30 Jul 2009

Kathakali Sarat Nilai Kemanusiaan

Kathakali merupakan himpunan karya Uthaya Sankar SB yang terbaru, selepas belasan buku karyanya sebelum ini. Memuatkan 16 buah cerpen, tampaknya dituju kepada golongan remaja. Namun, ia harus juga dihayati mereka yang sudah pun menjangkau usia itu. Mengisikan pelbagai tema, akan tetapi terasakan sekali pengarang begitu tekun mengangkat permasalahan semasa yang cukup penting dewasa ini, seumpama perihal keterhakisan unsur budaya dalam masyarakat, upaya perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang etnik; hal-hal yang kelihatannya tersisih daripada perhatian umum, menjadikan Uthaya pengarang yang cukup sensitif atau peka akan pelbagai degup dan getar yang berlaku di sekelilingnya.

Kita tentunya terlepas memperhati banyak perkara, akan tetapi tidak pengarang. Sensitiviti, persepsi dan kreativiti pengarang sebetulnya menjalar dan merayap jauh di hujung-hujung benua sukma manusia untuk menemukan makna dan erti. Perihal patriotisme yang barangkali dilihat begitu menipis sekarang, Uthaya mengemukakan melalui beberapa karyanya. Antara lain, “Catatan Sipahi Muda” yang mengangkat pembunuhan JWW Birch. Sebagai pengarang, Uthaya tentulah tidak mengulangi apa yang telah dicatat dalam sejarah. Pengarang “membaca” sesuatu yang tidak pernah terbacakan kita, misalnya bahawa mereka yang melindungi Birch bukanlah atas dasar keyakinan “mempertahankan kebenaran”, sebaliknya atas dasar “mengenang budi”. Tafsiran yang dibuat pengarang cantik di sini. Dan, kita pun masuk ke dalam peristiwa.

Perihal masyarakat yang selalu disifatkan “manusia kecil” kerana kurang upaya, Uthaya memberi mereka keyakinan yang besar; yang luar biasa. Dalam beberapa karya, pengarang meletakkan tinggi kasihnya kepada mereka. Unsur perpaduan juga disinggung. Akan tetapi, sudah tentulah dari perspekstif yang baharu. Pengarang tampaknya tidak menyukai redundansi dalam berkarya. Kerana itu, hujahnya tentang perpaduan kelihatan lain atau berbeza. Ia relevan untuk pembaca masa kini yang lebih analitikal dan mahukan sesuatu yang bernafas baru. “Kathakali” yang diangkat menjadi judul kumpulan cerpen ini pun merupakan sebuah karya yang hebat. Dramatari kathakali bukan sekadar warisan; ia pencetus rasa persefahaman, kecintaan, jati diri dan keperibadian utuh dan teguh.

Elemen lain dalam karya-karya yang terhimpun dalam kumpulan Kathakali yang wajar disentuh ialah aspek ilmunya. Menjadi semacam kecenderungan pengarang tidak hanya mempersembahkan cerita kepada pembaca, melainkan meletakkan di sana sini ilmu dan maklumat. Namun, ilmu dan maklumat bukan pula sesuatu yang mudah diterima pembaca, apatah dalam genre kreatif. Di sini, Uthaya memperlihatkan kecekapan kreatifnya menyisipkan hal-hal yang bersifat keilmuan dan maklumat, sehingga tidak terasakan ia sedang melakukannya. Pembaca dalam kalangan remaja khususnya tidak akan terasa mereka sedang disogokkan sesuatu yang realitinya perlu mereka ketahui.

Pengarang juga bijak mengeksploit setiap ruang emosi pembaca. Uthaya melalui “Bapa Krismas” (dan banyak lagi) mengambil jurus-jurus yang “hilang” daripada perhatian dan ingatan kita. Tidak keterlaluan, ada pembaca akan menitiskan air mata.

Membaca karya sastera adalah upaya mendekati pemikiran pengarangnya dengan penuh mesra dan intim. Di sisi Kathakali kita menemukan pelbagai lapis dimensi pemikiran Uthaya Sankar SB. Karya sastera juga menjadi cerminan diri. Pengarang menyediakan cerminan itu. Kita menilik. Kita kemudian menemui wajah-wajah kita yang dalam kesibukan dan kekangan-kekangan tertentu, ia selama ini terselindung! … Selamat membaca.

(Teks ucapan Prof Madya Dr Lim Swee Tin sewaktu membicarakan Kathakali pada 12 Julai 2009 di Perpustakaan Negara Malaysia. Sila KLIK D SINI untuk pelbagai maklumat lanjut mengenai buku ini.)