Bahagian 5: Apabila Rumah Menanggalkan Bayang
[Baca – Bahagian Empat] Aku masuk ke dalam stor dengan langkah
perlahan. Bukan kerana aku takut. Makhluk seperti aku tidak mengenal takut
seperti manusia mengenalnya. Manusia takut kepada perkara yang belum berlaku. Makhluk
seperti aku takut kepada perkara yang sedang berlaku. Itulah sebabnya kami
lebih berhati-hati.
Dalam gelap, mataku mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Bau kayu
lama semakin kuat. Bau kain yang tersimpan terlalu lama. Bau besi berkarat. Bau
minyak. Bau sesuatu yang pernah disorokkan, kemudian dilupakan.
Tetapi manusia selalu lupa satu perkara: Sesuatu yang disorokkan tidak
pernah benar-benar hilang. Ia hanya menunggu masa untuk ditemui.
Di sudut stor itu ada beberapa kotak lama. Ada foto keluarga. Ada buku
catatan. Ada barang-barang yang tidak digunakan tetapi tidak pernah dibuang.
Manusia memang pelik. Mereka membuang orang daripada hidup mereka tetapi
menyimpan benda yang tidak bernyawa selama bertahun-tahun.
Aku melompat ke atas sebuah kotak kayu. Di atasnya terdapat sebuah buku
kecil. Aku tidak boleh membaca seperti manusia membaca tetapi aku mengenali bau
tangan yang memegangnya. Bau orang yang menulis dalam keadaan marah. Bau orang
yang menulis dalam keadaan sedih. Bau orang yang menulis kerana tiada siapa
mahu mendengar.
Tiba-tiba, bunyi langkah kedengaran. Aku turun. Rahman masuk ke dalam
stor. Untuk pertama kali, aku melihat lelaki itu tanpa wajah yang biasa
dipakainya di hadapan orang lain. Tiada senyuman. Tiada ketegasan. Tiada suara
seorang ketua keluarga. Hanya seorang manusia yang kelihatan sangat tua.
“Aku tahu kau ada di sini.”
Aku tidak bergerak. Dia bercakap kepada aku. Lucu! Tetapi mungkin
manusia selalu bercakap kepada makhluk seperti aku kerana mereka percaya
makhluk kecil tidak akan menghakimi.
“Aku tidak tahu bila semuanya mula rosak,” katanya.
Aku duduk. Dia duduk di lantai.
“Atau mungkin aku tahu. Cuma aku tidak mahu mengaku,” katanya lagi tanpa
mengharapkan sebarang reaksi.
Di luar stor, bunyi manusia semakin banyak. Suara Salmah, Amir, Mak
Timah, dan jiran.
Rumah ini akhirnya membuka mulut.
“Aku hanya mahu menjaga nama keluarga.”
Itulah alasan yang paling sering aku dengar daripada manusia: Menjaga
nama, menjaga maruah, menjaga pandangan orang. Tetapi kadangkala, dalam usaha
menjaga nama, mereka lupa menjaga manusia yang mempunyai nama itu.
Seekor burung gagak pernah memberitahu aku: “Manusia boleh membina pagar
tinggi untuk melindungi rumah tetapi lupa bahawa pagar juga boleh menghalang
cahaya masuk.”
Kini aku faham makna gagak itu. Keluarga ini bukan musnah kerana tiada
kasih sayang. Mungkin mereka musnah kerana terlalu banyak kasih sayang yang tersalah
arah.
Kasih sayang yang takut kepada kebenaran. Kasih sayang yang memilih
diam. Kasih sayang yang lupa untuk bersuara. Kasih sayang yang lebih menjaga
wajah keluarga daripada keselamatan orang dalam keluarga.
Pada pagi berikutnya, seluruh kampung berubah. Tiada lagi pujian. Tiada
lagi kata-kata muluk tentang keluarga contoh. Tiada lagi kunjungan. Tiada lagi
cerita tentang tiga rumah yang menjadi lambang perpaduan.
Manusia cepat mengubah lagu apabila penyanyi jatuh. Semalam, mereka
menyanyi dan memuji. Hari ini, mereka menyanyi untuk menyalahkan.
Aku melihat semuanya dari bawah pokok rambutan. Mak Timah datang duduk
berhampiran. Dia tidak pernah menghalau aku. Mungkin kerana dia tahu, makhluk
seperti aku tidak membawa masalah. Mungkin dia tahu, aku cuma membawa mata dan
memerhatikan apa-apa yang berlaku.
[Lihat
senarai buku Uthaya Sankar SB]
“Kau sudah lama di sini, ya?”
Aku memandangnya. Dia tersenyum.
“Aku tahu kau bukan makhluk biasa.”
