18 Feb 2025

Radha Paati, Guruji, dan Keldai Terbang

Radha Paati duduk di kerusi rotan usang, dikelilingi cucu-cucu yang berbaring di atas tikar pacar, khusyuk menunggu kisah yang biasa didengari pada setiap hujung minggu.

Suara gemercik angin dan hujan renyai menambah kesan magis pada suasana petang yang tenang. Seorang demi seorang cucu yang berusia enam hingga sebelas tahun, dengan penuh rasa ingin tahu, menanti cerita yang bakal disampaikan.

“Ceritalah lagi tentang serigala, paati,” pinta Rajan, cucu paling kecil, dengan mata bersinar-sinar.

Radha Paati tersenyum lembut kerana gembira cucu-cucunya masih berminat mendengar kisah-kisah daripada epik, hikayat, dan purana walaupun saban hari menatap telefon bimbit dan komputer riba.

Maka, dengan suara yang bergetar penuh emosi, warga emas itu memulakan kisahnya. Beliau menggabungkan cerita yang pernah didengar semasa kecil bersama kisah yang sedang dibaca dalam sebuah buku.

“Di sebuah desa yang jauh, tinggal seekor serigala yang sangat cerdik. Dia memiliki seekor keldai ajaib yang boleh terbang tinggi ke langit.”

“Keldai ajaib yang boleh terbang? Wow!” Sangeeta mencelah dengan penuh teruja.

“Betul. Setiap malam, serigala itu menunggang keldai tersebut dan terbang menuju awan, merentasi gunung-ganang, menyusuri lembah yang mendalam, dan akhirnya pada suatu hari tiba di sebuah tempat yang penuh dengan bintang,” Radha Paati meneruskan dengan penuh penghayatan.

Pada waktu begini, beliau merasakan dirinya turut menjadi seorang kanak-kanak; umpama dirinya sewaktu kecil dan teruja mendengar cerita disampaikan oleh orang tua pada waktu malam sebelum tidur.

“Di situlah serigala itu menemui dunia yang sangat indah. Suatu alam yang penuh dengan makhluk-makhluk mistik hidup bersama para dewa dan dewi kayangan,” sambung Radha Paati dengan tenang, sesekali menatap wajah cucu-cucu yang khusyuk mendengar.

Namun, tiba-tiba suara kritikan muncul daripada Rani, cucu sulung berusia sebelas tahun.

“Tak logiklah, paati! Mana mungkin serigala dan keldai boleh terbang? Lagipun, tak ada oksigen di langit tujuh lapis, ‘kan? Tak ada siapa boleh terbang tanpa udara,” katanya dengan penuh keyakinan, umpama watak Hermione Granger dalam siri Harry Potter.

“Ya, betul juga apa yang akka cakap. Lagipun, kita tak pernah lihat serigala terbang, ‘kan?” tambah Rajan.

Radha Paati tersenyum sambil memandang para cucu yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Siru Kambam, Taiping.

“Cerita ini adalah kisah lama. Hikayat, purana, epik, dan cerita rakyat memang ada kisah-kisah seperti ini. Dalam dunia ini, ada perkara yang kita tidak boleh fahami dengan akal sahaja. Kadang-kadang, kisah-kisah ini bukan untuk difikirkan dari sudut fakta saintifik, tetapi sebagai pengajaran tentang keberanian dan pengorbanan watak-watak terbabit,” Radha Paati menerangkan dengan suara perlahan, sambil mengingati kisah-kisah yang pernah didengar sewaktu kecil dulu.

Sangeeta dan Navin mengangguk. Tetapi Rani dan Rajan ternyata masih tidak berpuas hati.

“Kalau begitu, mengapa paati percaya dengan cerita-cerita itu? Lagipun, paati selalu bercerita tentang Guruji yang konon pernah terbang ke Indraloka. Kisah itu lagi tak masuk akal!” kata Rani – bukan dengan biadab dan kasar, sebaliknya dengan tegas dan penuh keyakinan.

Suasana bertukar sepi seketika. Radha Paati terdiam. Dia memandang para cucu yang semakin pandai dan bijak berfikir. Kemudian, kembali mengenang cerita-cerita lama yang sering disampaikan oleh orang tua-tua semasa dia masih kecil.

Kemudian segera pula mengingat kisah Guruji, tokoh agama yang sudah menjadi legenda dalam kalangan penganut Hindu di negara ini sejak tahun 1930-an.

“Guruji ...,” Radha Paati menyebut nama itu perlahan; penuh hormat. “Beliau seorang tokoh suci yang sangat berilmu dan bijaksana. Banyak yang telah beliau ajar para pengikutnya.”

Wanita tua itu memandang sekilas foto Guruji yang digantung pada dinding rumah papan peninggalan mendiang suami. Foto berbingkai itu dipakaikan untaian malai yang ditukar tiga hari sekali.

[Cerpen ini dihasilkan pada Permukiman Menulis di Bentong, Pahang pada 8-9 Februari 2025. Uthaya Sankar SB lahir di Taiping, Perak. Beliau mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Baca biodata penuh di sini.]

Berikut reaksi pembaca beta bagi beberapa cerpen: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Raman dan Kultus Guruji] – [Rahasya di Pulau Cinta] – [Cinta Maya Arjuna] – [Menunggu Kathiravan] – [Menanti Kepulangan Arjun]

Anda juga mungkin berminat membaca kisah benar berikut: [Siapa Bunuh Veer Singh?] – [Siapa Bunuh Nagamuttu?]