Orang tua sentiasa berhati-hati memilih nama untuk bayi. Selain sedap didengar, makna juga diberi perhatian. Nama menjadi identiti diri dan mampu meningkatkan keyakinan diri individu.
Saya
menghubungi sejumlah rakan kaum India untuk bertanyakan makna nama mereka, ahli
keluarga dan rakan-rakan. Harus difahami bahawa selalu juga ejaan berubah mengikut
masa. Kadang-kadang, makna juga mengalami perubahan.
[Baca juga — Nama-nama dari
Sangakalam]
Harvintha Reddy menyatakan namanya membawa beberapa
makna seperti arif, teratai, hikmah dan kacak. Beliau juga memberi contoh nama
Athinarayanan yang merujuk kepada Dewa Vishnu dalam agama Hindu.
Kata ‘athi’ bermakna pertama atau asal.
Subashini a/p Thiyagarajan memiliki nama yang merujuk
kepada individu lemah-lembut tutur bicara. Mohanakrishna membawa makna Dewa
Krishna yang mengasyikkan atau menggoda. Kavinesh ialah ketua penyair dan pujangga,
manakala Ramachandran merujuk kepada watak utama dalam epik Ramayana
serta bermakna bulan yang menggoda.
Seterusnya,
Ezhilarasi
bermakna ratu yang cantik dan nama bapanya, iaitu Velautham adalah gabungan lembing
(vel) dan senjata seperti yang
dimiliki Dewa Muruhan di kuil Batu Caves. Vijaya atau Vijayal membawa makna kejayaan
dan Chandrakumari bermakna puteri bulan. Nama Elango merujuk kepada putera dan
Ilavarasi merujuk kepada puteri.
Tiru Mohan memiliki nama yang menggabungkan
kata cantik/kacak dan terhormat (Tiru) serta menggoda (Mohan). Prema bermakna
cinta atau kasih, manakala Deepti membawa makna cahaya atau sinaran. Nama
Mukhundh adalah satu lagi nama Dewa Vishnu dan membawa makna pemberi pembebasan
(mukti).
Seorang
lagi rakan yang berkongsi makna namanya ialah Ghanthimathi. ‘Ghanthi’
bermaksud cahaya, matahari atau sinaran manakala ‘mathi’ merujuk kepada kebijaksanaan
dan daya intelek. Satu lagi nama yang dinyatakannya Nirmalan membawa makna
insan yang bersih, suci, tidak ternoda. Dari situlah juga muncul perkataan ‘nirmala’
dalam bahasa Melayu.
Nama Jeeva Kasthuri
menggabungkan ‘jiwa’ atau ‘roh’ dengan wangian kasturi. Ganesh atau Ganesan
adalah nama yang popular bagi bayi lelaki dalam kalangan orang Hindu kerana
merujuk kepada dewa berkepala gajah.
Nama Prakash atau Pragasam membawa maksud cahaya atau bercahaya.
Bagi Rupasree a/p Ganesan,
namanya membawa makna individu yang memiliki rupa yang cantik. Nama Gayethri merujuk
kepada dewi yang dikaitkan dengan kitab Veda
agama Hindu. Ada juga mantera penting yang dinamakan Gayathri. Danesh merujuk
kepada dewa kekayaan dan pengetahuan.
Turut
berkongsi contoh nama ialah Mahesvaran di mana namanya merujuk kepada Dewa
Shiva, manakala versi wanita ialah Maheswari. Nama Thenmozhi membawa makna ‘bahasa
seperti madu’, Panchavarnam adalah gabungan lima (panca) warna (varnam), manakala
Poongaavanam bermakna taman bunga.
Nama Sivabarathi a/p
Munikanan merujuk kepada penyair yang menyampaikan lagu memuja Dewa
Shiva. Beliau memberi contoh nama Kalaiselvi (pakar kesenian) yang merujuk
kepada Dewi Saraswathi, Sanmitra (teman yang baik), Shakti (kuasa, sakti) dan
Rishi (pendeta).
Turut
berkongsi makna nama ialah Nageinthini a/p Tewarajan di mana nama itu
merujuk kepada ular betina yang ada kuasa ajaib. Nama Ananthan atau Anandham
merujuk kepada kebahagiaan atau kegembiraan. Sementara itu, Prabhakaran merujuk
kepada cahaya atau api (prabha) yang
menyinar terang.
