10 Sept 2018

Perihal Nara, Vanara dan Narayana


“Nara”, “Narayana”, “Narasimha”, “Narayani” dan “Vanara” antara istilah yang sering disebut kaum India. Anda juga tentu biasa mendengarnya.

Bagamanapun, tahukah anda makna kata-kata berkenaan? Makna istilah “nara” yang menjadi asas kepada kata-kata yang disenaraikan di atas.


Dalam epik Ramayana, Hanuman dan kumpulan kera (monyet, lotong) digelar “vanara”. Secara mudah, ia membawa makna “kera”.

Dalam epik Mahabharata, watak Arjuna dan Dewa Krishna juga dirujuk sebagai Nara-Narayana. Kisah mereka juga dihuraikan dalam Bhagavata Purana. Ada berhala Nara-Narayana di Badrinath, Uttarakhand, India.


Watak Narasimha merupakan avatara Dewa Vishnu yang keempat. Anda mungkin mengenalinya dalam bentuk rupa manusia berkepala singa yang membunuh Hiranyakasipu.

Anda juga mungkin mengenali individu bernama Narayanan dan Narayani. Kedua-duanya nama lazim dalam kalangan penganut Hindu, di mana nama Narayanan @ Narayana @ Narayan dikaitkan dengan Dewa Vishnu dan Narayani dikaitkan dengan Dewi Lakshmi.


“Nara” bermakna “manusia”. Dengan itu, “Narasimha” membawa makna “manusia singa” atau “singa bertubuh manusia”. Jika anda membaca purana berkaitan Narasimha dan Prahalath, maka akan faham sepenuhnya kisah ini.

“Narayana” merujuk secara langsung kepada Dewa Vishnu. Ia boleh membawa makna “ketua kepada manusia”, “pencipta manusia” dan “pelindung manusia”.


Bagaimana pula dengan “vanara” yang merujuk kepada kumpulan kera/monyet, khususnya Hanuman dan rakan-rakannya? “Va” membawa maksud “kurang” (lesser). Maka, “vanara” membawa maksud “kurang manusia” (lesser than human) iaitu satu tahap lebih rendah daripada manusia.

Nama “Narayani” memang lazim digunakan bagi golongan wanita. Ia dilihat sebagai “milik Dewa Vishnu” atau “pasangan Dewa Vishnu”. Malah, ada kuil yang dibina pada abad ke-7 bagi Dewi Narayani di Orissa, India.


Namun begitu, perlu juga diingat bahawa dalam hukum bahasa Sanskrit, apabila suatu perkataan diakhiri dengan “i” maka membawa makna “sebaliknya” (opposite). Dengan itu, janganlah semua nama lelaki yang berakhir dengan “a” diganti dengan “i” untuk menjadikannya nama wanita.