25 Mar 2011

Taklimat Media di Dewan Soma

Wakil Kaum India dalam Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid mengadakan Taklimat Media di Dewan Soma, Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur pada 11:30 pagi, 25 Mac 2011 (Jumaat).
.

Wakil Kaum India yang hadir ialah Encik G Krishnabahawan dan Saudara Uthaya Sankar SB, manakala Dr NS Rajendran tidak dapat hadir kerana berada di India atas urusan lain.

.

Taklimat media ini turut dihadiri wakil parti politik, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat unum yang mahu mendapatkan penjelasan mengenai apa yang sebenarnya berlaku berikutan pengumuman Menteri Pelajaran di Parlimen (Dewan Rakyat) pada 24 Mac 2011.

.

Krishnabahawan berkata, taklimat ini bertujuan memberi penjelasan kepada wakil media dan orang ramai mengenai kedudukan sebenar dan tidak sama sekali bertujuan menimbulkan masalah atau mencetuskan kontroversi yang berpanjangan.

.

Beliau menceritakan secara ringkas dan padat mengenai tugas Panel Bebas sejak 16 Februari 2011; sehingga ke tarikh 23 Mac 2011 di mana Wakil Kaum India mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pelajaran.

.

Seterusnya, Uthaya menyampaikan taklimat mewakili ketiga-tiga Wakil Kaum India dalam Panel Bebas. Beliau menekankan bahawa mereka bertiga tidak akan bercakap mewakili mana-mana ahli lain dalam Panel Bebas. Sebaliknya, semua yang diperkatakan adalah mewakili mereka bertiga semata-mata.

.

Uthaya juga meminta dan menasihatkan serta meminta kerjasama wakil media dan orang ramai sentiasa merujuk blog www.uthayasb.blogspot.com untuk maklumat tepat dan benar kerana tiada sebarang “pembohongan” dalam blog itu berhubung kontroversi novel Interlok edisi murid.

.

Beliau juga berkata, Wakil Kaum India faham bahawa wakil media sedikit “terkeliru” dengan penerangan Menteri Pelajaran di Parlimen pada 24 mac 2011; sehingga menyebabkan pelbagai kekeliruan dalam apa yang dilaporkan di media.

.

Malah, atas tujuan itulah juga Taklimat Media ini diadakan – supaya wakil media mendapat penjelasan sepenuhnya dan mampu melaporkan berita yang tepat kepada masyarakat.

.

Uthaya memaparkan (pada skrin) keratan beberapa akhbar pelbagai bahasa keluaran 25 Mac 2011. Ternyata berlaku “percanggahan” dari segi apa yang dilaporkan. Katanya, bukan salah wakil media kerana mereka hanya melaporkan maklumat yang diterima.

.

Beliau turut mengingatkan bahawa apa yang diadakan adalah “taklimat” dan berharap hadirin mendengar dengan teliti. Sesi soal jawab hanya akan diadakan selepas taklimat selesai.

.

Uthaya menjelaskan laporan Bernama [BACA DI SINI] bahawa hanya 19 perkara menyentuh sensitiviti kaum India. Katanya, memang benar.

.

Mengenai soal “100 pindaan” atau “106” pindaan [BACA DI SINI] Uthaya menjelaskan bahawa 6 pindaan adalah secara khusus berkaitan usaha memulihkan serta mengangkat maruah dan martabat Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) yang tercalar sejak tercetusnya kontroversi pada 15 Disember 2010.

.

Uthaya mewakili ketiga-tiga Wakil Kaum India juga menjelaskan secara terperinci mengenai kekeliruan antara “106 pindaan” dan “19 pindaan”. Beliau menjelaskan bahawa “87 pindaan” adalah berkaitan maruah Pak Lah, kesilapan bahasa dan kesalahan fakta. Menteri Pelajaran sudah memberi jaminan semasa perjumpaan di Aras 3, Menara Parlimen pada 23 Mac 2011 bahawa kesemua “87 pindaan” itu tidak perlu dibahaskan lagi; sebaliknya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku penerbit novel berkenaan sudah diminta melakukan pembetulan.

.

Bagi baki “19 pindaan” pula, ia dilihat bukan kesalahan fakta dan dibincangkan dalam pertemuan pada 23 Mac 2011 di Menara Parlimen. Wakil Kaum India serta Presiden MIC dan Timbalan Presiden MIC bertegas dan “satu suara” memberi penjelasan lengkap mengapa “19 pindaan” itu juga wajib dilakukan kerana ia tetap menyentuh sensitiviti kaum India.

.

Maka, 87 pindaan + 19 pindaan = 106 pindaan; seperti diminta Wakil Kaum India (mewakili kaum India) serta diperakukan Panel Bebas secara konsensus pada 4 Mac 2011.

.

