Sunday, 20 March 2011

Anda, Sebuah Kontroversi dan Keahlian Sebuah Parti

Saya memutuskan untuk bertemu secara bersemuka dengannya pada jam 11:30 pagi, 20 Mac 2011 selepas membaca pelbagai komen di ruang siber yang mengatakan beliau sedang menyusun strategi untuk merebut jawatan tertentu dalam MIC.
.

“Ha! Ha! Ha!” Uthaya Sankar SB menghembus asap putih sambil rokok masih dipegang kemas antara dua jari tangan kiri.

.

(Nota kepada penyunting faksyen ini: Terdapat kesalahan fakta berhubung amalan merokok dan tangan kiri Uthaya pada perenggan di atas. Sila betulkan sebelum diterbitkan kerana kesalahan fakta itu boleh menyentuh sensitiviti pihak/individu terbabit.)

.

“Lucu! Saya tidak tahu Badut Paul Lathic mana yang benar-benar kehilangan modal lalu menyebarkan khabar angin berbentuk jenaka ini. Hampir sama lucu seperti laporan di sebuah akhbar arus perdana pada 3 Mac 2011 bahawa seorang calon Anugerah Sasterawan Negara telah dilihat menyerahkan sepanduk anti Interlok kepada penyokong Hindraf,” katanya.

.

Saya mengangguk sambil mencatatkan butiran kata-kata itu untuk kemudian diolah menjadi skrip berita. Sebagai seorang wartawan, saya dapat merasakan bahawa kini bahan berita berkaitan dunia sastera sudah menjadi bahan berita nasional dan layak disiarkan di muka depan akhbar.

.

“Jadi, adakah Encik Uthaya menafikan laporan itu?”

.

“Pembetulan: Bukan laporan, tetapi tuduhan. Ya, saya menafikan tuduhan itu. Saya anggap ia sebagai lawak bodoh daripada seorang tukang lawak yang kehabisan modal untuk menarik perhatian orang ramai untuk menyaksikan pertunjukannya. Saya bersimpati,” katanya dengan suara tenang dan raut wajah tenang, serta bibir menguntum senyuman.

.

“Encik Uthaya adalah Exco Pemuda MIC atau ahli biasa sahaja?” Saya bertanya secara licik menggunakan kepakaran saya sebagai wartawan penyiaran berpengalaman.

.

Penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97 dan 1998/99 itu ketawa lagi sebelum menggeleng-geleng.

.

“Untuk rekod,” katanya sambil memandang ke arah telefon bimbit yang saya gunakan untuk merakam perbualan ini, “saya bukan Exco Pemuda MIC dan saya juga bukan ahli MIC.”

.

Uthaya memandang saya, seperti mengharapkan soalan susulan. Saya terdiam kerana belum sempat menyediakan soalan kepada jawapan berbentuk direct seperti itu.

.

“Atau ahli parti politik lain?” Saya bertanya apabila segera teringat akan sekeping foto bertarikh 17 Mac 2011 yang sedang tersebar luas dan menunjukkan penulis bebas itu makan tengah hari bersama ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

.

Satu lagi senyuman manis penuh misteri sebelum beliau menjawab; bagaikan kepada telefon bimbit yang digunakan untuk merakam perbualan ini.

.

“Baiklah ... Saya bukan ahli MIC, bukan ahli MCA, bukan ahli UMNO, bukan ahli Gerakan, bukan ahli PPP, bukan ahli IPF, bukan ahli PAS, bukan ahli DAP, bukan ahli PKR. ... Ringkasnya saya bukan ahli mana-mana parti politik.”

.

Jari saya pantas mencatat nama-nama parti itu sambil mata memandang wajah beliau.

.

“Saya juga bukan ahli mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengamalkan perkauman dan mencetuskan rasisme dalam kalangan Bangsa Malaysia. Saya juga bukan ahli Perkasa, bukan ahli Hindraf. Tapi sehingga saat ini, saya masih ahli seumur hidup Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), PENA dan KALAM. Saya juga bergerak dalam Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang tidak bernaung di bawah mana-mana parti politik atau pertubuhan lain.”

.

“Tapi bagaimana dengan pelbagai cakap orang di luar sana?”

.

Uthaya mencapai lalu menyelak halaman novel Panchayat yang diberikannya kepada saya sebagai buah tangan sebentar tadi. Beliau menuding satu perenggan pada halaman 145 novel itu dan saya membacanya:

.

“Biarlah orang ramai meneliti semula segala yang berlaku sejak Sabtu lalu. Dan mereka sendiri akan mengadilinya.”

.

Uthaya yang merupakan pengasas Kavyan serta pernah terlibat dalam kontroversi istilah “Bahasa Malaysia” pada sekitar 1999 memandang saya sambil tersenyum. Sesaat kemudian, kening beliau berkerut.

.

Sebagai seorang wartawan profesional, saya bersedia membuat catatan kerana dapat ‘membaca’ bahawa suatu pendedahan penting bakal berlaku beberapa saat lagi. Dan saya satu-satunya wartawan yang berada bersama Uthaya pada saat ini untuk melaporkannya!

.

Uthaya segera mengeluarkan dompet dan berusaha mencari sesuatu. Saya menanti dengan penuh debaran.

.

Penulis kelahiran Taiping, Perak itu menunjukkan kepada saya sekeping kad plastik warna kuning keemasan.

.

“Sebelum Badut Paul Lathic tampil membuat pendedahan berhubung perkara ini, biar saya isytiharkan bahawa saya juga ahli Kedai Buku Popular,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!