[Terdapat
tulisan mengenai “sains erotik” dalam tradisi India seawal abad pertama. Kama Sutra hanya salah satu daripadanya.]
Sekiranya anda berpendapat
bahawa perbincangan mengenai topik seks dan seksualiti secara terbuka adalah
pengaruh negatif dari negara-negara barat, anda ternyata tersilap menerima maklumat.
Atau anda umpama katak di bawah tempurung. Atau umpama politikus yang hanya pandai menuding
jari.
Atau pun anda kurang mengetahui kewujudan
beberapa buku yang dikarang khusus untuk membicarakan topik seks. Antaranya, Ananga-Ranga
dalam tradisi India, Sexual Handbook of The Dark Girl yang dikarang pada
kurun keenam di China, The Perfumed Garden dalam budaya Arab serta buku Permata
Yang Hilang yang tersebar secara meluas di negara kita.
Kalau sekali pun anda tidak pernah
mendengar judul buku-buku yang dinyatakan di atas, pasti anda pernah
sekurang-kurangnya mendengar rakan-rakan bercakap mengenai sebuah teks klasik
dari negara India
berjudul Kama Sutra. Sebut sahaja judul itu, ramai (khususnya remaja)
dilanda rasa ghairah dan berahi!
Kama Sutra
ternyata adalah teks yang dikategorikan sebagai 18SX kerana penuh dengan maklumat mengenai seks yang jarang
dibicarakan oleh orang ramai secara terbuka. Malah, pasti ramai yang membaca Kama
Sutra tanpa diketahui oleh rakan-rakan dan ahli keluarga.
Bagaimanapun, sebelum saya meneruskan
makalah ini, wajar saya menasihatkan pembaca beragama Islam supaya merujuk pada
Majlis
Fatwa Kebangsaan – jika perlu – berhubung “hukum” membaca
makalah yang membicarakan topik berkaitan Kama
Sutra.
Teks Thirukural
karangan Thiruvalluvar terbahagi kepada tiga bahagian iaitu “Aram” (etika
masyarakat dan usaha mencapai nirvana), “Porul” (harta, politik dan
pemerintahan) dan “Inbam” (kasih, cinta, berahi dan hubungan suami-isteri).
Topik-topik hampir sama juga sebenarnya sudah terdapat dalam teks-teks seperti
“Dharmasastra”, “Arthasastra”,
“Mokshasastra” dan “Kamasastra”.
“Kama ”
adalah istilah Bahasa Sanskrit yang bermaksud “nafsu” atau “berahi”. Maka, Kama
Sutra merupakan teks yang membicarakan secara khusus mengenai seks dan
perlakuan seks secara terbuka dan tanpa berlapik. Segala persoalan dan topik
berkaitan hubungan kelamin serta hubungan lelaki dan wanita diperkatakan secara
terperinci dalam teks berkenaan. Tidak hairanlah Kama Sutra juga digelar
“kitab”.
Sebenarnya, Kama Sutra hanya salah satu teks yang terkandung di bawah bidang
“Kamasastra” yang dinyatakan di atas tadi. Teks-teks lain termasuk
“Anangaranga” oleh Kalyanmalla, “Nagarasarvasva” oleh Bhikshu Padmashri,
“Ratirahasya” oleh Kokkoka, “Smaradipika” oleh Minanatha dan “Kamasamuha” oleh
Ananta.
Pengarang Kama Sutra dipercayai
ialah seorang pendita dan guru agama Hindu bernama Vatsyayana Mallanaga. Beliau
dikatakan hidup antara tahun 200 Masehi dan 300 Masehi di tempat bernama
Pataliputra iaitu sebuah kawasan di antara Benares
dan Culcutta di bahagian India Utara.
Walau bagaimanapun, pengkaji Kama Sutra
berpendapat bahawa Vatsyayana bukanlah pengarang asli Kama Sutra.
Sebaliknya beliau lebih memainkan peranan sebagai penyunting atau penyelenggara
bagi teks berkenaan. Pandangan ini adalah kerana memang terdapat tulisan
mengenai “sains erotik” (erotic science) dalam tradisi India seawal
abad pertama.
