8 Jul 2012

Kama Sutra – Bahagian 2

[Kama Sutra bukanlah sebuah teks pornografi yang bertujuan merangsang nafsu seks semata-mata.]

[DI SINI <--- Bahagian 1] Salah satu mesej yang cuba disampaikan oleh Kama Sutra adalah bahawa untuk menjadi “pakar seks” bukanlah sesuatu yang berlaku secara automatik. Sebaliknya, “ilmu” itu perlu dipelajari. Kama Sutra sendiri menyarankan supaya “ilmu pakar seks” dipelajari daripada teks berkenaan serta dengan cara berguru kepada orang yang sudah pakar.

Suatu hal yang menarik – atau mungkin juga memeranjatkan – adalah pada hakikat bahawa pada zaman kehidupan Vatsyayana, sebaik sahaja seorang kanak-kanak mencapai peringkat akil baligh, dia akan diberi pendidikan seks yang amat menyeluruh; selain ilmu mengarang bunga, bermain alat muzik, perang dan ekonomi.

Kemahiran hidup serta “kemahiran” seks diajar kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan sebaik sahaja mereka melepasi usia kanak-kanak.

Dalam Kama Sutra sendiri diterangkan bahawa kanak-kanak perempuan yang baligh akan dibawa ke tempat terpencil oleh seorang guru yang akan mengajarnya 64 ilmu – termasuk beberapa ilmu yang disenaraikan tadi. Kama Sutra pula menjadi teks yang wajib dipelajari. Hanya selepas itu gadis berkenaan memenuhi syarat untuk berkahwin.

Kama Sutra bukanlah sebuah teks pornografi yang bertujuan merangsang nafsu seks semata-mata. Sebaiknya teks berkenaan adalah sebuah ensiklopedia yang serba lengkap dan menyeluruh. Kandungannya pula disusun secara penuh sistematik.

Terdapat tujuh bahagian utama di mana setiap bahagian pula dibahagikan kepada bab-bab kecil. Berikut adalah secara am pembahagian 36 bab berkenaan:

Bab Satu: Pandangan Umum (5 bab)

Kandungan Buku
Tiga Matlamat Hidup – Artha, Dharma, Kama
Menimba Ilmu
Tingkah Laku Lelaki Terhormat

Bab Dua: Mula Memikat (10 bab)

Merangsang Keinginan Erotik
Memeluk
Menyentuh dan Meraba
Ilmu Mencakar
Menggigit
Hubungan Seks
Seks Lisan
Memulakan dan Mengakhiri Permainan

Bab Tiga: Mencari Isteri (5 bab)

Jenis-jenis Perkahwinan
Teknik Menundukkan Wanita
Teknik Memiliki Wanita
Bersatu Melalui Perkahwinan

Bab Empat: Tugas, Tanggungjawab dan Hak Isteri (2 bab)

Bagi Isteri Tunggal
Bagi Isteri Sulung serta Isteri-isteri berikutnya

Bab Lima: Isteri Orang (6 bab)

Tingkah Laku Lelaki dan Wanita
Tugas Sebagai Pasangan Sementara

Bab Enam: Pelacur Terhormat (6 bab)

Mencari Kekasih Tetap
Cara Menambah Pendapatan
Menjalin Persahabatan dengan Bekas Kekasih

Bab Tujuh: Panduan serta Kepercayaan (2 bab)

Berjaya dalam Cinta dan Seks
Mengatasi Lemah Batin

Pembahagian bab seperti dipaparkan di atas tentu mampu memberi gambaran yang lebih menyeluruh mengenai kandungan Kama Sutra. Namun, mungkin sahaja perkara-perkara yang dinyatakan pada zaman di mana teks ini dikarang sudah tidak sesuai dengan masa kini. Setidak-tidaknya, terdapat pelbagai tips yang boleh diambil secara positif dan dimanfaatkan.

