28 Jan 2011

Mari Bersama Murnikan Interlok!

Saya secara peribadi bersama-sama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sedang mengumpulkan maklum balas akademik (bukan mengikut emosi) daripada rakyat Malaysia berhubung perkara-perkara yang perlu dimurnikan (diubah, dibuang, ditambah, dibaiki, dilunak dan sebagainya) dalam novel Interlok edisi murid sebelum novel berkenaan dibenarkan dijadikan teks Komsas di sekolah.
.

Untuk makluman, bagi saya, sekiranya segala kerja-kerja pemurnian yang bakal dicadangkan itu tidak diterima dan tidak dilaksanakan, maka novel Interlok edisi murid perlu ditarik keluar daripada sistem pendidikan negara kerana menjejaskan Falsafah Pendidikan Negara dan objektif Komsas.

.

Sila maklum bahawa saya hanya bercakap mengenai Interlok edisi murid (DBP: 2010) tanpa menyentuh sedikit pun Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang mengarang novel ini sebelum tahun 1970.

.

Ramai yang hanya berhujah (penuh emosi) mengenai perkataan “paria” dalam novel Interlok edisi murid. Sila rujuk DI SINI untuk bukti bahawa watak Maniam bukan seorang “paria”. Maka, tentu sahaja Kavyan akan meminta perkataan “paria” dikeluarkan kerana kesalahan fakta; selain menyentuh sensitiviti kaum.

.

Penggunaan frasa “kasta paria” dalam novel itu juga salah kerana “sistem kasta” yang diamalkan di India (dan tiba-tiba sahaja kini amat diminati/dicintai pelbagai persatuan penulis Melayu dan NGO Melayu di Malaysia!) tidak termasuk “paria”. Maka, kesalahan fakta mengenai “sistem kasta” juga perlu dibetulkan. Malah, wajar dibuang terus jika tidak menjejaskan cerita.

.

Maniam dan keluarganya di Malaya digambarkan seolah-olah tidak ada apa-apa pegangan agama! Berbeza dengan keluarga Seman di mana Islam menjadi sebahagian hidup seharian. Maklumat mengenai agama Maniam juga pelru diperkukuhkan. Termasuk mengembalikan sebuah kuil besar di Pitt Street yang “ghaib” dalam edisi murid.

.

Maniam dan kaum India di Malaya digambarkan tidak ada budaya dan jati diri. Hal ini juga mesti dimurnikan. Termasuk juga nama Maniam itu sendiri yang kononnya seorang lelaki dari Kerala. Kalau Maniam dan watak-watak lain di selilingnya kaum India, biarlah tampil sebagai kaum India, bukan sebagai patung atau kertas tanpa jati diri dan maruah.

.

Beberapa lagi kesalahan fakta yang dikesan Kavyan boleh dibaca DI SINI dan DI SINI supaya anda lebih faham.

.

Bagi sesiapa yang merasakan Interlok edisi murid (2010) sudah “sempurna”, sila tutup mulut dan duduk diam-diam! Jangan ganggu kami yang sedang bekerja. Pergi main jauh-jauh! Kewujudan anda di sini tidak diperlukan.

.

Pada masa sama, Kavyan menganggap perbuatan mana-mana pihak membakar buku (termasuk novel Interlok) sebagai tindakan keterlaluan, menghina ilmu, bukan budaya kaum India dan wajar diambil tindakan tegas mengikut undang-undang.

.

Sementara itu, bagi anda yang mempunyai hujah yang bernas mengenai perkara-perkara yang perlu dimurnikan dalam novel Interlok edisi murid, sila lakukan seperti berikut (baca dengan teliti sebelum bertindak!):

.

1. Kirim e-mel kepada saya menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my dan salinan (cc) ke infokavyan@yahoo.com.my (pilihan). Setiap e-mel yang dikirim ke alamat yang betul akan menerima balasan automatik.

.

2. Pada ruangan subjek (subject) e-mel itu, sila tulis: Pemurnian Interlok

.

3. Nyatakan hujah anda secara ringkas dan padat. Saya tiada masa untuk membaca karangan atau tesis. Jangan kirim pautan (link) blog atau tempat-tempat lain di ruang siber kerana saya mahu kumpulkan hujah anda, bukan hujah orang lain (atau anda sendiri) di Internet.

.

4. Gunakan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau Bahasa Tamil yang mudah difahami.

.

5. Setiap e-mel wajib disertakan nama penuh, nombor telefon, jawatan (termasuk “bapa”, “pelajar”, “mahasiswa”, “suri rumah”, “penulis”). E-mel tanpa maklumat diri tidak akan dilayan langsung.

.

6. Nyatakan nombor halaman dalam novel Interlok edisi murid yang menjadi rujukan.

.

7. Semua e-mel perlu sampai pada atau sebelum 5 Februari 2011. Maaf, kita tidak ada masa sehingga Deepavali.

.

8. Ingat! Jangan emosional kerana kita mampu berhujah secara rasional, akademik, ilmiah dan bertamadun.

.

Kesemua e-mel yang sampai ke alamat e-mel di atas (dan tidak emosional) selewat-lewatnya pada 5 Februari 2011 akan dikumpulkan, dicetak dan dikemukakan kepada pihak berwajib.

.

Jangan takut, Kavyan mampu berjuang demi kebenaran; seperti kata Mahatma Gandhi: “Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini” dan “Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran”.

.

Inilah peluang keemasan untuk anda – rakyat Malaysia pelbagai kaum – bersuara secara rasional dan bertamadun sebelum kerja-kerja memurnikan Interlok edisi murid dimulakan dalam masa terdekat!

..

Catatan: Sekiranya cadangan pemurnian yang rasional, akademik, berhujah, bertamadun dan logik yang dikemukakan itu nanti tidak diterima Kementerian Pelajaran (Kerajaan), maka saya akan pertahankan pendirian supaya Interlok edisi murid dikeluarkan terus daripada sistem pendidikan negara. Kalau tidak membenarkan kerja-kerja pemurnian dilakukan, simpan sahajalah buku itu di stor Dawama. Tiada kompromi!