15 Jul 2012

Kama Sutra – Bahagian 3

[Pelbagai saranan dan panduan yang dikemukakan dalam Kama Sutra turut diakui pakar seksologi moden.]

[BAHAGIAN SATU - DI SINI] Tentu sekali muncul pandangan yang berbeza daripada pelbagai pihak mengenai Kama Sutra. Apatah lagi memandangkan teks ini membicarakan isu-isu yang dianggap tabu dalam masyarakat; khususnya masyarakat India. Antara lain, Kama Sutra “mengizinkan” setiap individu memiliki lebih daripada satu pasangan.

Bab Lima bertajuk “Isteri Orang” misalnya memberi nasihat serta panduan kepada lelaki dan wanita yang ingin menjalin hubungan di luar ikatan perkahwinan. Bab Enam pula khusus bagi wanita simpanan dan pelacur.

Walau bagaimanapun, perlu diakui bahawa memang terdapat banyak ilmu dan pendidikan seks dan seksualiti dalam Kama Sutra. Kaum lelaki diajar cara-cara melayan isteri. Turut dikemukakan panduan praktikal bagi mengatasi masalah lemah tenaga batin. Petua-petua ini terdapat dalam hampir setiap bab.

Telah dinyatakan lebih awal bahawa Kama Sutra turut memperkatakan mengenai keserasian bagi alat kelamin lelaki dan wanita. Dijelaskan secara terus-terang dalam Kama Sutra bahawa alat kelamin lelaki dan wanita terdapat dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna. Setiap jenis diberi nama timangan menggunakan nama binatang; misalnya “lembu jantan” dan “rusa betina”.

Suatu hakikat yang terpaksa diterima pada masa kini adalah mengenai pendedahan golongan remaja terhadap perlakuan seks menerusi video lucah dan internet. Ramai yang mendapat gambaran yang salah iaitu bahawa alat kelamin yang bersaiz besar bagi lelaki menjamin kepuasan hubungan seks.

Sebaliknya, Kama Sutra menegaskan bahawa saiz alat kelamin – bagi lelaki mahu pun wanita – tidak menjadi faktor penentu tahap kepuasan. Sebaliknya keserasian antara alat kelamin pasangan – mengikut kategori yang dijelaskan dalam Kama Sutra – boleh menjamin kepuasan. Malah, saranan yang dikemukakan dalam Kama Sutra dalam hal ini turut diakui pakar seksologi moden.

Tidak setakat itu, Kama Sutra turut memberi panduan dan tips kepada suami-isteri yang tidak memiliki “pasangan” alat kelamin yang serasi. Hal ini dijelaskan dalam bab terakhir Kama Sutra.

Dalam Kama Sutra, hubungan kelamin pasangan suami-isteri dirujuk sebagai “penyatuan” atau “union”. Sembilan jenis “penyatuan” dijelaskan secara terperinci untuk panduan dan manfaat pasangan terbabit. Untuk mencapai “penyatuan” yang memberikan kesan yang maksimum, perlu ada keserasian antara jenis dan saiz alat kelamin pasangan terbabit.

Bagi pasangan yang tidak memiliki keserasian yang dinyatakan di atas, Kama Sutra memberikan panduan bagi cara memaksimumkan kesan dan kepuasan. Untuk itu, diterangkan secara terperinci 30 posisi seks yang boleh membantu pasangan terbabit mencapai nikmat dan kepuasan yang diinginkan.

Apa yang lebih menarik, Kama Sutra menyebut bahawa melalui 30 posisi seks ini, seseorang individu akan mempelajari ratusan cara untuk menjalin hubungan seks!

Posisi seks yang diterangkan pula diberi nama-nama yang agak melucukan; misalnya “lembu”, “kuda jantan”, “ketam”, “seruling patah” dan “ratu kayangan”. Sekiranya diteliti, kebanyakan posisi yang disarankan ini amat sukar dipraktikkan. Namun, perlu diingat bahawa pada zaman Kama Sutra ditulis, rata-rata masyarakat India melakukan yoga sebagai aktiviti seharian.

