29 Dec 2014

Budak UiTM dan Akta Hasutan

Dalam pada seluruh negara bercakap serta membantah Akta Hasutan 1948, nampaknya ada kelompok tertentu yang terlalu jahil serta tidak tahu apa-apa mengenai akta berkenaan.

Contoh terdekat adalah tindakan seorang budak hingusan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mencadangkan supaya saya dikenakan Akta Hasutan kerana kononnya memperlekehkan UiTM.

Pada 9 September 2014, saya dan Perzeus James meminta peguam kami, Annou Xavier menulis surat kepada ketua polis daerah (OCD) Shah Alam untuk mengetahui perkembangan suatu kes.

Terdahulu, pada 8 Mei 2014, kami berdua membuat laporan polis terhadap sebuah seminar berciri anti-Kristian anjuran bersama UiTM.

Berikutan laporan itu, saya dan Perzeus dipanggil untuk diambil keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam sebanyak dua kali, iaitu pada 16 Mei dan 7 Jun 2014.

Maka, kami berdua mahu tahu status penyiasatan kes kerana tidak mendapat apa-apa berita daripada pegawai penyiasat selepas tiga bulan.

Dalam pada itu, polis dan kerajaan kini seolah-olah sangat berminat dengan Akta Hasutan dan beberapa orang ditahan serta dibicarakan di bawah akta itu.

Seminar di UiTM yang menjadi persoalan di sini secara nyata berciri anti-Kristian dan “mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan yang berbeza” seperti kata Seksyen 3 (1) Akta Hasutan.

Menerusi surat bertarikh 9 September 2014, kami juga bertanya sama ada dakwaan terhadap penganjuran seminar anti-Kristian itu sedang disiasat mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) atau Akta Hasutan (Akta 15).

Perkara ini dilaporkan juga di The Malaysian Insider (11 September 2014) dan mendapat reaksi pembaca yang rata-rata membidas seminar anjuran UiTM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Tindakan yang dikatakan memperlekeh UiTM

Sejak awal, saya sudah menjangkakan reaksi negatif terhadap tindakan saya dan Perzeus meminta peguam kami menghubungi ketua polis daerah.

Walau bagaimanapun, saya mengharapkan kritikan, komen dan bidasan yang matang dan boleh dianggap sebagai dialog sihat.

Malangnya, apa yang muncul hanyalah lalakan budak hingusan yang disiarkan pula oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menerusi portal Islam dan Melayu (Ismaweb) pada 11 September 2014 – BACA DI SINI. [Juga dilaporkan di The Malaysian Insider dan The Malay Mail Online serta Malaysiakini]

Sebenarnya, pada 19 Julai 2013, Isma pernah “menyeru” saya meninggalkan agama asal dan masuk Islam.

Seruan itu dilakukan Setiausaha Biro Politik Isma, Hazizi Ab Rahman berikutan kenyataan saya bahawa “satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad.”

Lebih setahun kemudian, nama saya muncul kembali (kali kedua) di portal milik Isma dan kali ini lebih melucukan.

“Perzeus dan Uthaya yang sepatutnya dikenakan Akta Hasutan berikutan tindakan mereka yang memperlekeh UiTM,” kata Qamarul Nazrin Harun selaku presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) UiTM Kampus Puncak Alam dan Puncak Perdana.

Bagaikan budak hingusan yang merengek kerana tidak dapat gula-gula, dia dilaporkan berkata, “menjadi tanggungjawab UiTM untuk mendidik anak-anak bangsa untuk menjaga agama Islam terhadap ancaman Kristianisasi yang semakin hari semakin hebat mengasak aqidah umat Islam.”

Budak itu terbukti dan ternyata tidak tahu isu sebenar; sebaliknya sekadar melalak-lalak atas permintaan Isma.

“Apa lagi mereka mahu? Tidakkah mereka tahu bahawa Mahkamah Persekutuan telah pun memutuskan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ hanya eksklusif untuk orang Islam?” tanyanya lagi; sekali gus menyerlahkan lagi kejahilannya terhadap isu sebenar yang menjadi pokok perbincangan.

Berbunyi umpama tin kosong

Bayangkan bahawa budak-budak kurang cerdik dan kurang kemampuan seperti ini suatu hari nanti akan tamat pengajian dan menjadi anggota masyarakat, malah menjadi pemimpin negara!

Demi menegakkan benang yang basah, Qamarul (nama yang indah!) berhujah bahawa saya dan Perzeus “seharusnya tahu bahawa UiTM merupakan salah satu hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153.”

Laporan separuh masak yang disiarkan portal Isma sebagai “berita utama” tidak mendapat sebarang komen pembaca, walaupun “disukai” oleh sepuluh pembaca.

Apabila berita itu diketahui wartawan The Malaysian Insider, maka disiarkan berita berdasarkan kenyataan Qamarul meroyan di portal Isma.

Semasa makalah ini ditulis, laporan di The Malaysian Insider (12 September 2014) “disukai” lebih 1,300 pembaca, dikongsi lebih 3,370 orang menerusi Facebook dan 106 orang menerusi Twitter, serta mendapat sekitar 60 komen pembaca.

Hujah yang dikemukakan oleh budak hingusan itu teramat memalukan, apatah lagi apabila khabarnya mewakili pelajar UiTM.

Qamarul berhujah bahawa UiTM berhak menganjurkan “program-program kesedaran” supaya belia Melayu “yang bakal memegang tampuk kepimpinan negara” dapat menyedari “ancaman-ancaman yang menggugat keharmonian negara”.

Budak itu tentu tidak menghadiri seminar anti-Kristian pada 6 Mei 2014. Dia tentu tidak tahu bahawa seminar itu secara terang-terangan menghina Kristian.

Dia tidak tahu penceramah turut terdiri daripada orang yang menyamar sebagai “bekas paderi” dan “bekas biarawati”.

Pada 20 Mei 2014, saya pergi sendiri ke pejabat Mais di Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam untuk mendapatkan maklumat.

Para pegawai di sana mengesahkan bahawa seminar seminar berkenaan terbuka kepada umum (bukan hanya orang Islam) dan telah diiklankan juga di akhbar Sinar Harian.

Usah melatah tanpa usul-periksa

Buku Pendedahan Agenda Kristian terbitan Mais turut diedarkan percuma kepada hadirin; bukan hanya kepada peserta Islam.

Sekumpulan pelajar Bumiputera beragama Kristian dari Sabah dan Sarawak mengesahkan bahawa mereka diwajibkan menghadiri seminar itu oleh pensyarah mereka.

Segala maklumat dan isu berkaitan perjalanan seminar anti-Kristian ini ada saya dokumentasikan di blog saya bagi tujuan dokumentasi.

Qamarul ternyata terlalu mentah, jahil dan tidak mengikuti perkembangan isu ini sejak awal.

Maka dia hanya melatah selepas membaca laporan di The Malaysian Insider pada 11 September 2014.

Lebih melucukan apabila portal milik Isma menyiarkan pula lalakan itu sebagai sebuah berita utama.

Seluruh kandungan berita itu melucukan dan bakal menjadi bahan jenaka untuk sekurang-kurangnya setahun lagi.

Budak hingusan yang tidak cukup ilmu itu menganggap surat saya dan Perzues kepada OCPD sebagai “memperlekeh” UiTM.

Sewenang-wenangnya Qamarul mahu kami berdua dikenakan Akta Hasutan. Seolah-olah akta itu boleh digunakan ikut suka hati.

Sama-samalah kita berdoa agar Qamarul satu-satunya pelajar kurang cerdik di UiTM.

[Makalah ini ditulis pada 14 September 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 15 September 2014. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]