1 Oct 2009

Menimba Ilmu Tiada Batasnya

Pada sebelah petang 1 Oktober 2009, saya menyertai bengkel “Menjadi Penulis Bestseller” yang diadakan khusus untuk 20 Guru Perpustakaan & Media (GPM) dari sekolah-sekolah sekitar Sibu, Sarawak.

Saya sentiasa percaya bahawa walaupun “banyak” yang sudah kita ketahui, ada “banyak lagi” yang belum kita ketahui. Bak kata pepatah India: apa yang dipelajari hanyalah segenggam, apa yang belum dipelajari seluas lautan.

Maka, saya tidak segan-silu untuk mendengar dan mencatat nota sewaktu Sdr Mohd Ikram Mohammad Nor Wazir (Editor Kanan, PTS Millennia Sdn Bhd) berkongsi pelbagai maklumat berguna.

Antara maklumat dan fakta yang menarik perhatian saya adalah kenyataan beliau bahawa “karya bestseller tidak semestinya telah/mampu membawa perubahan”. Sebaliknya, “isi dan kandungan buku yang akan kekal sepanjang zaman”.

Sdr Ikram juga mengulas mengenai lima ciri penulis/karya bestseller. Saya percaya bahawa catatan yang saya lakukan boleh membantu saya membaiki kelemahan diri. Terima kasih, Cikgu Ikram!

Pada sebelah malam, berlangsung aktiviti kuiz yang dikendalikan oleh Encik Sharif Apen (Urus Setia Tetap, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia). Satu lagi peluang untuk para peserta, para guru pengiring dan saya untuk “mengulang kaji” pelajaran sekolah sambil berhibur.

Dari semasa ke semasa, saya berusaha mengemaskini maklumat mutakhir pada ruangan “status” di rangkaian sosial Facebook menggunakan telefon bimbit.