Saturday, 27 December 2014

Guru Terlepas, Pelajar Dibuli

Selain daripada krisis Menteri Besar Selangor, isu mengenai seorang pelajar berumur 17 tahun yang mahu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 juga mendapat perhatian ramai.

Laporan Bernama (14 Ogos 2014) menyatakan bahawa Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Osman Hussain meluahkan rasa kesal kerana perkara itu dihebahkan dalam laman sosial sehingga mencetuskan kontroversi.

Katanya, ia boleh ditangani secara muhibah dalam suasana “kekeluargaan” kerana kedua-dua individu (guru dan pelajar) datang daripada sekolah yang sama.

Saya sebagai individu yang “menghebahkan” isu itu sebenarnya rasa bersyukur kerana dikurniakan peluang dan keberanian untuk mendedahkan perkara itu menerusi Facebook, dan seterusnya mendapat perhatian rakan-rakan media.

Hal ini adalah kerana kalaulah insiden yang berlaku tidak didedahkan, masalah pihak berkuasa mengambil berat dan bertindak untuk mencari penyelesaian (walaupun lambat bertindak).

Pendedahan awal dilakukan pada 11 Ogos 2014 selepas saya meneliti maklumat yang disampaikan kepada saya selaku perunding media.

Seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah kebangsaan di Pulau Pinang takut untuk ke sekolah berikutan tindakan sekumpulan guru sekolah itu yang menghasut para guru dan pelajar sekolah berkenaan memboikot dan membakar pelajar itu.

Dengan bantuan seorang kenalan yang ada sedikit kuasa, saya berpeluang mendapatkan salinan laporan yang dibuat pelajar terbabit di Balai Polis Bandar Tasek Mutiara.

Nampaknya mangsa menerima satu mesej daripada seorang kawan sekolah yang memberitahu bahawa akaun Facebook miliknya ada tertera tentang halaman (page) “I Love Israel” sedangkan mangsa tidak menekan “like” dan tidak tahu-menahu tentang hal itu.

Selepas itu, mangsa mendapati paparan pada Facebook miliknya telah diambil gambar (screenshot) dan dimuat naik (upload) oleh seorang guru sekolah di akaun Facebook miliknya.

Apabila mangsa membaca komen yang tertera pada paparan tangkapan skrin itu, didapati beberapa lagi guru dan pelajar sekolah memaki mangsa serta mahu membakarnya hidup-hidup kerana dituduh menyokong Israel.

Mangsa trauma akibat hasutan guru

Sambil meneliti salinan kandungan laporan itu, saya memahami bahawa mangsa takut terjadi apa-apa berikutan apa yang berlaku dan mungkin memberi kesan buruk pada dirinya.

Malah, atas sebab itulah laporan polis dibuat. Bukannya untuk mendakwa guru-guru terbabit. Hal ini jelas apabila saya meneliti laporan berkenaan.

Dengan bantuan orang dalam jugalah saya berpeluang mendapatkan salinan tangkapan skrin itu. Didapati bahawa bersama-sama tangkapan skrin itu ditulis kata-kata “Anak muridku suka Israel? Buat malu cikgu sahaja.”

Saya pergi ke laman guru berkenaan dan mendapat maklumat bahawa beliau tinggal di Simpang Ampat, Pulau Pinang dan mencatatkan pekerjaannya sebagai “cekgi” (cikgu).

Kebanyakan rakan kepada lepasan pengajian Matematik dari Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang itu adalah guru dan pelajar pelbagai kaum dari sebuah sekolah di Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang.

Seorang lagi guru lepasan ijazah sarjana muda seni halus Universiti Sains Malaysia yang juga tinggal di Simpang Ampat mula melakukan hasutan.

“Sedangkan sekutu Israel kita boikot, apakan lagi budak ini. Boikot saja. Mulai hari ini, boikot dia. Jangan berkawan dengannya atau berkomunikasi dengannya.” Demikian lebih-kurang kata-kata guru wanita itu.

Saya lebih terkejut apabila seorang guru lain pula menyimbah minyak ke dalam api. “Kita bakor je hahaha,” katanya.

Perbuatan seperti ini tidak boleh dipandang ringan. Beberapa kenalan saya (termasuk “orang dalam”) melakukan tinjauan dan tidak menolak kemungkinan mangsa mengalami trauma.

Tidaklah menghairankan jika mangsa enggan ke sekolah kerana takut dibuli, dipukul, dihina atau benar-benar dibakar berikutan hasutan beberapa guru seperti terpapar di Facebook.

Mengapa pendedahkan dibuat di Facebook?