Aku terdiam. Manusia tua memang menakutkan. Mereka kadangkala tahu
perkara yang kita sangka hanya kita tahu.
“Aku pernah nampak makhluk seperti kau dahulu,” katanya.
Aku memandang Mak Timah dengan rasa ingin tahu.
“Ketika aku masih muda, ada makhluk seperti kau selalu datang ke rumah
lama kami. Nenek aku kata, kalau makhluk suka tinggal di sesuatu tempat,
mungkin tempat itu ada cerita yang belum selesai.”
Mak Timah mengusap kepala aku.
“Barangkali kau datang bukan mencari makanan,” ujarnya.
Aku memandang tiga rumah itu. Mungkin benar kata-kata Mak Timah. Aku
datang bukan kerana makanan. Bukan kerana tempat tidur. Bukan juga kerana lari
daripada hujan. Aku datang kerana rumah ini memanggil.
Beberapa minggu kemudian, orang kampung mula melupakan apa yang berlaku.
Itulah sifat manusia. Mereka menangis hari ini, esok mereka membeli ikan di
pasar, dan lusa mereka bercakap tentang perkara lain.
Tetapi melupakan tidak sama dengan menyelesaikan. Rumah
itu masih berdiri. Cuma sekarang ia lebih sunyi. Sebahagian penghuni sudah berpindah;
sebahagian masih tinggal. Sebahagian lagi memilih untuk memulakan hidup baharu.
Aku tidak tahu siapa yang benar-benar berubah. Manusia jarang berubah
dalam sehari. Ini bukan dunia fiksyen. Pokok pun tidak tumbuh dalam sehari tetapi
benih boleh ditanam dalam sehari. Mungkin itu sudah cukup untuk mengharapkan
kemungkinan perubahan boleh berlaku dalam diri manusia.
Pada petang terakhir aku di sini, aku berdiri di hadapan tiga rumah itu.
Matahari sekali lagi mula terbenam di sebuah kolam hitam berlumpur, seperti
hari pertama aku datang ke sini.
Aku teringat ketika aku melihat rumah ini buat kali pertama. Aku fikir
rumah itu besar, keluarga ini kuat, malah manusia yang tinggal bersama pasti
saling menjaga.
Kini aku tahu sesuatu yang lebih daripada tanggapan itu. Rumah bukan
sekadar kayu, batu, dan atap. Rumah ialah semua perkara yang manusia pilih
untuk lakukan apabila tiada siapa melihat. Dan manusia bukan baik kerana orang
ramai memuji mereka. Sebaliknya, manusia menjadi benar-benar baik apabila
mereka masih memilih kebaikan ketika tiada sesiapa memberi tepukan.
Burung gagak datang hinggap di pokok rambutan.
“Kau sudah mahu pergi?”
Aku mengangguk.
“Kau sudah dapat jawapan?”
Aku melihat rumah itu. Lama.
“Tidak,” aku mengakui.
“Bagus.” Burung gagak ketawa.
“Bagus?”
“Makhluk yang terlalu cepat mendapat jawapan biasanya berhenti mencari
kebenaran.”
Aku memandang jalan kampung yang panjang. Kemudian aku mula berjalan. Tanpa
nama, tanpa tujuan, tanpa rumah, tetapi membawa terlalu banyak cerita.
Sebelum aku hilang di selekoh jalan, aku menoleh sekali lagi. Tiga rumah
itu masih berdiri. Cuma sekarang aku nampak sesuatu yang tidak aku nampak
dahulu.
Bukan retak pada dinding atau lubang pada atap. Sebaliknya, bayang-bayang.
Dahulu, bayang rumah itu besar kerana manusia menyembunyikan terlalu banyak
perkara. Kini, bayang itu semakin kecil.
Mungkin kerana cahaya sudah masuk. Mungkin kerana manusia akhirnya
belajar membuka tingkap. Atau mungkin kerana sebuah rumah tidak pernah
benar-benar menyimpan rahsia. Ia hanya menunggu makhluk kecil seperti aku
datang untuk mendengar dan menyaksikan cerita.
Kisah haruan makan anak dan sumbang mahram. Kisah hubungan zina dan
khalwat. Kisah amang seksual dan pengantunan seksual yang disembunyikan demi maruah
keluarga.
Dan jika suatu hari nanti anda berjalan di sebuah kampung lama, lalu
melihat makhluk seperti aku berhenti lama di hadapan sesebuah rumah, jangan
terus menghalau makhluk itu. Mungkin dia hanya lapar. Mungkin dia mencari
tempat tidur.
Atau mungkin, seperti aku, dia juga sedang mendengar cerita hubungan
terlarang yang manusia terlalu takut untuk ceritakan secara terbuka. – Tamat


No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!