Uthaya turut menjelaskan bagaimana “pindaan” akan dilakukan dan wakil media boleh merujuk blog untuk huraian lengkap dan menyeluruh mengenainya.

.

Pendirian Wakil Kaum India sejak dilantik ke dalam Panel Bebas adalah tetap dan tidak berubah; iaitu jika segala pindaan yang diperakukan tidak dilakukan sepenuhnya, maka buku itu perlu dikeluarkan daripada dijadikan teks Komsas.

.

Malah, hingga kini, pendirian Wakil Kaum India adalah sama. Malangnya, seperti diketahui umum, pada 16 Mac 2011, pihak tertentu sudah bersetuju untuk “menarik balik” senarai yang mereka kemukakan dan ada kaitan dengan sensitiviti kaum Melayu dan kaum Cina. Maka, Wakil Kaum India tidak dapat “bertegas mempertahankan” saranan pindaan itu – kerana sudah ditarik balik oleh pihak yang mengemukakan “cadangan” itu.

.

Uthaya turut menjelaskan mengenai Terma Rujukan yang digunakan Panel Bebas sepanjang melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Menteri Pelajaran. Begitu juga dengan Cadangan Pindaan yang diperakukan Panel Bebas secara konsensus pada 4 Mac 2011.

.

Seterusnya, Uthaya merujuk kepada bahan Noli Me Tangere, Jangan Sentuh Pak Lah, Abdullah Tidak Bersalah dan Panel Tiada Prasangka Terhadap Abdullah serta Siapa Perjuangkan Maruah Pak Lah? untuk menjelaskan bahawa Wakil Kaum India (serta Kumpulan Sasterawan Kavyan dan Uthaya sendiri) sejak awal berjuang mempertahankan maruah Pak Lah. Malah, enam perkara pertama dalam senarai pindaan dikemukakan Wakil Kaum India adalah berkaitan Pak Lah.

.

Senarai lengkap Saranan Pemurnian turut diedarkan kepada wakil media dan para hadirin untuk memudahkan mereka membuat rujukan dan pengesahan bahawa Wakil Kaum India sudah 100% melaksanakan tugas sebagaimana diamanahkan oleh Menteri Pelajaran yang melantik mereka ke dalam Panel Bebas.

.

Mengenai anggota lain dalam Panel Bebas serta pendirian dan reaksi mereka, Uthaya menegaskan bahawa Wakil Kaum India tidak akan dan tidak berhak mengeluarkan sebarang komen. Wakil media dan orang ramai wajar/perlu/boleh menghubungi mereka secara langsung untuk mendapatkan sebarang komen; jika mahu.

.

Uthaya yang memberi taklimat mewakili ketiga-tiga Wakil Kaum India berkata, mereka berharap “masalah” berhubung isu-isu menyentuh sensitiviti kaum India dalam novel Interlok edisi murid sudah selesai dan tidak perlu dipolemikkan atau dipolitikkan lagi.

.

Bagaimanapun, secara peribadi – sebagai seorang sasterawan dan Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) – BUKAN MEWAKILI PANEL BEBAS – Uthaya melahirkan “rasa sedih” kerana “bahagian yang menyentuh sensitiviti saudara kaum Melayu dan saudara kaum Cina tidak dapat dipinda” berikutan “pihak tertentu memutuskan untuk menarik balik saranan pindaan yang mereka sendiri kemukakan” atas alasan tersendiri.

.

Kata Uthaya, mujurlah enam perkara berkaitan “maruah” dan “martabat” Pak Lah terkandung dalam senarai dikemukakan Wakil Kaum India; maka mampu dipertahankan oleh mereka bertiga hingga akhir!

.

Selesai taklimat, Krishnabahawan menyampaikan BERITA TERKINI yang diterima daripada sumber rasmi, iaitu bahawa Menteri Pelajaran bersetuju pada pagi ini (25 Mac 2011) agar novel Interlok edisi murid akan dicetak semula dengan segala pindaan (106 pindaan) dilakukan. Malah, Wakil Kaum India akan meneliti draf akhir sebelum buku “edisi dimurnikan” itu dicetak.

.

Selesai Taklimat Media, berlangsung pula sidang media yang turut disertai beberapa individu lain bagi menjawab pertanyaan dan persoalan yang dikemukakan wakil media, wakil NGO dan orang ramai.

.

Semoga taklimat pada 25 Mac 2011 menjawab segala persoalan dan merungkai segala kekeliruan yang timbul. Taklimat ini juga selaras permintaan Menteri Pelajaran kepada Wakil Kaum India supaya memberi penjelasan kepada masyarakat.

.

Sekali lagi, untuk segala maklumat yang sahih daripada pihak Wakil Kaum India, sila rujuk blog www.uthayasb.blogspot.com supaya tidak “tersilap” melaporkan berita yang “kurang tepat” dan “mengelirukan” masyarakat.