Walau bagaimanapun, kerja-kerja mengumpul karya bagi tujuan penerbitan buku ini sudah dimulakan sejak tahun 2005. Masalah kewangan menjadi hambatan utama dalam usaha merealisasikan impian untuk menerbitkan kumpulan cerpen ini.
Akhirnya, buku ini berjaya diterbitkan setelah kerja-kerja mengedit, merombak senarai cerpen dan pengubahsuaian reka kulit dilakukan berulang kali.
Sejumlah sebelas cerpen yang terkandung di dalam buku ini dipilih secara penuh teliti supaya sesuai bagi bacaan, tafsiran, pemahaman, penilaian dan kritikan golongan yang gemar membaca karya yang mencabar minda.
Seperti biasa, saya sentiasa percaya dan sedar bahawa penulis adalah penimbul persoalan untuk renungan pembaca.
Saya juga tahu bahawa khalayak yang memilih untuk membaca karya-karya saya adalah kelompok yang tidak mahu disogokkan dengan karya berselera rendah.
Cerpen Le Spectre de la Rose memberi peluang menghayati persembahan balet yang sebenar oleh Nijinsky dan Karsavina pada tahun 1911. Unsur fakta dan imaginasi diadun sebebasnya untuk memberi kesan pembacaan yang menarik serta maklumat berguna mengenai balet.
Seterusnya, Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah mungkin lebih menyamai buku Unknown Facts About Little Known Siru Kambam kerana memuatkan maklumat dan catatan mengenai sejarah dan perkembangan semasa di Siru Kambam.
Cerpen Rudra Avatara yang diangkat menjadi judul buku ini mengambil masa yang amat lama untuk dihasilkan; dan mengambil masa yang lebih lama sebelum disiarkan. Pembacaan teliti terhadap cerpen ini mungkin boleh menjawab pertanyaan yang mungkin timbul.
Sambutan perayaan Deepavali serta ketokohan Dewa Krishna dipersoalkan melalui cerpen Diwali @ Maru Malarchi menggunakan teknik pembikinan filem. Saya percaya bahawa cerpen ini akan mengingatkan pembaca kepada beberapa cerpen yang saya hasilkan mengenai Rama, Sita, Hanuman dan Ravana.
Cerpen Cat pernah diberi pelbagai tafsiran oleh pembaca dan pengkaji sastera selepas cerpen itu tersiar dahulu. Tentunya para pembaca mempunyai hak dan kebebasan untuk melakukan interpretasi berdasarkan pemahaman masing-masing.
Selepas tiga tahun mengumpulkan bahan, saya menulis cerpen Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta yang mengundang reaksi yang pelbagai daripada pembaca. Mungkin pembacaan semula terhadap cerpen berkenaan boleh membantu khalayak lebih memahami mesej yang diutarakan.
Cerpen Air bermula dengan idea yang cukup mudah dan bersahaja. Namun, sebagaimana dalam realiti, tindakan yang kecil-kecilanlah yang biasanya mencetuskan tindakan serta kesan yang lebih besar dan lebih bermakna dalam hidup manusia.
Perkembangan politik sentiasa hadir secara penuh sedar dalam karya-karya yang saya hasilkan. Walaupun dikatakan tidak logik dan imaginatif semata-mata, saya percaya cerpen Arkitek Keluarga yang ditulis dengan gaya yang mudah dan bersahaja berjaya menyampaikan mesej, idea, pemikiran dan kritikan.
Cerpen Cat2 boleh dibaca secara berasingan atau dibaca bersama-sama cerpen Cat. Watak-watak penting dalam cerpen Cat dihadirkan semula untuk melihat apa yang berlaku beberapa tahun kemudian.
Ternyata, sesebuah kisah tidak berdiri sendiri. Cerpen-cerpen saya sering saling berkaitan dan saling melengkapi. Hal yang sama dapat diteliti pada cerpen Kita Sudah Gagal, Raja. Sebagaimana cerpen-cerpen lain di dalam kumpulan ini, cerpen ini juga menggabungkan unsur fakta dan fiksyen.
Cerpen Cerita Paurnami amat berbeza berbanding cerpen-cerpen lain di dalam kumpulan ini; ia bermain dengan emosi. Pada akhir pembacaan, tidak mustahil pembaca akan dapat turut melihat apa yang dilihat oleh watak utama cerpen berkenaan.
Kumpulan Rudra Avatara menyajikan sebelas cerpen yang sesuai bagi bacaan umum; termasuk pembaca remaja yang sedang menuju alam dewasa dan dahaga akan karya yang benar-benar mencabar minda.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa cerpen-cerpen di dalam kumpulan ini tidak semestinya ditulis selepas cerpen-cerpen yang termuat di dalam beberapa kumpulan cerpen persendirian saya yang terbit sebelum ini.
Selamat datang ke dunia faksyen. Hayatilah cerpen-cerpen di dalam kumpulan ini sebagai santapan minda.
NOTA: Sila KLIK DI SINI untuk membaca ulasan buku ini dalam Bahasa Malaysia dan KLIK DI SINI untuk ulasan dalam Bahasa Inggeris. Sila KLIK DI SINI untuk senarai cerpen-cerpen Uthaya Sankar SB.