Apa yang disiarkan menerusi akaun Facebook DrMAZA.com dengan label “puisi pagi jumaat” pada 21 April
2017 bukanlah sebuah puisi atau sajak. Sebaliknya, ia hanyalah kata-kata
hasutan berniat jahat yang dirakamkan oleh mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dengan tujuan jelas iaitu mengganggu
ketenteraman awam.
Pada keesokan hari, Asri cuba tampil merasionalkan
penggunaan frasa “mempertuhankan lembu” yang kononnya ditujukan kepada
“kerajaan Modi di India yang membiarkan saban hari muslim dibunuh dengan kejam
hanya kerana memakan daging lembu”.
Bagaimanapun, kawalan kerosakan (damage control) yang cuba dilakukan Asri sudah terlewat kerana
rasional yang cuba dikemukakan itu ternyata hanya usaha menyelamatkan diri
selepas hasutan (bukan sajak) yang dipaparkan itu mendapat kecaman masyarakat pelbagai kaum dan agama yang
cinta akan keamanan dan keharmonian.
Kata-kata hasutan yang dilemparkan oleh Asri amat jelas:
“..apabila yang mempertuhankan
lembu bersatu..
lantas menyeru agar pendakwah kita
dibelenggu..
mahu diserahkan kepada kerajaan
zalim menyembah api dan penganut sati..”
Ternyata Asri tidak membaca semula kata-kata hasutan yang
disiarkannya sebelum mengeluarkan kenyataan baharu kononnya frasa
“mempertuhankan lembu” ditujukan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri
Narendra Modi di India.
Sekiranya frasa itu ditujukan kepada kerajaan pimpinan Modi,
frasa “mahu diserahkan kepada kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati”
merujuk kepada kerajaan yang mana pula?
Berdasarkan kedudukan Asri sebagai seorang mufti, memanglah
amat memalukan dan mengaibkan bukan hanya bagi umat Islam di Perlis dan
Malaysia, tetapi juga bagi kerajaan Malaysia, apabila individu berkenaan mengeluarkan
kata-kata yang menghina penganut ajaran Hindu, selain menggelarkan kerajaan
India sebagai “kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati”.
Apa yang dikemukakan oleh Asri sebagai “fakta” mengenai
penganut ajaran Hindu – sama ada di Benua Kecil India atau di Malaysia – adalah
kenyataan berunsur fitnah dan kata-kata hasutan yang sengaja cuba mencabar dan
memaksa pembaca (penganut Hindu) bertindak balas secara negatif.
Asri ternyata amat jahil dan cetek ilmu. Realiti ini amat
jelas dan nyata menerusi kandungan kenyataan berunsur hasutan yang dilabelnya
sebagai “puisi pagi jumaat”.
Sekiranya Asri meluangkan sekitar 10 minit membaca makalah
bertajuk “Lembu Dalam Budaya Hindu” (Malaiur Manikam, 2015), dia akan faham
bahawa penganut Hindu tidak “mempertuhankan” haiwan berkenaan.
Apabila makalah berkenaan mula-mula tersiar di Free Malaysia Today (5 Disember 2011),
pembaca pelbagai kaum dan agama berkongsi kerana tertarik dengan maklumat yang
terkandung di dalamnya. Nampaknya Asri terlalu sibuk di “makmal hasutan dan
perkauman” sehingga terlepas pandang akan makalah itu.
Asri juga nampaknya tinggal di dalam gua sewaktu kontroversi
novel Interlok: Edisi Murid (2010) sepanjang tahun 2011. Kalau
tidak, tentu dia akan sedia maklum mengenai sensitiviti hal-hal berkaitan
“kasta”, “paria” dan sebagainya bagi kaum India di Malaysia.
Sebagaimana skrip yang sering diucapkan puak penghasut,
etnosentrik, fanatik dan pelampau, Asri juga mengulangi skrip “di sini
[Malaysia] pula tidak pernah mereka [kaum India] berterima kasih kepada apa
yang ada.”
Nampaknya Asri tidak cukup ilmu untuk memahami konsep
kewarganegaraan. Mungkin baginya, Zakir Naik (“pendakwah kita”) yang diberikan
taraf pemastautin tetap (PR) secara senyap-senyap oleh kerajaan sekitar lima
tahun lalu lebih layak menjadi “warga Malaysia” berbanding kaum India yang
sudah beberapa abad berada di sini sebagai warga.
Asri juga menuduh kaum India di Malaysia sebagai “berpakat
mereka membuat angkara”. Mungkin bagi Asri dan orang-orang yang sama IQ dengannya, apabila kaum India dan
Cina bersuara memperjuangkan hak dan kebenaran, maka dilabel sebagai “membuat
angkara”.
Manakala, apabila puak penggalak keganasan dan penghasut
seperti Zakir Naik datang ke Malaysia dan cuba memecah-belahkan masyarakat
pelbagai kaum dan agama, maka dijunjung di atas kepala sebagai “pendakwah
kita”. Peribahasa Melayu “bagai kaduk naik junjung” memang amat tepat dalam
situasi ini.
Semoga Asri segera bertaubat sepenuhnya dan memohon
keampunan seikhlas-ikhlasnya daripada Allah kerana dia secara terang-terangan
sudah terbabas daripada ajaran Islam dan sunnah Rasulullah.
Asri juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada kaum
India, penganut Hindu dan masyarakat Malaysia secara amnya atas penyiaran
kenyataan berbaur hasutan dan berniat jahat itu yang secara terang-terangan
bertujuan mengganggu ketenteraman awam.
[Uthaya Sankar SB adalah presiden
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pengerusi Persatuan
Pembangunan Kemahiran Insaniah Kaum India (Insaniah). Buku Malaiur Manikam (2015) dan Mandala
Bicara (2016) banyak memperkatakan mengenai budaya
kaum India dan Hindu.]
[Reaksi ini ditulis pada 22 April 2017 dan disiarkan di Malaysiakini pada 24 April 2017. © Uthaya
Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca kandungan blog ini atas pilihan
sendiri. Baca juga reaksi – Pak Samad – Faisal Tehrani – Mohd Faizal
Musa – Amir Muhammad – Mohd Tajuddin – Sivarraajh Chandran.]