22 Jan 2019

Kula + Varga = Kulavarga (Keluarga)


Ayuh bercakap mengenai beberapa lagi istilah Sanskrit, Tamil dan Malayalam yang kini menjadi sebahagian daripada kosa kata Bahasa Malaysia.

“Kolam” (poolpond) berasal daripada “kulam” (குளம் / കുളം) dalam Tamil dan Malayalam di mana kuil-kuil besar di seluruh India Selatan biasanya ada kolam tempat penganut mandi dan membersihkan diri sebelum bersembahyang.

Kita sering melihat ejaan “kolam” digunakan dalam Bahasa Malaysia bagi “kolem” iaitu lukisan tradisional di lantai menggunakan tepung beras atau pelbagai bijirin lain. [Klik di sini untuk maklumat kolem.]


Kulam” (குலம்കുലം) atau “kula” (Sanskrit) merujuk kepada apa yang kita biasa sebut sebagai “keluarga” dalam Bahasa Malaysia. Akan tetapi, “kulam” sebenarnya merujuk kepada apa yang biasa disebut “clan” dalam Bahasa Inggeris iaitu “kaum keluarga”, “kerabat” dan “suku kaum”.

 

Misalnya, “arasa kulam” merujuk kepada “kerabat diraja”.

 

Ramai penganut Hindu di Malaysia menyembah “kula theivam” iaitu dewa/dewi yang disembah secara turun-temurun oleh keluarga mereka.

 

Sebenarnya, perkataan “keluarga” dalam Bahasa Malaysia menggabungkan konsep “kulam” (குலம்കുലം) dan “vargam” (வர்க்கம் / വര്‍ക്കം), di mana “vargam” dalam Tamil dan Malayalam (atau “varga” dalam Sanskrit) juga merujuk kepada “clan” seperti dinyatakan di atas.



Dalam Bahasa Malaysia, “warga” (daripada “vargam”) sering dilihat sebagai “warganegara” atau “warga kota”. Sebenarnya, ia juga merujuk kepada “anggota” dan “kaum keluarga”.

 

Maka, “keluarga” dalam Bahasa Malaysia adalah gabungan “kula” dan “varga” daripada bahasa/budaya Sanskrit, Malayalam dan Tamil, iaitu kula + varga = kulavarga (keluarga).

 

Individu yang diberi nama “Kulasekaran” (குலசேகரன்) pula membawa makna individu terbaik dalam suku kaum (the best in the clan).




Catatan ini dibuat oleh Uthaya Sankar SB dalam usaha membuka minda masyarakat pelbagai kaum tentang perkongsian bahasa dan budaya di Malaysia. Foto-foto sekadar hiasan.