Friday, 28 January 2011

Wacana Interlok (Bahagian 2)

Catatan ini adalah sambungan kepada Bahagian 1.
.

Selepas Cikgu Ghalib, tiba giliran saya pula untuk berhujah. Kebanyakan maklumat dan fakta yang dikemukakan Cikgu Ghalib membantu saya menguatkan hujah!

.

Seterusnya, giliran Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) untuk berhujah mewakili ibu bapa; seperti yang beliau nyatakan.

.

Katanya, novel Interlok edis murid boleh dijadikan bahan yang membantu memberikan ilmu keibubapaan, kekeluargaan dan kemasyarakatan. Malah, novel ini yang dijadikan teks Komsas membuktikan intergriti Kementerian Pelajaran, Jawatankuasa Pemilih Teks Komsas, ibu bapa dan keluarga.

.

Datuk Mohamad mengakui bahawa tidak ada apa-apa yang betul seratus peratus, begitu juga dalam novel Interlok edisi murid. Diakui juga oleh beliau bahawa perkara yang kecil juga boleh merosakkan sistem sosial.

.

Buku Satu secara khusus, kata beliau, boleh dijadikan teks panduan keibubapaan dan agama kerana sarat juga dengan ‘dimensi hijrah’. Malangnya, beliau lupa bahawa Buku Satu sarat dengan segala yang sesuai bagi keluarga dan ibu bapa kaum Melayu-Islam.

.

Memang saya akui betapa bagus pengarang mampu menggarap dan mengadun budaya, agama dan kehidupan seharian kaum Melayu dalam karya ini. Malangnya, apabila sampai kepada kaum India beragama Hindu, mereka adalah kelompok manusia yang tidak ada budaya, tidak ada jati diri, tidak ada pegangan agama.

.

Malah, individu pertama sekali yang menghubungi saya melalui telefon pada 20 Disember 2010 untuk mengadu mengenai segala kekurangan dalam novel Intrelok edisi murid adalah seorang ibu dari Kepong. Dan ibu itu bukan calang-calang orang kerana seorang wanita berkerjaya dan tahu perkembangan sastera! [RUJUK SINI]

.

Apa yang berulang kali ditegakkan oleh Datuk Mohamad adalah bahawa “matlamat menghalalkan cara”. Tidak lebih daripada itu. Beliau juga ketara merujuk kepada kaum India dan Cina sebagai “orang-orang yang datang ke sini”.

.

Beliau juga mengungkitkan mengenai insiden pembakaran buku Interlok di Klang pada 8 Januari 2011 – tarikh sama panel di Rumah Pena mengatakan kelompok yang menentang novel Interlok edisi murid adalah kumpulan yang cemburu Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) menerima royalti yang tinggi dan mahu “memancung” sasterawan itu! [BACA DI SINI]

.

Apa yang Datuk Mohamad lupa nyatakan adalah bahawa insiden pembakaran itu – walau pun memang sesuatu yang amat memalukan – berlaku berikutan Interlok edisi murid dijadikan teks Komsas. Begitu juga apabila ada pengetua sekolah membuat rujukan (petikan) pada novel Interlok edisi murid apabila menggunakan istilah ‘pariah’ semasa berucap semasa perhimpunan.

.

Beliau turut melahirkan rasa hairan mengapa ada “edisi pelajar” (2005) untuk pelajar dan ada pula “edisi murid” (2010) bukan untuk kegunaan murid (sekolah rendah) tetapi untuk pelajar Tingkatan Lima.

.

Datuk Mohamad yang bercakap mewakili golongan ibu bapa turut mengakui bahawa novel Interlok edisi murid ini tetap “berat” dan tidak boleh membiarkan pelajar membaca sahaja tanpa bimbingan guru.

.

Dalam menyedari hakikat kesibukan guru, saya menulis siri “Adik-adik Sekalian” di portal berita Free Malaysia Today bermula 26 Januari 2011 sebagai bimbingan kepada pelajar supaya lebih bersedia untuk terlibat secara aktif dalam diskusi novel di kelas.

.

Presiden PIBGN juga bersetuju Glosari dan sebagainya ditambah kerana apa yang ada sekarang pada Interlok edisi murid tidak mencukupi dan banyak kelemahan. Maknanya, sudah diakui bahawa memang ada pelbagai kelemahan dan boleh/wajar diperbaiki (dimurnikan) sebelum masalah melarat.

.

Dalam hal ini, tentulah Pak Lah tidak boleh diseret masuk. Sebaliknya tugas dan tanggungjawab Kementerian Pelajaran; tentunya tanpa tanda tangan mana-mana pihak yang tidak membenarkan walau sepatah kata diubah! Interlok edisi murid perlu dimurnikan; perlu dibetulkan semua yang salah dan tersasar oleh panel khas yang ada kepakaran budaya kaum India, sastera Bahasa Malaysia dan agama Hindu.

.

Saya juga sempat memberi “kejutan” kepada hadirin bahawa kedatangan Maniam ke Malaya atas kemahuan sendiri membuktikan dia tidak datang melalui Sistem Kangani. Anehnya, Sistem Kemasukan Buruh Bebas terbantut pada 1859 lagi! Walaupun Maniam datang pada Julai 1910, tiada apa-apa kisah mengenai Sistem Buruh Kontrak yang dihentikan pada 1910. Aneh, bukan?

..

Pelbagai keanehan lain akan saya paparkan dalam catatan esok.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!