16 Jul 2019

Busana Bahasa: Menabur Benih di Ladang Sastera


Penglibatan penulis berdarah India dalam Sastera Kebangsaan sebenarnya bermula dengan Munsyi Abdullah yang dinobatkan sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden. Malah, sebagaimana ditulis di Eksentrika (5 April 2017), Tun Sri Lanang yang menyusun Sejarah Melayu (1612) juga berdarah India.

Penulis kaum India di Malaysia menceburi bidang penulisan puisi, cerpen, novel, esei, dan drama dalam Bahasa Malaysia, Tamil, dan Inggeris. Dinyatakan di Eksentrika (21 Mei 2019) tentang Ignatius Dev Anand, G. Soosai, Joseph Selvam, N.S. Maniam, Belaetham K, dan Nathesan Selappan yang merupakan antara penulis kaum India yang terlibat dalam Sastera Kebangsaan sejak tahun 1970-an dan 1980-an.

Istilah “Sasterawan Kavyan” diperkenalkan semasa acara Diskusi Sastera Kavyan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 10 Julai 2004 bagi merujuk secara khusus kepada penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Mengikut data yang dikumpul oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), jumlah penulis kategori ini yang masih aktif menulis tidak sampai 30 orang (Dewan Sastera, Jun 2017).


Antologi Vanakam (2002) memuatkan sepenuhnya cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkan sekumpulan Sasterawan Kavyan. Penulis generasi baharu seperti Balachandran Murugasan (mendiang), M. Mahendran, Ramakrishnan Ramasamy, Rekka Baskaran, Sardah Appalasamy, Saroja Theavy Balakrishnan, Thanusya Shanmuganathan, dan Venoo Kuppusamy sudah memiliki buku persendirian, sama ada kumpulan sajak, kumpulan cerpen, atau novel.

Cadangan bagi menyelenggarakan sebuah antologi baharu dikemukakan kepada rakan-rakan Sasterawan Kavyan pada Mei 2018, tetapi kurang mendapat sambutan. Mujur juga Kavyan dan DBP menganjurkan Sesi Penulisan Intensif pada Disember 2018 dan Mac 2019. Sebagaimana diharapkan, muncul beberapa penulis baharu, selain beberapa penulis lama yang kembali aktif berkarya.


Lalu, pada Mac 2019, cadangan diketengahkan sekali lagi bagi melahirkan sebuah antologi yang memuatkan karya-karya Sasterawan Kavyan — sajak, cerpen, esei, dan fragmen novel. Sekurang-kurangnya 30 penulis kaum India yang pernah menghasilkan karya Bahasa Malaysia dihubungi dan diundang untuk terlibat dalam projek eksklusif ini.

Akhirnya, seramai 13 penulis dengan pelbagai latar pendidikan, umur, pengalaman dan minat menyertai projek ini demi menghasilkan sebuah antologi yang boleh dibanggakan. Bagi lapan peserta, antologi ini merupakan buku sulung yang memuatkan karya mereka. Ada beberapa karya yang sudah tersiar di majalah, lalu ditambah baik bagi tujuan antologi. Terdapat juga karya yang lahir menerusi Sesi Penulisan Intensif.

Walaupun Sasterawan Kavyan hanya terdiri daripada kumpulan kecil penulis (minoriti), sebagaimana ditekankan di Dewan Sastera (Jun 2017), peranan dan sumbangan ke arah memperkaya Sastera Kebangsaan, serta menyemarakkan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya memang amat besar, signifikan dan wajar diperakukan.


Antologi Busana Bahasa lahir untuk memperagakan koleksi “pakaian indah” yang dikarang dan digubah dalam bentuk sajak, cerpen, esei, dan fragmen novel.

Sesungguhnya, salah satu ciri penting Sastera Kebangsaan terletak pada kemampuan pengarang menulis tentang keunikan budaya, adat, pemikiran, agama, kepercayaan, dan sebagainya berkaitan kaum, keturunan, atau etnik yang diwakili.

