Sambutan Navaratri atau Maha Navaratri dalam kalangan penganut ajaran Hindu adalah pada bulan Purattasi (September-Oktober) mengikut kalendar Tamil.
Perkataan “nava” bermakna “sembilan” dan “ratri” bermakna “malam”. Seperti yang dapat diagak, sambutan Navaratri adalah selama sembilan malam berturut-turut.
Sambutannya berlangsung dari 25 September hingga 3 Oktober 2014 [13-22 Oktober 2015, 1-10 Oktober 2016, 21-29 September 2017, 10-18 Oktober 2018, 29 September - 8 Oktober 2019, 17-25 Oktober 2020, 7-15 Oktober 2021, 26 September - 5 Oktober 2022, 15-23 Oktober 2023, 3-12 Oktober 2024] khusus bagi meraikan Sakthi Devi yang dimanifetasikan sebagai dewi-dewi dalam sembilan inkarnasi yang penuh variasi.
Walaupun Hinduisme adalah agama tauhid pertama dan tertua di dunia, konsep trimurti (tiga dewa) memang diketahui umum; sesuai dengan konsep Ekan Anekan di mana Tuhan adalah Maha Esa tetapi berada di mana-mana dan dalam segala rupa.
Tuhan dalam ajaran Hinduisme dimanifestasikan menerusi trimurti iaitu Brahma (Pencipta), Vishnu (Pemelihara) dan Shiva (Pemusnah; Pengakhir).
Bagi melaksanakan tugas sebagai pencipta, pemelihara dan pemusnah (dengan erti kata menguasai segala-galanya di mayapada), maka Brahma, Vishnu dan Shiva mendapat sakti (Sakthi; kuasa) daripada pasangan masing-masing iaitu Durga, Laksmi dan Saraswati.
Ketiga-tiga dewi ini masing-masing mewakili keberanian/kekuatan, kemewahan/harta dan ilmu/pengetahuan.
Sebelum timbul sebarang kekeliruan dan salah tafsir, harus ditekankan bahawa Tuhan dalam ajaran Hindu adalah Maha Esa. Bagaimanapun, bagi menggambarkan segala sifat yang dimiliki-Nya, penganut Hindu dibenarkan mevisualkan rupa Tuhan yang pelbagai mengikut kemampuan masing-masing.
Berbalik kepada sambutan Navaratri selama sembilan hari serta kehadiran tiga dewi, masing-masing diraikan selama tiga hari. Durga pada hari pertama, kedua dan ketiga; diikuti Laksmi selama tiga hari; dan Saraswati pada tiga hari terakhir.
Upacara serta sambutan Navaratri boleh dibuat di rumah atau di kuil. Bagaimanapun, bagi memudahkan urusan serta bagi melibatkan lebih ramai orang, maka upacara khas biasanya diadakan di kuil. - Baca makalah penuh dalam buku Mandala Bicara.
[Makalah ini ditulis pada 30 September 2014 dan disiarkan di Projek Dialog pada 30 September 2014. BACA MAKALAH BERKAITAN AJARAN HINDU DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]