Maka, Vatsyayana dipercayai telah mengumpul
segala maklumat yang sedia ada lalu menghasilkan teks Kama Sutra yang
terus terkenal sehingga kini. Usaha Vatsyayana adalah suatu usaha yang berani
kerana membincangkan secara terbuka hal-hal berkaitan seks dan seksualiti.
Dalam kebudayaan India, terdapat empat teks
“sutra” atau “sastra” yang dianggap menyamai tahap kitab suci. Teks yang
dimaksudkan ialah Arthasastra yang membicarakan soal harta serta
kelangsungan hidup; Dharmasastra yang menyentuh etika dan norma hidup
bermasyarakat; Mokshasastra iaitu teks yang menyentuh mengenai
persediaan menghadapi hidup selepas mati; serta Kamasastra yang sudah
dijelaskan tadi.
Thirukural
karangan Thiruvalluvar adalah teks mengenai moral dan etika yang bukan
berlandaskan agama. Maka, teks berkenaan bersifat universal tanpa batas agama. Thirukural
sendiri terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Aram (Dharma dan Moksha),
Porul (Artha) dan Inbam (Kama). Hal ini menguatkan lagi fakta bahawa
persoalan mengenai perlakuan seks bukanlah suatu topik yang terlalu asing dalam
budaya India
sejak lebih dua ribu lima ratus tahun lalu.
Malah, dalam konteks budaya tradisional
India, terdapat konsep “purushartha” iaitu “empat matlamat kehidupan”. Matlamat
berkenaan adalah “dharma, artha, kama, moksha”. Dalam Kama Sutra, dinyatakan bahawa “dharma” adalah lebih penting
daripada “artha” manakala “artha” lebih penting daripada “kama”. Katanya lagi,
“artha” patut diamalkan dahulu oleh pemerintah manakala “kama” menjadi pilihan
lebih penting bagi golongan biasa.
Sekiranya diteliti, hal-hal berkaitan
aktiviti seks yang dibicarakan secara terbuka dalam Kama Sutra adalah
jauh lebih “hebat” dan “mendalam” berbanding apa yang dibincangkan oleh
masyarakat kini. Saya pernah menyentuh perkara ini menerusi sebuah makalah yang
disiarkan dalam majalah Sarina pada
Mei 2004.
Kama Sutra
dikarang dalam Bahasa Sanskrit iaitu bahasa klasik India . Apa yang terkandung di
dalamnya adalah segala perlakuan seks dan topik berkaitan seks yang boleh
dibayangkan oleh manusia. Tidak hairanlah teks berkenaan turut diakui sebagai
sebuah “ensiklopedia seks” oleh sebahagian pakar psikologi seks.
Teks klasik ini diterjemah ke Bahasa
Inggeris oleh Richard Burton pada tahun 1883 dan mula tersebar luas dalam
kalangan golongan berada di Britain .
Versi terjemahan ini tidaklah menyeluruh. Namun, teks terjemahan yang tidak
sepenuhnya itu pun sudah cukup untuk menimbulkan kontroversi pada masa itu. Kama
Sutra dikatakan membicarakan topik-topik yang “terlarang” dan dianggap tabu
dalam masyarakat Britain.
Sesungguhnya Kama Sutra adalah teks
mengenai hal-hal berkaitan seks yang biasanya tidak dibincangkan secara terbuka
dalam masyarakat. Vatsyayana tidak mahu berlapik-lapik sewaktu membicarakan
segala topik berkaitan seks seperti posisi seks, hubungan kelamin, cumbuan
serta saiz alat kelamin.
Suatu perkara yang nyata, pada zaman
sewaktu Kama Sutra dikarang, masyarakat India mendalami ilmu berkaitan seks
serta mengamalkan pelbagai petua seks. Panduan-panduan seks juga nampaknya
dikongsi bersama rakan-rakan serta diajar kepada anak-anak sebagai bekalan
hidup. Hal ini tidaklah menghairankan kerana seks dan hubungan kelamin dianggap
sebagai sebahagian daripada naluri dan tuntutan hidup manusia normal. – Bersambung minggu
depan [DI SINI]
(Uthaya Sankar SB gemar
mengkaji tamadun, seni dan budaya masyarakat India. Beliau adalah presiden
Kumpulan Sasterawan Kavyan. Catatan ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 21 Mei 2012. © Uthaya Sankar SB)