Kebanyakan
rakan yang berkongsi nama beragama Hindu. Ada juga orang India beragama
Kristian yang mengekalkan unsur nama India sebagai identiti budaya.
Misalnya,
Joanne Renu
Alexander menceritakan bahawa ‘renu’ atau ‘renuga’ membawa makna
butir tanah. Secara simbolik, merujuk kepada Dewi Durga yang dianggap “ibu’
bagi tanah (Bumi). Nama Shoba membawa makna cerah dan bercahaya. Thevy atau Devi
adalah nama lazim bagi wanita dan membawa makna individu berkedudukan tinggi
dan mulia. Nageswari pula dewi ular.
Nala Venthan a/l Arojunan berasa bangga kerana namanya
merujuk kepada seorang raja (venthan)
bernama Nala dari Kerajaan Kushwah. Kisah Nala dan isterinya, Damayanti ada
dalam epik Mahabharata.
Arojunan atau Arjunan merujuk kepada watak pemanah hebat dalam Mahabharata dan Bhagavad Gita.
Nama
Anjalai merujuk kepada wanita sopan dan pekerti mulia. Siva Nesan membawa makna
pengikut atau pencinta Dewa Shiva, manakala Inbanesan bermakna individu yang
mencintai kegembiraan dan kebahagiaan. Nama Devendran merujuk kepada Dewa Indra,
ketua dewa-dewi dalam mitos Hindu.
Ezhil
Oviya membawa makna ‘lukisan yang cantik’. Jayasri a/p Ramuloo memberi contoh nama anaknya,
Hamshyaleykha yang juga membawa makna ‘lukisan yang cantik’. Nama Jayasri pula
membawa makna kejayaan gemilang.
Chelvi a/p Ganesan boleh berbangga kerana namanya membawa
makna ‘cik’ dan juga merujuk kepada 16 harta (selvam) dalam kehidupan manusia. Nama Punitha merujuk kepada wanita
yang suci, mulia dan bermoral.
Kabilan (satu lagi nama Dewa Ganesha)
berkongsi nama Kathiravan (matahari yang terbit), Geetha (lagu, puisi), Kavitha
(puisi, sajak), Ethayarajan (raja di jantung/jiwa), Palaniappan (Dewa Murugan
di Palani, Tamil Nadu) dan Ilamaran (raja muda, putera).
Bagi Malini Lakshmi
Bai, namanya merupakan gabungan nama Dewi Saraswathi dan Durga yang
memakai kalungan malai (malini), Dewi
Lakshmi (kekayaan) dan Janshi Rani (Lakshmi Bai) iaitu tokoh sejarah India.
Nama lain yang dikongsi ialah Balasubramaniam (Dewa Murugan semasa
kanak-kanak), Arvin (teratai merah), Kaaviyaveni (dewi kesenian) dan Tharan
(pelindung adil).
Nama Pooveneswary
membawa makna Dewi Bumi, Rassmitha (sinar cahaya), Yohanayagy (wirawati bertuah),
Thiruneelakandar (Dewa Shiva berleher biru) manakala Narchonai (emas bermutu,
ibu kepada Raja Cheran dalam epik Silappatikaram).
Murali Mohan berkongsi nama Valli yang membawa
makna pokok keladi menjalar dan juga nama isteri Dewa Muruhan. Nama Suwedan a/l
Sellappan bermaksud insan berjiwa suci dan bersih. Suvarna
Krishnan merujuk kepada emas, Theenarachigee (pelindung daya
intelek), Vasuki (raja ular di leher Dewa Shiva) dan Suguna (insan berakhlak mulia).
Nama Illayarani
merujuk kepada ratu muda, Palanisamy (Dewa Muruhan di Palani), Subasri
(dewi pelajaran) dan Anushri (jelita, terkenal). Mohan Balachandram memberi
contoh Mohan (dewa cinta), Megala/Megalai (rantai emas pada pinggang wanita),
Yalini (gadis semerdu alat muzik tradisi), Kayalvili (si mata seperti ikan) dan
Tanggamani (manik emas).