Saya difahamkan bahawa pada pagi 12 Ogos 2014, ibu bapa mangsa pergi ke sekolah untuk bertemu pengetua. Sayangnya beliau tiada.

Tujuan sebenar ibu bapa pergi adalah untuk bertemu pengetua dan guru-guru terbabit. Tentu sahaja mereka tidak mahu kes berpanjangan.

Apatah lagi ia menjejaskan pelajaran anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Demi menarik perhatian semua pihak terbabit supaya memandang serius terhadap apa yang berlaku, maklumat mengenai insiden itu saya paparkan menerusi Facebook – media sosial sama yang digunakan oleh “cekgi” untuk menarik perhatian orang mengenai apa yang disifatkannya sebagai “buat malu cikgu sahaja”.

Tentulah saya memandang serius perbuatan guru-guru terbabit kerana ia mencemarkan profesion perguruan yang dipandang mulia.

Golongan guru sepatutnya menumpukan pada tugas hakiki dan bukannya masuk campur urusan peribadi pelajar.

Tindakan guru-guru berkenaan menghina, mengancam nyawa dan menjatuhkan maruah pelajar itu dengan menyalah gunakan kemudahan Facebook dan internet amat memalukan.

Guru-guru itu juga secara jelas dan penuh sedar telah menghasut guru-guru dan para pelajar sekolah supaya memboikot pelajar itu.

Malah mereka pergi hingga ke tahap menghasut supaya mangsa yang tidak bersalah itu dibakar hidup-hidup. Ini bukan perkara kecil yang boleh dipandang ringan.

Kempen boikot Israel yang berlaku di beberapa tempat pada 8 Ogos 2014 menunjukkan secara jelas pelbagai kejadian yang tidak diingini, mengundang keganasan, emosi tidak terkawal dan perbuatan melampau.

Saya bimbang bahawa hasutan guru-guru dalam kes ini akan membahayakan nyawa dan keselamatan pelajar terbabit, apatah lagi apabila pihak berkuasa belum bertindak semasa saya melakukan pendedahan menerusi Facebook.

Sebaran dilakukan memandangkan pihak terbabit gagal menyelesaikan masalah secara dalaman selepas ibu bapa mangsa pergi berjumpa pihak pentadbiran sekolah untuk mencari penyelesaian secara baik.

Mangsa terus dimangsakan!

Saya tidak melakukan sebarang hasutan. Sebaliknya hanya mendedahkan apa yang berlaku serta melaporkan berdasarkan fakta bagi mendapatkan reaksi orang ramai; serta menarik perhatian pihak berkuasa yang mungkin terlepas pandang akan betapa serius perkara ini.

Kerjasama rakan-rakan media membantu mempercepatkan usaha menarik perhatian pihak berkuasa supaya bertindak segera.

Akan tetapi, nampaknya pihak berkuasa lebih berminat untuk menyiasat mangsa di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948. Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi menerusi media.

Tentulah saya tidak akan berdiam diri jika polis “membebaskan” guru-guru yang menghasut supaya pelajar terbabit diboikot dan dibakar, manakala mangsa pula mahu disiasat di bawah Akta Hasutan.

Ternyata saya tidak sendirian dalam meluahkan rasa terkejut dan tidak bersetuju. Laporan di pelbagai media dalam talian (online) mendapat reaksi segera daripada orang ramai.

Malah, tindakan polis mahu menggunakan Akta Hasutan ke atas mangsa (remaja bawah umur) turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Saya memaparkannya DI SINI untuk rujukan umum.

Ramai juga orang Malaysia yang melakukan protes dengan menyukai laman “I Love Israel”. Mereka dengan berani menggesa supaya mereka juga perlu disiasat di bawah Akta Hasutan jika apa yang dilakukan oleh pelajar berumur 17 tahun itu dikatakan salah.

Agak menarik bahawa seorang individu yang mengakui dirinya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam turut sudah sedia menyukai laman itu.

Soalnya sekarang, apakah pihak berkuasa akan melepaskan para guru yang melakukan hasutan serta anggota polis yang menyukai laman “I Love Israel”, tetapi akan terus memberikan tekanan menggunakan Akta Hasutan terhadap pelajar yang sebenarnya mangsa dalam kejadian ini?

Sama-sama kita nantikan reaksi rasional daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dan Ketua Polis Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Biarlah pihak berkuasa ambil maklum bahawa orang ramai tidak akan berpeluk tubuh melihat mangsa yang lemah dan tidak bersalah terus dizalimi dan ditindas.

[Makalah ini ditulis pada 17 Ogos 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 18 Ogos 2014. BACA KOLEKSI MAKALAH BERKAITAN DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!