Kama Sutra antara lain memperkatakan mengenai teknik mendapatkan nikmat maksimum melalui hubungan seks, pendidikan seks, cara mewujudkan suasana yang sesuai bagi mengadakan hubungan seks, teknik serta cadangan aktiviti sebelum hubungan kelamin, teknik melambatan pancutan air mani, mencari keserasian antara saiz alat kelamin lelaki dan wanita, posisi seks serta panduan mengatasi masalah seksual.

Perlu ditekankan bahawa Kama Sutra bukan mengajar mengenai seks semata-mata. Sebaliknya, teks ini juga mengajar cara untuk menikmati hidup sepenuhnya. Kama Sutra turut menyentuh mengenai interaksi dan hubungan antara manusia. Interaksi yang dimaksudkan adalah termasuk interaksi sosial, hubungan melalui perkahwinan serta hubungan seks.

Kama Sutra juga bukan semata-mata manual atau teks yang menghimpunkan tips mengenai hubungan seks dan posisi seks. Apa yang jauh lebih penting daripada teknik hubungan seks adalah keintiman antara dua individu yang terlibat dalam pelakuan seks itu; iaitu pasangan suami-isteri. Kama Sutra menekankan bahawa seks, cinta dan keintiman perlu didekati sebagai sebuah upacara yang amat ritual sifatnya.

Kama Sutra menyarankan pasangan suami-isteri supaya memastikan ruang atau bilik tidur dihiasi dengan bunga-bungaan, buah-buahan dan haruman. Perhiasan serta suasana yang selesa dan romantik adalah langkah pertama ke arah hubungan intim bagi pasangan suami-isteri.

Pilihan warna, jenis kain langsir, jenis bau-bauan serta muzik latar yang dipilih secara bijak – berpandukan tips dalam Kama Sutra tentunya – dikatakan boleh membantu membangkitkan nafsu dan keghairahan pasangan berkenaan.

Kama Sutra turut memberi keutamaan pada aspek hubungan intim secara fizikal sebelum pasangan suami-isteri menjalin hubungan kelamin. Dalam Bahasa Inggeris, tahap ini disebut sebagai foreplay.

Antara bentuk foreplay yang diterangkan secara terperinci dalam Kama Sutra adalah mandi bersama, memandang ke dalam anak mata pasangan, bermadah cinta, bercumbu, menyentuh serta membangkitkan naluri seks pasangan.

Dalam hal ini, Vatsyayana selaku penyelenggara Kama Sutra menekankan bahawa wanita dan lelaki sebagai spesis manusia sama-sama menginginkan kenikmatan dalam hubungan yang dijalin. Maka, tidak timbul soal wanita memenuhi keinginan lelaki; atau sebaliknya.

Kama Sutra turut mendidik serta mengingatkan si suami supaya memikirkan kepuasan nafsu si isteri sebelum menumpukan perhatian terhadap kepuasan diri. Jelaslah bahawa walaupun tajuk-tajuk bab pada Kama Sutra kelihatan lebih berorientasikan lelaki, namun, pada hakikatnya, teks ini memberi tumpuan sama rata bagi lelaki dan wanita.

Sejak wujudnya Kama Sutra, teks berkenaan menjadi panduan kepada pelbagai lapisan masyarakat yang ingin “belajar” teknik menjadi pasangan yang baik. Teknik serta pelbagai jenis kucupan dan ciuman diterangkan secara amat terperinci dalam Kama Sutra.

Teknik menggigit, menjilat, menghisap, memicit serta mencalar turut diajar dalam teks ini yang dianggap sebagai “kitab” bagi golongan yang sentiasa ingin mempelajari sesuatu yang baru. Apatah lagi, Kama Sutra menjelaskan secara terperinci pelbagai posisi seks yang mungkin sahaja tidak pernah dibayangkan oleh kebanyakan orang. – Bersambung minggu depan [DI SINI]

(Uthaya Sankar SB gemar mengkaji tamadun, seni dan budaya masyarakat India. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan. Catatan ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 28 Mei 2012. © Uthaya Sankar SB)