“Nara”, “Narayana”, “Narasimha”, “Narayani” dan “Vanara”
antara istilah yang sering disebut kaum India. Anda juga tentu biasa
mendengarnya.
Bagamanapun, tahukah anda makna kata-kata berkenaan? Makna
istilah “nara” yang menjadi asas kepada kata-kata yang disenaraikan di atas.
Dalam epik Ramayana, Hanuman dan kumpulan kera
(monyet, lotong) digelar “vanara”. Secara mudah, ia membawa makna “kera”.
Dalam epik Mahabharata, watak Arjuna dan Dewa Krishna juga dirujuk
sebagai Nara-Narayana. Kisah mereka juga dihuraikan dalam Bhagavata Purana. Ada
berhala Nara-Narayana di Badrinath, Uttarakhand, India.
Watak Narasimha merupakan avatara Dewa Vishnu yang keempat.
Anda mungkin mengenalinya dalam bentuk rupa manusia berkepala singa yang
membunuh Hiranyakasipu.
Anda juga mungkin mengenali individu bernama Narayanan dan
Narayani. Kedua-duanya nama lazim dalam kalangan penganut Hindu, di mana nama Narayanan @
Narayana @ Narayan dikaitkan dengan Dewa Vishnu dan Narayani dikaitkan dengan Dewi Lakshmi.
“Nara” bermakna “manusia”. Dengan itu, “Narasimha” membawa
makna “manusia singa” atau “singa bertubuh manusia”. Jika anda membaca purana berkaitan Narasimha dan
Prahalath, maka akan faham sepenuhnya kisah ini.
“Narayana” merujuk secara langsung kepada Dewa Vishnu. Ia
boleh membawa makna “ketua kepada manusia”, “pencipta manusia” dan “pelindung
manusia”.
Bagaimana pula dengan “vanara” yang merujuk kepada kumpulan
kera/monyet, khususnya Hanuman dan rakan-rakannya? “Va”
membawa maksud “kurang” (lesser).
Maka, “vanara” membawa maksud “kurang manusia” (lesser than human) iaitu satu tahap lebih rendah daripada manusia.
Nama “Narayani” memang lazim digunakan bagi golongan wanita.
Ia dilihat sebagai “milik Dewa Vishnu” atau “pasangan Dewa Vishnu”. Malah, ada
kuil yang dibina pada abad ke-7 bagi Dewi Narayani di Orissa, India.
Namun begitu, perlu juga diingat bahawa dalam hukum bahasa
Sanskrit, apabila suatu perkataan diakhiri dengan “i” maka membawa makna “sebaliknya”
(opposite). Dengan itu, janganlah
semua nama lelaki yang berakhir dengan “a” diganti dengan “i” untuk
menjadikannya nama wanita.
Baca juga — [Nama-nama Sangakalam] [Trivia Nama Tempat] [Kula + Varga = Keluarga] [Asal Nama Kerinchi]