Apakah perancangan anda pada Isnin, 18 Julai 2011? Walaupun pada tarikh itu saya mungkin berada di luar negara, saya akan cuba membawa bersama-sama saya DVD filem Invictus (2009) untuk ditonton menggunakan komputer riba.
Saya sudah pun memiliki DVD Invictus lebih awal. Namun, saya sengaja memilih untuk menontonnya buat pertama kali pada 18 Julai 2010 sempena “Hari Antarabangsa Nelson Mandela”.
Bermula tahun lalu (2010), tarikh 18 Julai diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai “Hari Antarabangsa Nelson Mandela” sempena sambutan hari jadi ke-92 pemimpin kulit hitam itu.
Tarikh berkenaan diumumkan PBB pada November 2009 dan sejak itu, pelbagai kempen dibuat untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dunia sebagai menghargai sumbangan dan perjuangan negarawan berkenaan yang disanjung tinggi atas keberaniannya menentang aparteid.
Filem Invictus adalah arahan dan terbitan Clint Eastwood manakala skrip ditulis oleh Anthony Peckham berdasarkan buku ‘Playing the Enemy: Nelson Mandela and the Game That Changed a Nation’ (2008) tulisan John Carlin.
Morgan Freeman memegang watak Nelson Mandela manakala Matt Damon memegang watak Francois Pienaar, ketua pasukan ragbi Afrika Selatan.
Sekitar sepuluh minit selepas mula menonton filem ini pada 18 Julai 2010, saya berfikir: “Betapa bertuah negara India kerana (pernah) memiliki Mahatma Gandhi dan betapa bertuah Afrika Selatan kerana memiliki Nelson Mandela”.
Saya suka menonton filem Gandhi (1982) pada 2 Oktober setiap tahun sempena tarikh kelahiran Mahatma Gandhi; dan mulai tahun 2010, saya memutuskan untuk menonton Invictus pada 18 Julai sempena tarikh kelahiran Nelson Mandela.
Filem ini mampu menyentuh jiwa dan perasaan – heart and soul – kerana mengisahkan perjuangan seorang insan selepas 27 tahun berada dalam penjara; lalu tampil melakukan perubahan.
“Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.” Kata-kata Mahatma Gandhi amat sesuai dengan apa yang dilakukan Nelson Mandela; dengan tumpuan khusus pada filem Invictus.
Tentu sahaja permasalahan yang dipaparkan dalam filem ini boleh juga dibandingkan dengan realiti semasa di Malaysia. Saya tidak perlu menghuraikan lebih lanjut mengenai “realiti” yang dimaksudkan kerana segalanya berlaku di depan mata.
Nelson Mandela mengimpikan “Rainbow Nation” serta memulakan kempen “One Team, One Country”. Benar, konsep “satu” bukan sesuatu yang baru wujud pada April 2009 seperti dipercayai kebanyakan tukang sorak di Malaysia.
Dalam filem Invictus, dipaparkan secara begitu bersahaja bagaimana konsep “ahimsa” yang menjadi pegangan Mahatma Gandhi turut menjadi amalan Nelson Mandela.
Insan mulia seperti mereka berdua mampu memberi inspirasi kepada umat manusia; bukan seperti Badut Paul Lathic yang hanya pandai berkata-kata demi kepentingan peribadi, isteri dan kelompok sendiri.
Apabila diberi peringatan “You’re risking your future as our leader,” Nelson Mandela menjawab begini: “The day I am afraid to do that (risk my future as your leader) is the day I am no longer fit to lead”.
Pernah berlaku dalam sejarah negara kita di mana Ahli Parlimen pergi ke Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 21 Mei 2006 khusus untuk menonton filem dokumentari ‘Lelaki Komunis Terakhir’ arahan Amir Muhammad yang dikatakan “lemah dari aspek sinematografi”.
Saya sarankan supaya Ahli Parlimen dibawa semula ke Pawagam Mini P. Ramlee di Finas untuk menonton filem Gandhi dan Invictus supaya mereka tahu apa yang dimaksudkan dengan “pemimpin”.
(Bukan kerana saya mengharapkan atau mengimpikan mereka menjadi “pemimpin”; sebaliknya semata-mata supaya mereka tahu apa yang dimaksudkan dengan istilah “pemimpin”.)
