28 Dec 2014

Dilema 31 Ogos 1957 – Sejarah Disembunyikan?

Sambutan Hari Malaysia pada 16 September sepatutnya menjadi upacara kebangsaan, dan bukannya tarikh 31 Ogos yang sering dipropagandakan sebagai Hari Kemerdekaan.

Demikian pandangan yang ditegaskan oleh William Mangor dari Kuching, Sarawak apabila diminta mengulas kempen menutut cuti umum bagi Bumi Kenyalang pada 22 Julai.

“Tarikh 31 Ogos 1957 adalah tarikh Tanah Melayu merdeka. Negara Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 manakala Negara Sabah (Borneo Utara) merdeka pada 31 Ogos 1963.

“Pada tarikh 16 September 1963, sebuah persekutuan yang dinamakan Malaysia dibentuk oleh empat buah negara setaraf, iaitu Singapura, Malaya, Sabah dan Sarawak,” kata wartawan keturunan Bidayuh itu.

Topik yang sedikit sensitif ini menjadi bahan perbincangan kami baru-baru ini menjelang Bulan Kemerdekaan.

Dapat diperhatikan bahawa William menggunakan frasa “Negara Sabah” dan “Negara Sarawak” sedangkan kita sudah terbiasa menggunakan istilah “negeri” apabila merujuk kepada kedua-duanya.

Pemuda kelahiran Melaka yang menguasai Bahasa Malaysia, Inggeris, Iban dan Bidayuh itu memberikan penjelasan berdasarkan fakta sejarah yang tidak diajar di sekolah.

“Semasa pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, perjanjian yang ditandatangani tidak menurunkan taraf Sabah dan Sarawak kepada negeri. Sebaliknya, kedua-duanya adalah rakan kepada Tanah Melayu dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Pada pandangan Nagathisen Katahenggam dari Pulau Pinang pula, reaksi republikanisme itu bukanlah sesuatu yang menghairankan.

“Reaksi republikanisme ini wujud kerana persepsi rakyat Sabah dan Sarawak bahawa mereka ditekan oleh pemerintah pusat. Mereka berpendirian bahawa kemerdekaan (keluar daripada Malaysia) akan membuka peluang lebih luas.

“Pada penelitian saya, jika Persekutuan Malaysia mahu kekal utuh, pemerintah pusat harus membuka mata,” katanya sambil merujuk kepada pelbagai perkembangan di Sabah dan Sarawak yang dilaporkan di pelbagai media alternatif sejak beberapa bulan lalu.

Fakta yang disembunyikan dalam buku teks

“Saya percaya masih ramai generasi muda kita belum mengetahui signifikan sambutan 22 Julai ini kerana ada antara mereka percaya Sarawak merdeka selepas menyertai pembentukan Malaysia,” Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Pattingi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dilaporkan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Sambutan Perayaan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia pada 22 Julai 2014.

Sedikit rujukan bahan arkib menemukan berita di akhbar The Sunday Times (1 September 1963) yang melaporkan kemerdekaan Sabah:

“On top of a hillock the new Sabah flag was flying proudly in the morning breeze in front of the District Council building. District Councillors and village elders took up positions before the proclamation made in various languages.”

Maklumat dan fakta seperti ini memang sudah tidak didedahkan dalam mana-mana media arus perdana. Malah sudah terpadam daripada buku-buku teks di sekolah.

Rakyat Malaysia seolah-olah dimasukkan dalam suatu acuan yang sama untuk menghasilkan penduduk yang hanya tahu “sejarah” yang dimanipulasi dan disogokkan oleh pemerintah dan kuasawan.

Akibat ditekan dan ditindas dalam perkara berkaitan kedudukan sebenar Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia, ramai penduduk Sabah dan Sarawak yang bangkit memanfaatkan media alternatif dan laman rangkaian sosial seperti Facebook untuk mendedahkan fakta-fakta yang disembunyikan.

Satu lagi topik yang dibincangkan dalam kerangka tajuk berkaitan Hari Malaysia adalah berkaitan isu perkauman dan konlfik agama yang semakin berleluasa di negara bertuah ini.

“Saya cenderung untuk merujuk Quran, di mana Allah menjadikan manusia itu pelbagai kaum, bangsa, suku dan puak. Sememangnya diciptakan begitu untuk saling melengkapi dan berhubungan secara harmoni dan saling kenal-mengenali serta saling memahami,” kata Mohamad Feroz Mohammad Zaini yang menggunaan nama Abang Long di Facebook.

Rakan daripada etnik Banjar yang lahir di Singapura dan kini tinggal di Klang berpendirian bahawa apabila kita tinggal di sebuah negara berbilang kaum, maka perasaan perkauman perlu dikawal sebaik mungkin.

“Kita tidak boleh memusuhi sesuatu kaum. Apa yang digalakkan adalah perkongsian hidup berteraskan kasih-sayang sesama manusia,” kata Feros yang mendapat pendidikan rendah dan menengah di Taiping, Perak.

