30 Jul 2009

Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan

22 Ogos 1999. Suatu tarikh yang penting bagi masyarakat India di Malaysia. Pada hari tersebut, sekumpulan kecil penulis kaum India dan peminat sastera Bahasa Malaysia telah mengadakan suatu perjumpaan tidak rasmi di ibu negara. [BACA LAGI]

Perjumpaan itu amat bermakna kerana telah menyatukan minda-minda yang inginkan pembaharuan dalam bidang penulisan dan kemajuan masyarakat India di Malaysia.

Dalam tempoh sepuluh tahun sejak diasaskan, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berjaya membuktikan semangat “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” yang menjadi asas bagi segala aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya yang dianjurkannya di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak.

Sempena sedekad penubuhan Kavyan, beberapa aktiviti dirancang. Pasti sahaja aktiviti-aktiviti ini terbuka kepada peserta pelbagai kaum – suatu aspek yang menjadi pegangan Kavyan sejak mula-mula diasaskan sepuluh tahun lalu.

Antara aktiviti yang dirancang adalah seperti berikut – tertakluk pindaan dan bergantung pada sumbangan bagi menampung kos.


22 Ogos 2009 (Sabtu)
Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan
Pertemuan Santai Ahli & Sukarelawan Kavyan
Pencapaian Kavyan: Sedekad Lalu, Sedekad Akan Datang
Aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya
[Penaja dicari untuk menampung kos makan-minum]

23-28 Ogos 2009 (Ahad-Jumaat)
Kembara Perpaduan Kavyan di Kedah, Perak & Selangor
Sesi Bertemu Sasterawan Kavyan
Jom Bergaya dengan Buku
Kavyan Berbuka Puasa di Kampung
Perancangan aktiviti secara terperinci belum dilakukan. Dijangkakan berada di Perak pada 23 & 24 Ogos, Kedah pada 25 & 26 Ogos dan Selangor pada 27 & 28 Ogos. Mana-mana pihak yang sudi menerima kunjungan perpaduan pihak Kavyan, amat dialu-alukan. Aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya juga boleh diadakan mengikut kesesuaian.
[Penaja dicari untuk menampung kos petrol, tol dan penginapan]

30 Ogos 2009 (Ahad)
Penghayatan Sastera Kanak-kanak di Banting, Selangor
Kempen Mentor Kelab Membaca Sinar Pintar
[Penaja dicari untuk menampung kos petrol, tol dan penginapan]


Perancangan aktiviti sempena Sedekad Kumpulan Sasterawan Kavyan hanyalah pada skala kecil. Apa yang penting adalah pengisian dan bukannya sambutan besar-besaran yang hanya membazir wang – apatah lagi apabila mengharapkan “sumbangan” daripada golongan berhati mulia untuk menampung kos yang ditanggung.

Jika ada pihak yang mahu “mengundang” Kavyan untuk mengendalikan atau terlibat sama dalam aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya pada 23-28 Ogos 2009, amatlah dialu-alukan; sekiranya sesuai dan kena pada tempatnya.

Promosi dan jualan Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia juga akan dilakukan semasa aktiviti-aktiviti ini.

Aktiviti-aktiviti ini juga dijangka melibatkan kerjasama Kumpulan One Nusantara, Ridz Marketing, Citra Kurnia Enterprise dan Perpustakaan Negara Malaysia.

Semuanya demi memasyarakatkan sastera dan mendaulatkan Bahasa Malaysia.