Suasana politik dan sosial yang wujud di Afrika Selatan sebaik Nelson Mandela menjadi Perdana Menteri pada 10 Mei 1994 boleh juga dibandingkan dengan suasana politik di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah (serta Perak, secara teknikal) selepas Pilihan Raya Umum 2008.
Mungkin kerajaan negeri – serta Barisan Nasional (BN) selaku pembangkang di negeri-negeri berkenaan – boleh turut memperuntukkan masa mengambil inspirasi daripada Gandhi dan Invictus. Sekurang-kurangnya ada satu perkara berfaedah yang dilakukan oleh orang politikus sebelum PRU-13.
Pada 18 Julai 2010, Nelson Mandela menyambut hari jadi ke-92 bersama-sama keluarganya di Houghton, Johannesburg. Menurut laporan media, 95 kanak-kanak dari Myezo, iaitu kampung kelahiran Nelson Mandela, dan Ounu dibawa ke Johannesburg untuk sama-sama meraikan hari jadi bersama ikon itu.
Sambutan hari jadi Nelson Mandela pada 2010 juga lebih meriah memandangkan baru seminggu sebelum itu, Afrika Selatan berjaya membuktikan kemampuannya kepada dunia dengan menjadi tuan rumah perlawanan bola sepak Piala Dunia.
“Insan ini telah begitu banyak menderita. Sebaik keluar penjara, Nelson Mandela meneruskan perjuangan ke arah keamanan, kemanusiaan dan kemerdekaan. Piala Dunia 2010 menjadi bukti kejayaannya secara kolektif,” kata Presiden FIFA, Sepp Blatter yang menyifatkan impian Nelson Mandela “sudah menjadi kenyataan”.
Ikon anti-aparteid itu dipenjarakan pada 1964 dan dibebaskan pada 1990; seterusnya menjadi Presiden Afrika Selatan berikutan pilihan raya demokrasi yang pertama di negara itu pada 1994.
Segala perjuangan Nelson Mandela wajar dikenang seluruh dunia, khususnya melalui sambutan Hari Antarabangsa Nelson Mandela pada setiap 18 Julai, bermula tahun 2010.
Yayasan Mandela pula menggesa orang ramai di seluruh dunia melakukan kerja amal selama 67 minit; di mana setiap minit mewakili setiap tahun Nelson Mandela berjuang bagi menghapuskan aparteid.
Bersediakah kita di Malaysia untuk melakukan kebajikan dengan semangat perjuangan yang dibawakan ikon dunia seperti Nelson Mandela dan Mahatma Gandhi? Atau ramai yang memilih – seperti biasa – untuk menanti “arahan” daripada politikus dalam menentukan setiap pergerakan fizikal dan minda?
Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela adalah antara pemimpin yang memberi inspirasi kepada semua – tanpa mengira warna kulit, agama, kaum dan etnik – sekali gus tampil sebagai individu yang mampu memberi inspirasi kepada seluruh umat manusia.
Filem Invictus bermula dengan kisah Nelson Mandela dibebaskan dari penjara pada 11 Februari 1990 dan berakhir dengan kejayaan pasukan Afrika Selatan menjuarai Kejohanan Ragbi Piala Dunia 1995; iaitu 15 tahun sebelum Afrika Selatan sekali lagi membuktikan kemampuan dengan menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010.
Mahatma Gandhi terus menjadi “pemimpin” walaupun beliau tidak pernah menjadi Perdana Menteri India. Nelson “Madiba” Mandela tetap menjadi “pemimpin” walaupun beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri Afrika Selatan.
Prinsip “satyagraha” (jalan menuju kebenaran) dan “ahimsa” yang dibawakan oleh Mahatma Gandhi turut mempengaruhi serta memberi kesan besar kepada ideologi dan perjuangan Martin Luther King Jr dan Nelson Mandela.
Sukar untuk dipercayai bahawa seorang mahatma pernah benar-benar berjalan di muka Bumi. Namun, kehadiran seorang lagi mahatma di Afrika Selatan membuktikan bahawa keajaiban masih wujud di dunia.
Amalan menonton filem Gandhi dan Invictus – sekurang-kurangnya sekali dalam setahun – mampu mengembalikan semangat dalam diri serta menyedarkan kita akan hakikat ini. Cubalah.
© Uthaya Sankar SB 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 3 Mei 2011. Sebahagian maklumat dalam artikel ini disiarkan di blog penulis pada 22 Julai 2010. Nota: Nelson Mandela meninggal dunia pada 5 Disember 2013 [BACA DI SINI]