Perkauman jadi makanan politikus

Bagi Nagathisen pula, selagi masyarakat masih tidak boleh menerima konsep sekularisme serta masih kekal dengan mentaliti “agama saya sahaja yang betul” maka tidak mungkin isu kaum dan agama boleh diselesaikan di Malaysia.

William yang mengkagumi Nelson Mandela, Abraham Lincoln dan Stephen Kalong Ningkan turut berkongsi pandangan dalam perbualan kami.

“Isu perkauman semakin menjadi-jadi kerana pengaruh media yang membesar-besarkan isu yang kecil. Konflik antara kaum mungkin boleh dikurangkan jika media mengurangkan ulasan-ulasan yang sensasi,” katanya.

Pemuda itu berkongsi pandangan bahawa konflik antara agama juga semakin menjadi-jadi lantaran sikap media yang umpama menuangkan minyak ke dalam api. Katanya, dialog antara agama perlu dilakukan bagi mengelakkan salah faham yang bakal merugikan semua pihak.

Dengan segala cabaran yang dihadapi, mampukan kita mencapai perpaduan “Bangsa Malaysia” yang dimpikan? Demikian satu lagi soalan yang saya kemukakan kepada rakan-rakan berkenaan.

“Belum mampu. Sikap kerajaan yang diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa memainkan isu agama dan perkauman. Kepercayaan antara kaum dan agama, terutama di Semenanjung Malaysia, semakin pudar,” bidas William yang berumur 24 tahun dan memiliki pengetahuan mendalam terhadap isu-isu semasa.

Pada pandangan Nagathisen, perpaduan Bangsa Malaysia sebenarnya sudah pun wujud. Menurut anak jati Pulau Pinang ini, walaupun isu perkauman digembar-gemburkan di media, realiti kehidupan kita kekal aman.

Feroz juga optimis bahawa perpaduan Bangsa Malaysia yang diimpikan itu sebenarnya sudah tercapai; cuma belum menepati ciri-ciri penyatuan yang sempurna.

“Cuba kita renung kembali dengan hati nurani kita. Sewaktu sekolah rendah, kanak-kanak pelbagai kaum, agama dan etnik boleh berkongsi sebuku roti. Pada masa kini juga, kedai India ada menjual nasi lemak, kedai Cina menjual kuih tepung talam dan kedai Melayu menjual vade,” katanya sambil mengimbas pengalaman sendiri.

Berdasarkan pengalaman dan penelitian saya, hubungan antara kaum menjadi renggang sedikit demi sedikit selepas Tun Mahathir Muhamad menjadi perdana menteri pada awal 1980-an.

Akhirnya, pada masa sekarang, kita melihat sendiri generasi muda yang menjadi mangsa manipulasi parti-parti politik dan ahli politik yang menggunakan isu-isu perkauman dan konsep “pecah dan perintah” demi kepentingan politik mereka.

Rakyat perlu berani bersuara lantang

Pada pandangan Feroz, semakin ramai anak muda menolak politik dan politikus yang memporak-perandakan kehidupan masyarakat.

“Majoriti rakyat marhaen sudah masak dengan perangai politikus dari mana-mana parti yang hanya akan erat, rapat dan melekat dengan orang ramai (rakyat) menjelang pilihan raya.

“Usai sahaja pilihan raya, politikus, wakil rakyat dan Ahli Parlimen akan mula amat sibuk sehingga amat mustahil ditermui oleh penduduk dan pengundi,” kata pengusaha perniagaan ini.

Nagathisen mempunyai pandangan yang hampir senada. Pada penelitiannya, politikus di Malaysia belum cukup matang tetapi sebaliknya terlalu terkongkong dengan ideologi parti sehingga sukar menyatakan pendapat sendiri.

“Apabila ada politikus yang berani menyuarakan pendapat yang berbeza dengan parti, maka mereka akan sewenang-wenangnya dilabel sebagai proksi kepada parti lawan. Politikus kita juga masih belum mampu membezakan antara kerajaan dan parti politik,” tegasnya.

William turut menyelar politikus di Malaysia yang disifatkannya belum mencapai tahap kematangan yang diharapkan.

“Baik kerajaan atau pembangkang, kedua-dua pihak sibuk saling menghentam. Hanya menjelang pilihan raya, masing-masing mula berusaha mendekati rakyat dan pengundi,” katanya.

Demi kelangsungan survival politik, mungkinkah politikus dan kuasawan sanggup mengubah sejarah dan menyembunyikan fakta? Tentu sahaja soalan retorik ini tidak perlu dijawab.

Salah satu contoh terdekat adalah berkaitan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2014.

“Penduduk Sabah dan Sarawak semakin lantang mempersoalkan apakah perlunya mereka meraikan tarikh 31 Ogos 1957 sedangkan hanya Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tarikh itu.

“Untuk mengelakkan kepincangan yang wujud, kita harus memilih antara Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia sebagai perayaan utama,” Nagathisen mengemukakan cadangan untuk dibahaskan.

[Makalah ini ditulis pada 20 Ogos 2014 dan disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 21 Ogos 2014. BACA MAKALAH BERKAITAN DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]