16 Mar 2025

Pandangan Pembaca Beta “Toyol Pak Darus”

Orang ramai telah dipelawa menjadi pembaca beta [baca di sini] dan berkongsi pandangan ikhlas selepas membaca petikan awal sebuah cerpen bertajuk “Toyol Pak Darus”. Berikut pandangan yang diterima:


(Utusan Malaysia, 15 Mac 2025)

Tajuk “Toyol Pak Darus” itu sendiri menarik minat saya untuk membaca kisah ini. Walaupun saya sudah tahu kisah ini berkenaan toyol, beberapa perenggan awal cerpen ini tetap mewujudkan rasa ingin tahu dalam diri saya tentang apa yang terjadi sebenarnya antara watak Tok Wan, Pak Derus, dan toyol. Lebih-lebih lagi, ayat “Isteri dan anak-anak Pak Darus mati dibunuh toyol sebab tidak diberi makan” menimbulkan rasa ingin tahu lebih lagi tentang kehebatan toyol milik Pak Darus.

Berkenaan watak Tok Wan, saya rasa beliau merupakan seorang tua yang mempercayai perkara-perkara karut. Biasalah, orang yang tinggal di pendalaman banyak mempercayai kisah wujudnya toyol dan hantu, walaupun Tok Wan beragama Islam. Ternyata beliau tidak terdedah kepada dunia moden, hingga wang pun tidak disimpan dalam bank.

Oleh kerana saya biasa dengar kisah-kisah toyol dalam kalangan rakan-rakan Melayu pada tahun 1980-an dan 1990-an, ia meyakinkan saya bahawa kisah ini berlatarkan masyarakat Melayu. Lagipun, ada filem Melayu bertajuk Toyol ditayangkan di pawagam pada tahun 1981.

Sebuah cerpen atau fiksyen perlu tetap ada unsur logik. Dalam hal ini, masih logik apabila watak Pak Darus membuat laporan polis atas ugutan Tok Wan hendak membakar rumahnya. Tentulah Pak Darus mahu dia dan rumahnya dilindungi. Mana tahu jika benar-benar Tok Wan membakar rumahnya nanti. Jika Tok Wan ditangkap polis, dapatlah rumah Pak Darus diselamatkan.

Selepas membaca petikan awal sepanjang 616 perkataan ini, saya rasa toyol tidak wujud sebenarnya. Kes-kes kecurian yang berlaku adalah angkara anak lelaki Hajjah Norjannah bersama konco-konconya. Saya rasa, mereka yang mencuri wang orang kampung dan mengada-adakan kisah kononnya ada toyol di kampung itu. Anak isteri Pak Darus pula mungkin mati sebab termakan cendawan beracun dan bukan dibunuh toyol.

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]


Cerpen “Toyol Pak Darus” oleh Uthaya Sankar SB membawa tema kepercayaan masyarakat terhadap makhluk halus, khususnya toyol, serta betapa kepercayaan ini boleh mencetuskan konflik atau permasalahan dalam kehidupan seharian.

Cerpen ini menggambarkan betapa kepercayaan kepada toyol masih kuat dalam kalangan penduduk kampung, termasuk Tok Wan yang terus menyalahkan Pak Darus tanpa memiliki bukti kukuh. Gambaran dalam petikan cerpen ini menunjukkan bagaimana kepercayaan karut boleh menimbulkan salah faham, perbalahan, dan bahkan tindakan melulu seperti ancaman membakar rumah.

Tok Wan digambarkan sebagai seorang lelaki yang tidak mahu menyimpan wang di bank dan lebih suka menyimpan di tempat tersembunyi di dalam rumah. Sikapnya yang cepat marah dan mudah mempercayai khabar angin akhirnya membawa padah apabila dia sendiri dipenjarakan akibat tindakannya mengugut Pak Darus. Saya fikir ini mungkin sindiran terhadap sikap sesetengah orang yang lebih suka menyalahkan orang lain daripada berfikir secara logik dan rasional.

Narator (seorang remaja 17 tahun) menyampaikan cerpen ini dengan nada sinis tetapi realistik. Dia menyedari bahawa toyol mungkin tidak wujud, tetapi tetap tertarik dengan idea memiliki toyol untuk menjadi kaya. Gambaran ini mencerminkan bagaimana generasi muda mungkin lebih skeptikal tetapi masih terpengaruh dengan impian untuk mendapatkan kekayaan mudah.

Watak Pak Darus yang sudah tua dan tinggal sendirian menunjukkan perihal masyarakat boleh dengan mudah memandang serong terhadap golongan warga emas. Tanpa sebarang bukti, Pak Darus terus dituduh sebagai pemelihara toyol semata-mata kerana cerita turun-temurun dan khabar angin.

Tuntasnya, Tok Wan yang menuduh Pak Darus akhirnya menerima hukuman akibat perbuatannya sendiri. Hukuman penjara mencerminkan bahawa tindakan ugutan dan ganas tidak boleh dibiarkan, walaupun berpunca daripada kepercayaan lama atau tradisional.

Pada pemerhatian sya, cerpen ini menggabungkan sisi humor sinis dan kritikan sosial terhadap masyarakat yang masih mempercayai mitos dan tahyul tanpa asas kukuh. Situasi ini juga mengingatkan pembaca bahawa tindakan melulu berdasarkan kepercayaan karut boleh membawa akibat yang buruk. Gaya bahasa yang bersahaja dan mudah difahami menjadikan cerpen ini menarik untuk dibaca, terutama dalam konteks masyarakat yang masih dipengaruhi unsur tahyul.

