Thursday, 27 January 2011

Wacana Interlok (Bahagian I)

Saya rasa, bahagian paling melucukan sepanjang Wacana Interlok di Bilik Wawasan, Rumah Universiti, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada petang, 26 Januari 2011 adalah apabila seorang hadirin yang kehilangan modal untuk berhujah tiba-tiba mempersoalkan dengan penuh emosional: mengapa Uthaya Sankar SB yang bercakap sedangkan mengikut perancangan awal, wakil Pemuda MIC yang akan patut bercakap.

.

Lucu. Penganjur sudah memaklumkan kepada saya bahawa mereka memang ingin mendengar hujah mewakili kaum India. Atas dasar itulah undangan dipanjangkan kepada Ketua Pemuda MIC, T Mohan. Akhirnya, saya diberi kepercayaan untuk berhujah pada wacana ilmu ini berdasarkan kemampuan saya berbuat demikian mewakili kaum India. Ya, saya juga Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan kami telah mengadakan Taklimat Khas Mengenai Interlok Edisi Murid pada 16 Januari 2011.


.

Berbalik kepada Wacana Interlok, majlis ilmu itu berlangsung dalam suasana harmoni, berilmu, mencambah minda serta peluang untuk pelbagai pihak mengeluarkan pandangan dan hujah secara profesional. Penglibatan panel dan hadirin seperti inilah yang kita harapkan.


.

Kalau ada dalam kalangan hadirin tidak boleh berbicara (bertanya soalan atau mengemukakan pandangan) dalam skop yang ditetapkan atau tidak mampu mengawal emosi, tutup mulut. Duduk diam-diam. Dengar dan timba ilmu. Tidak salah di sisi undang-undang.


.

Panel pertama, Cikgu Ghalib Yunos, Guru Cemerlang Bahasa Melayu DG48 yang mempunyai pengalaman mengajar lebih 29 tahun memulakan bicara dengan mengetengahkan pelbagai hujah bernas dan profesional yang amat membantu saya menguatkan hujah apabila tiba giliran saya untuk bercakap.


.

Misalnya, beliau yang bercakap dari perspektif guru mengingatkan hadirin bahawa bagi novel Interlok (1971), Hak Cipta dipegang oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah), manakala Hak Cipta bagi edisi murid (2010) dipegang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


.

Cikgu Ghalib juga mengakui bahawa sekolah-sekolah sudah menerima buku teks itu pada Oktober 2010 dan sudah diedarkan kepada pelajar supaya mereka boleh membacanya semasa cuti sebelum masuk ke sekolah pada 3 Januari 2011. Maknanya, pelajar terbabit membaca tanpa bimbingan guru.


.

Beliau turut mengingatkan hadirin bahawa novel Interlok edisi murid yang sedang dibicarakan ini adalah teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) iaitu sebahagian daripada subjek Bahasa Malaysia, dan bukannya teks bagi subjek Sastera Melayu. Untuk makluman, Komsas adalah wajib manakala Sastera Melayu bukan wajib bagi semua pelajar.


.

Cikgu Ghalib yang mengaku sudah membaca dan mengkaji Interlok edisi murid mengakui bahawa novel ini sebenarnya terbit dalam pelbagai edisi. Malah, apabila dijadikan edisi pelajar dan edisi murid, ada “penambahbaikan” maka edisi murid yang menjadi topik wacana diakui seorang Guru Cemerlang Bahasa Melayu DG48, bukan lagi asli seperti yang ditulis Pak Lah. [Baca juga DI SINI]


.

Katanya, tugas guru adalah membantu pelajar mengkaji teks, biodata, sinopsis dan pelbagai aspek lain mengikut objektif Komsas. Pengajaran dan pembelajaran (P&P) mementingkan aspek penerapan ilmu dan maklumat, serta mesej cerita.


.

Bagi Cikgu Ghalib, pemilihan novel Interlok edisi murid sebagai teks Komsas sangat tepat dan guru-guru boleh membimbing pelajar melihat peristiwa-peritiwa dalam novel berkenaan. Beliau memberikan sepuluh peristiwa yang sesuai dibincangkan dalam kelas.


.

Masalahnya, kalau setakat mahu membincangkan sepuluh peristiwa terpilih, tidak perlu ada novel Interlok. Malah, kalau dilihat pada pelbagai panduan yang tersebar khususnya di ruag siber, tumpuan guru-guru hanya pada Buku Empat dalam novel berkenaan. Maka, apa gunanya seluruh novel diterbitkan dan diberi kepada pelajar?


.

Cikgu Ghalib juga mengakui bahawa dalam isu Interlok edisi murid, guru-guru memikul “tugas mempositifkan yang negatif”; sekali gus beliau mengakui bahawa ada pelbagai perkara negatif dalam Interlok dan guru perlu “positifkan” di kelas. Persoalan lain, bukankah buku sudah diedarkan pada Oktober 2010, pelajar diminta membaca dan membuat tugasan yang perlu dihantar sebaik penggal sekolah bermula pada awal Januari 2011, seperti beliau sendiri katakan?


.

Beliau yang bercakap mewakili guru ternyata memberi gambaran bahawa “matlamat menghalalkan cara”. Antara objektif Komsas diperkenalkan pada tahun 2000 adalah untuk menerapkan minat membaca pelbagai bahan sastera dalam kalangan pelajar, mempertingkatkan kemahiran berbahasa, merangsang kemahiran menilai dan mengkritik pelbagai karya sastera, serta memupuk semangat yakin diri. Bagi mencapai matlamat itu, nampak gayanya, Cikgu Ghalib rela membiarkan apa sahaja unsur negatif hadir dalam novel yang dijadikan teks Komsas, asalnya pelajar boleh belajar bahasa!


.

Malah, kata beliau, setakat ini tiada apa-apa aduan atau rungutan daripada pelajar di sekolah beliau berhubung penggunaan buku ini. Beliau berkata, novel Interlok edisi murid sangat sesuai dengan suasana politik sekarang. Apakah maksudnya?


.


Malah, mungkin pelajar-pelajar beliau wajar membaca maklumat DI SINI sebagai persiapan sebelum mengikuti kelas.


.

Cikgu Ghalib juga menyentuh bahawa novel Interlok edisi murid ini sudah dicetak, dihantar ke sekolah-sekolah dan sudah diserahkan kepada pelajar. Amat malang jika perlu ditarik balik.


.

Maka, semasa saya berhujah, saya berkata, bayangkan perkara seperti ini [buku dengan kesalahan fakta serta perkara menyentuh sensitiviti kaum] berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW. Katakan berlaku kesilapan fakta seperti yang sedang kita perkatakan. Katakan berlaku keadaan di mana buku [seperti Interlok edisi murid dengan pelbagai kesalahan fakta yang sudah dibuktikan ini] sudah terbit dan kemudian disedari ada bahagian tertentu buku itu menyentuh sensitiviti kaum lain. Apakah agaknya reaksi Nabi Muhammad SAW yang merupakan tokoh Islam yang paling saya kagumi? Apakah Baginda akan membiarkan bahan itu [seperti novel Interlok edisi murid dengan pelbagai kesalahan fakta ini] diedarkan dengan alasan sudah dicetak, atau Baginda akan melakukan sebaliknya?


..

Catatan berdasarkan Wacana Interlok ini akan saya sambung esok.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!