Sajak “Pesta Cahaya” dan “Ponggal”; cerpen “Perang dalamMinda”, “Pertemuan” dan “Rani a/p Ramalinggam”; fragmen novel “Savithri” dan “Skandal”; serta esei “Thali – Rantai Perkahwinan Wanita India”, “Tiada Janggut Kerana Kunyit” dan “Tuhan dalam Emas?” memiliki muatan budaya dan pemikiran kaum India yang diperagakan kepada khalayak pelbagai kaum, agama dan budaya.


Esei “Chetti: Jantung Budaya Pusaka Bangsa” dan “Lauk Pindang Ikan Parang” membantu kita memahami keunikan komuniti Chetti Melaka, manakala esei “Persepsi Masyarakat India Terhadap Komunikasi Kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad” mengungkapkan Weltanschang (pandangan dunia) kaum India terhadap politik dan kepimpinan.

Cerpen “Kenangan Lama” dan “Perjalanan Seorang Pengemis” ditampilkan dalam format autobiografi atau memoir secara kreatif. Terpulang kepada pembaca untuk sama ada menikmatinya sebagai fiksyen atau menjadikannya tingkap untuk menjenguk ke dalam kehidupan peribadi pengarang.


Sajak “Bangsa Penghapus Kemunduran”, “Cerita dari Balkoniku”, “Pengemis Kota”, “Pokok Tua”, “Rintihan Hati Tua” dan “Sehati Sejiwa”; cerpen “Lintah” dan “Vaksin”; serta esei (ulasan buku) “Mahasiswa dan Fungsi Intelektual” berusaha mengungkapkan isu-isu sosial yang menuntut khalayak supaya tidak setakat menyaksikan busana yang diperagakan; sebaliknya bertindak mengikut kemampuan bagi mewujudkan perubahan positif yang diinginkan dalam diri, keluarga, masyarakat, dan negara.

Sajak “Izinkan Aku Melangkah Jauh”, “Parut”, “Penantian”, “Kau Puteraku”, dan “Sahabat” mungkin kelihatan seperti catatan pengalaman yang bersifat peribadi. Namun, apabila dihayati, sajak-sajak berkenaan memiliki mesej universal. Esei “Kepelbagaian Aliran Buddhisme” pula membuka peluang untuk mengenali ajaran yang dibawa oleh Gautama Buddha.

Sajak seperti “Komatha” dan “Vishu” memberi peluang kepada masyarakat pelbagai kaum, keturunan, etnik, dan agama untuk mengenali amalan, budaya, dan kepercayaan kaum India beragama Hindu.


Sajak seperti “Secawan Beras”, “Pancaroba”, “Dirgahayu, Wahai Guru”, “Politikus”, dan “Warung Kopi” mengingatkan kita kepada hal-hal yang mungkin dianggap kecil, tetapi sebenarnya memberi kesan besar kepada kehidupan manusia.

Sajak “Busana Bahasa” disepakati para peserta untuk diangkat menjadi judul antologi. Judul ini secara tidak langsung mengungkapkan hakikat kaum India di Malaysia — lebih-lebih lagi Sasterawan Kavyan — bukan setakat mengangkat dan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, malah tampil memperagakannya dengan penuh bangga kerana bahasa ini adalah milik bersama Bangsa Malaysia.


Demikianlah, seramai 13 Sasterawan Kavyan dengan penuh jujur berkongsi karya — 21 sajak, 7 cerpen, 8 esei dan 2 fragmen novel — demi memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkaya Sastera Kebangsaan.

Kini, terserah kepada khalayak untuk menikmati dan menghargainya.

(Paparan ini merupakan prakata tulisan Uthaya Sankar SB bagi antologi Busana Bahasa yang terbit pada 16 Julai 2019. Buku ini boleh dibeli daripada para penulis terbabit; atau hubungi WhatsApp 011–11411952 untuk membuat pembelian daripada penyelenggara/penerbit.)