Bahagian permulaan cerpen ini mempunyai elemen cangkuk naratif yang sederhana, namun masih boleh diperkukuh. Pembaca diperkenalkan dengan peristiwa penangkapan dan pemenjaraan Tok Wan, yang membangkitkan tanda tanya tentang punca serta latar belakang kejadian. Namun, penyampaian yang bersifat terus dan kurang dramatik sedikit sebanyak mengurangkan impaknya. Jika unsur ketegangan atau misteri disuntik sejak awal, permulaan cerpen pasti lebih mencengkam dan mampu menarik perhatian pembaca dengan lebih berkesan.

Watak Tok Wan digambarkan sebagai seorang yang degil, mudah berang, dan sering melontarkan tuduhan tanpa asas yang kukuh. Sikapnya yang enggan menyimpan wang di bank serta kepercayaannya terhadap kewujudan toyol mencerminkan pemikiran yang konservatif dan cenderung kepada kepercayaan tidak berasas. Kemarahannya terhadap Pak Darus hingga sanggup mengugut untuk membakar rumah memperlihatkan sifatnya yang terburu-buru dan kurang pertimbangan. Akhirnya, tindakan melulu itulah yang membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara.

Pada pemerhatian saya, gambaran masyarakat Melayu dalam cerpen ini kelihatan meyakinkan kerana menampilkan kepercayaan terhadap makhluk halus seperti toyol, amalan menyimpan wang secara tradisional, serta pergantungan kepada bomoh. Dialog, watak, dan peristiwa yang dipaparkan mencerminkan realiti dalam sesetengah komuniti, menjadikannya lebih autentik serta dekat di hati pembaca.

Dalam pada itu, tindakan Pak Darus membuat laporan polis adalah wajar kerana dia secara terbuka diugut oleh Tok Wan dengan ancaman membakar rumahnya. Ugutan seperti ini merupakan satu kesalahan jenayah yang serius. Sebagai warga emas yang tinggal sendirian, Pak Darus berhak mendapatkan perlindungan, dan melaporkan ancaman tersebut kepada pihak berkuasa adalah langkah yang tepat serta rasional.

Apa yang mungkin berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Kemungkinan besar, selepas Tok Wan dipenjara, keluarganya akan lebih berwaspada dalam menguruskan isu kehilangan wang. Mereka mungkin memilih untuk menyimpan wang di tempat yang lebih selamat, seperti di bank. Selain itu, masyarakat kampung juga berkemungkinan mula meragui kewujudan toyol setelah menyedari tiada bukti kukuh yang mengaitkan Pak Darus dengan kejadian tersebut.

[Mohd Izwan bin Mohd Ali seorang guru subjek Bahasa Melayu bagi Tingkatan 6 di SMK Iskandar Shah, Jasin, Melaka. Beliau percaya, pendidikan bukan sekadar penyampaian ilmu, tetapi juga membentuk sahsiah dan pemikiran kritis pelajar. Maka, Mohd Izwan sentiasa menerapkan kaedah pengajaran yang berkesan bagi memastikan pelajar memahami dan menguasai subjek dengan baik. Selain itu, beliau menekankan kepentingan penulisan akademik yang berkualiti, khususnya dari segi tatabahasa, ejaan, dan gaya penulisan yang tepat. Baginya, kejayaan pelajar bergantung pada usaha gigih dan bimbingan berterusan daripada guru.]


Bagi saya, memang ada cangkuk naratif pada permulaan cerita sebab watak dalam cerita dijatuhi hukuman mahkamah kerana mengugut membakar rumah tetangga. Saya juga cuba cari perkaitan antara ugutan dan kehilangan wang yang diceritakan oleh Tok Wan. Keberanian Tok Wan menyimpan duit di rumah juga harus dipuji kerana dia yakin duitnya lebih selamat di rumah berbanding di bank.

Saya rasa watak Tok Wan seorang yang berfikiran moden walaupun tidak menyimpan wang di bank. Dia tidak yakin dengan toyol dan bomoh, malah dia berani menyerang Pak Darus. Tok Wan mungkin mengenali Pak Darus sejak kecil dan tahu apa yang boleh dilakukan oleh toyol Pak Darus.

Pada pemerhatian saya, nama dan gelaran yang digunakan mampu membuktikan cerpen ini mempunyai latar belakang Melayu yang cukup bagus. Apabila membaca cerita ini, saya dapat membayangkan suasana rumah Melayu dan perkampungan Melayu melalui nama-nama watak yang digunakan.

Logikkah watak Pak Darus dikatakan membuat laporan polis atas alasan diugut? Sememangnya agak kurang logik tetapi bukanlah salah untuk membuat laporan polis. Mungkin Pak Darus terasa kedudukannya tergugat dan membuat laporan polis sebelum sesuatu terjadi kepadanya. Pak Darus ingin selamatkan diri sendiri sebelum dia menjadi mangsa tuduhan Tok Wan.

Saya rasa, toyol Pak Darus dan Pak Darus sendiri menjadi mangsa keadaan. Apa jua kecurian yang berlaku, Pak Darus menjadi mangsa yang dituduh sebagai penyebab. Mungkin ada individu lain yang menggunakan situasi ini untuk kepentingan diri sendiri. Boleh jadi watak ‘Aku’ (pencerita) atau anak Hajah Norjannah dalam cerita ini yang mencuri wang penduduk!

[Anuradha Chelliah lahir di Klang, Selangor. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Methodist dan SMK Methodist, Banting sebelum melanjutkan pengajian sarjana muda (2001) dan sarjana (2011) di Universiti Putra Malaysia (UPM). Anuradha kini tinggal di Banting, Selangor dan berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di SK Sri Langat, Banting. Karya beliau boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]



Anda juga mungkin berminat membaca kisah benar berikut: [Siapa Bunuh Veer Singh?] – [Siapa Bunuh Nagamuttu?]