni adalah hakikat dan realiti serta bukan penghinaan; dan merupakan silap faham dan prasangka sia-sia.
..
Mungkin Uthaya boleh bertutur bahasa Tamil tidak dinafikan. Namun jika dibandingkan latar kehidupan penulis dengan Uthaya yang berlatarkan masyarakat lndia maka penulis yakin melebihi beliau dari aspek latar walaupun penulis gagal untuk belajar bertutur dan menulis Tamil kerana tidak belajar di SJK Tamil.
..
Sekadar pengalaman membesar dan bekerja sambilan di estet semasa remaja serta pernah mengendalikan kelas tiusyen [sic] Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia untuk pelajar lndia yang mengambil SPM dan SRP (PMR) di estet pada tahun 1975. Ah, di manakah Uthaya ketika itu?
..
Justeru antara dipolitikkan dan disensasikan untuk meraih publisiti berhubung isu Interlok yang belum berkesudahan; terserahlah kepada pembaca dan masyarakat untuk menilainya.
..
Kesimpulannya: Ikutlah resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. lkutlah rentak dan adat, 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'.
...
(Rajiee Hadi, Malaysiakini, 26 Mac 2011)