15 Feb 2025

Pandangan Pembaca Beta “Menanti Kepulangan Arjun”

Orang ramai telah dipelawa menjadi pembaca beta [baca di sini] dan berkongsi pandangan ikhlas selepas membaca petikan awal sebuah cerpen bertajuk “Menanti Kepulangan Arjun”. Berikut pandangan yang diterima:

Bahagian permulaan cerpen, iaitu beberapa perenggan awal, perlu ada daya penarik atau cangkuk naratif (narrative hook). Berdasarkan beberapa perenggan terawal cerpen ini, saya merasakan memang ada unsur cangkuk naratif. Pembaca akan tertanya-tanya siapa itu Arjun. Apakah hubungan Arjun dengan watak “Aku”? Dan ke mana Arjun hilang selama tujuh tahun? Malah, sebagai seorang pembaca beta, saya tertanya-tanya, adakah Arjun itu watak jahat atau baik?

Pada masa sama, timbul pula pertanyaan tentang hubungan sebenar antara watak “Aku” dan Arjun. Pada pandangan dan pemahaman saya apabila membaca petikan awal sekitar 530 perkataan cerpen ini, mungkin watak “Aku”  dan Arjun mempunyai hubungan sejenis atau homoseksual. Lagipun, perwatakan Arjun digambarkan tidak meminati sukan dan bersifat lembut. Malah, ada satu  bahagian dalam petikan cerpen ini di mana disebut watak “Aku” dan Arjun berpelukan.

Petikan cerpen “Menanti Kepulangan Arjun” tidak memberi maklumat tentang latar belakang (tempat) cerita berlaku. Maklumat fizikal watak-watak juga tidak dinyatakan. Namun begitu, tidak menjadi masalah dalam sebuah cerpen jika tidak diterangkan maklumat tempat dan keadaan fizikal sesuatu watak.  Ini bukan novel. Di dalam novel perlu diceritakan secara terperinci sebab pembaca akan bersama setiap watak sepanjang novel. Jadi, saya tidak kisah apabila perkara-perkara itu tidak dihurai dalam cerpen ini.

Apabila saya meneliti dan memikirkan apa yang telah berlaku kepada watak Arjun, saya teringat cerpen “Cinta Maya Arjuna”. Kemungkinan besar watak Arjun dalam cerpen “Menanti Kepulangan Arjun” adalah sama dengan watak Arjuna yang bercinta dengan Maya dalam cerpen “Cinta Maya Arjuna”. Dahulu, Arjun/Arjuna cuba membunuh diri tetapi ditolong oleh Guruji. Kemudian, Guruji mengajak Arjun/Arjuna masuk dalam kumpulannya untuk melakukan jenayah.

Selepas membaca petikan awal cerpen sepanjang sekitar 530 perkataan, saya cuba menggunakan imaginasi untuk mengandaikan apa yang akan berlaku seterusnya. Saya membayangkan bahawa watak Arjun hendak membunuh Guruji, lalu meminta pertolongan watak “Aku” untuk melakukannya. Watak “Aku” pula akan pura-pura bersetuju. Pada andaian saya, watak “Aku” adalah seorang inspektor polis. Dia memang menunggu peluang keemasan itu.

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) ialah kumpulan cerpen sulung beliau manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen bahasa Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya-karya Mahendran boleh dibaca di portal Sastera Kavyan dan Eksentrika.]

Bahagian awal cerpen ini memang ada unsur cangkuk naratif. Setelah tiba-tiba menerima satu mesej ringkas daripada seseorang individu bernama Arjun yang merupakan sahabat baik penerima mesej (“Aku”) yang tiada khabar berita dan hilang selama tujuh tahun tentu menjadi tanda tanya. Ia mampu menarik minat pembaca.

Pada pandangan saya, hubungan antara watak “Aku” dan Arjun ialah mereka merupakan sahabat yang baik mungkin sejak kecil lagi. Mereka tentu  berkongsi banyak pendapat tentang pelbagai pekara dalam kehidupan dan mungkin juga bekerja bersama-sama setelah dewasa. Namun, tentulah sukar diduga sepenuhnya kerana saya hanya membaca petikan awal cerpen.

Maklumat tentang latar belakang (tempat) mahupun maklumat fizikal watak-watak tidak diberikan dalam petikan cerpen tetapi ini tidak mengurangkan minat. Sebagai pembaca beta, saya masih dapat membayangkan satu situasi yang umum. Perkara berkenaan tidak mengganggu jalan cerita yang ingin disampaikan oleh penulis.

Arjun mungkin memilih untuk ke tempat lain untuk mendapatkan lebih pengalaman dan peluang demi mengubah beberapa pekara dalam kehidupannya kepada situasi yang lebih baik. Mesej menerusi telefon yang menyatakan bahawa “aku bukan orang yang dulu” mencadangkan bahawa Arjun mungkin menjadi seseorang yang berbeza dari segi rupa fizikal atau watak.

Saya cuba membayangkan apa yang mungkin berlaku seterusnya dalam cerpen “Menanti Kepulangan Arjun. Pada imaginasi saya, setelah Arjun kembali, mungkin dia telah melakukan perubahan kepada rupa fizikalnya. Ini mungkin kerana sejak kecil, dia sering diejek kerana perwatakannya yang lembut. Arjun mungkin telah memerlukan masa dan ruang untuk melakukan perubahan yang diperlukannya.

[Kasthuri Anamalay @ Jeeva Kasthuri dilahirkan di Taiping, Perak dan kini tinggal di Sungai Petani, Kedah. Beliau berkelulusan dari Informatics dalam bidang komputer dan Open University Malaysia (OUM) dalam bidang pengajian bahasa. Kasthuri seorang pengusaha dan guru tuisyen sepenuh masa serta jurulatih teknik menjawab bagi mata pelajaran Sains.]

Berikut pula reaksi pembaca beta bagi cerpen-cerpen lain: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Raman dan Kultus Guruji] – [Rahasya di Pulau Cinta] – [Cinta Maya Arjuna] – [Menunggu Kathiravan]

Anda juga mungkin berminat membaca kisah benar berikut: [Siapa Bunuh Veer Singh?] – [Siapa Bunuh Nagamuttu?]