Kama Sutra juga ternyata adalah teks yang memuatkan maklumat berdasarkan kajian saintifik. Teks ini menyelongkar realiti kehidupan. Misalnya, Vatsyayana mengumpul maklumat daripada para pengkaji sebelumnya; lalu mencatatkan bahawa seorang lelaki secara purata hanya mengambil masa sepuluh minit untuk mencapai kemuncak (klimaks) semasa hubungan seks. Golongan wanita pula memerlukan masa antara 30 dan 40 minit.

Atas dasar itulah juga Kama Sutra mementingkan aktiviti sebelum hubungan seks yang disebut foreplay. Turut dikemukakan tips bagi memastikan “permainan” yang lama dan memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak. Dalam hal ini, dinyatakan beberapa posisi seks yang mampu meningkatkan “nikmat” bagi wanita serta melambatkan lelaki mencapai kemuncak.

Vatsyayana turut menyentuh mengenai seks lisan (oral sex) dan seks dubur (anal sex) dalam Kama Sutra serta menerangkan lapan teknik yang diamalkan; tetapi sempat mengingatkan bahawa kedua-duanya adalah seks tidak normal yang wajar dihindari bagi mengelakkan kesan negatif.

Bahagian terakhir Kama Sutra ternyata membicarakan mitos dan kepercayaan berkaitan kekuatan tenaga batin serta saranan mengatasi masalah lemah tenaga batin. Antara maklumat yang pasti hanya merupakan kepercayaan karut adalah bahawa sekiranya seorang lelaki memegang mata merak yang dibalut dengan kepingan emas di tangan kiri, maka dia akan mendapat kepuasan maksimum dalam hubungan seks.

Turut disenaraikan petua memikat, menggoda serta memukau gadis. Terdapat juga petua mengatasi masalah mati pucuk, menambah ketegangan serta memastikan ketegangan yang berpanjangan. Ada juga petua untuk membolehkan seorang lelaki meniduri seribu wanita!

Malah, satu lagi petua menjelaskan bahawa suatu ramuan perlu dicampur dengan tahi monyet. Campuran itu perlu direnjis oleh si lelaki pada gadis yang diidamkan. Maka, si gadis tidak akan terpikat kepada mana-mana lelaki lain selain si lelaki yang merenjis ramuan itu tadi.

Tidak diketahui sama ada saranan yang dibuat pada bahagian terakhir Kama Sutra benar-benar akan membuahkan hasil. Bahagian Satu hingga Bahagian Enam diakui sebagai mengandungi maklumat yang boleh dipercayai serta praktikal. Mungkinkah panduan dan saranan dalam Bahagian Tujuh juga boleh diterima?

Hal ini masih menjadi teka-teki. Rata-rata pembaca lebih tertarik pada enam bahagian terawal kerana membicarakan hal-hal yang lebih menarik, praktikal dan merangsang naluri seksual. Menurut Kama Sutra, keadaan ini tidaklah menghairankan kerana memang begitu tabii manusia.

Bagi menyelongkar lautan berahi yang terkandung dalam Kama Sutra, tentunya anda perlu membaca sendiri teks berkenaan dengan penuh teliti. Apatah lagi, kini Kama Sutra terdapat dalam pelbagai bahasa; termasuk versi berilustrasi.

Maklumat juga boleh dicapai melalui internet dan dalam bentuk DVD. Ilmu dan petua yang baik bolehlah dijadikan panduan berguna bagi golongan dewasa; manakala apa-apa perkara yang dirasakan tidak baik wajarlah dijadikan sempadan.

Bagaimanapun, bagi khalayak beragama Islam, sila semak dahulu dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan “hukum” membaca Kama Sutra kerana saya tidak mahu dituduh cuba menggugat keimanan atau menyesatkan anda!

(Uthaya Sankar SB gemar mengkaji tamadun, seni dan budaya masyarakat India. Beliau adalah pemilik tunggal “Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya”. Catatan ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 4 Jun 2012. © Uthaya Sankar SB)