Bayangkan jika suatu forum khas diadakan bagi mempertahankan serta melindungi agama-agama minoriti di Malaysia daripada dakyah dan serangan pihak luar.
Forum itu nanti pasti sahaja berciri
ilmiah, penyelidikan, akademik dan tiada sebarang unsur hasutan atau penghinaan
yang bertentangan dengan hak-hak sah agama minoriti dalam Perlembagaan
Persekutuan Malaysia.
Perkara 3 (1) menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan
tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana
bahagian Persekutuan.
Kebebasan beragama bagi penganut “agama
minoriti” ini dijamin oleh Perlembagaan dan mereka mempunyai hak untuk menganut
dan mengamalkan agama masing-masing.
Wacana Pengenalan kepada Minoriti Agama di
Malaysia oleh Dr Mohd Faizal Musa, felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun
Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 12 Jun 2014 juga agak menarik
untuk diperhatikan.
Ia antara lain membantu khalayak meneliti
realiti mazhab Syiah di Malaysia dari sudut berbeza. Bagaimanapun, perlu
dibezakan antara “minoriti agama” dan “agama minoriti” supaya tidak timbul
kekeliruan dan salah tanggap.
Dewasa ini, banyak forum, seminar dan
perbincangan diadakan dalam usaha mempertahankan agama Islam daripada “agenda
Kristianisasi”.
Contoh terdekat adalah Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara
anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Universiti Teknologi Mara
(UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014.
Seminar itu secara terang-terangan
mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan, serta
secara jelas berciri anti-perpaduan, berniat jahat, tidak mengambil kira
sensitiviti masyarakat dan mengancam ketenteraman awam.
Walaupun mendapat bantahan masyarakat Tidak
Islam (Bukan Islam) serta beberapa laporan polis dibuat, belum ada sebarang
tindakan diambil terhadap penganjur serta sekumpulan penceramah yang terbukti
adalah “bekas paderi dan bekas rahib palsu”.
Hujah Muhyiddin jadi panduan dan rujukan
Semasa sidang Dewan Rakyat pada 17 Jun
2014, Ahli Parlimen Penampang, Ignatius Dorell Leiking meminta Menteri
Pendidikan menjelaskan tindakan kementerian terhadap UiTM yang telah secara
tidak langsung menyebarkan kebencian antara agama melalui penganjuran seminar
itu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam jawapan
bertulis menegaskan bahawa seminar itu berciri akademik dan bersifat sesi
percambahan minda (brainstorming),
serta bertujuan mempertahankan agama Islam daripada cabaran luar. Dia
menyifatkannya sebagai suatu perbincangan akademik yang perlu dilihat secara
positif.
Selaras dengan itu, Forum Mempertahankan
Agama Minoriti yang dicadangkan pula bertujuan membicarakan cara-cara
mempertahankan “agama minoriti” daripada serangan dan dakyah pihak luar.
Perlu ditekankan bahawa seperti kata tajuk,
forum itu bertujuan “mempertahankan” dan bukannya “menghasut”. Apatah lagi
melanggar Perkara 11 (4) dan “mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan
agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
Bayangkan bahawa koleksi makalah berbentuk
penyelidikan berjaya diterbitkan susulan forum tertutup berkenaan dan diedarkan
kepada peserta sahaja bagi tujuan akademik.
Tentulah akan dipastikan tidak ada sebarang
kandungan yang menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau Akta Hasutan
1948. Buku itu hanya membincangkan tentang usaha mempertahankan agama minoriti
serta penjelasan mengenai agenda dakyah pihak luar yang mengancam agama
minoriti.
Kalau Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi berpeluang meneliti buku itu nanti, beliau juga akan
mengakui bahawa ia hanya satu penyelidikan (study).
Sama seperti jawapannya bagi buku Pendedahan Agenda Kristian (2014)
terbitan Mais yang diedarkan semasa seminar anti-Kristian di UiTM.
Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah
suatu program akademik dan perbincangan ilmiah bagi menerangkan permasalahan
dakyah pihak luar yang menjadi isu dan perbahasan hangat dalam kalangan
penganut agama minoriti.
Dalam forum itu nanti, perbincangan dan
penjelasan pasti sahaja dilakukan secara ilmiah yang bersifat pro dan kontra,
selaras dengan budaya intelektual yang diharapkan; serta dijalankan dalam
suasana harmoni tanpa menghina mana-mana agama lain. (Saya meminjam banyak idea
daripada jawapan Muhyiddin di Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014.)
Oleh itu, fakta dan perbincangan dalam
forum itu perlulah dilihat secara positif sebagai suatu bentuk percambahan
minda dan intelektual yang sedikit pun tidak melanggar mana-mana peruntukan
Perlembagaan.
Kandungan forum tidak langgar Perlembagaan
Forum tertutup itu juga difokuskan kepada
khalayak terpilih yang intelektual, matang dan mampu membicarakan topik-topik
sensitif secara ilmiah dan akademik. Maka tidak timbul soal ada pihak yang
mungkin rasa tergugat dari segi keimanan.
Umum mengetahui bahawa Majlis Fatwa
Kebangsaan ada mengeluarkan beberapa pandangan (atau “fatwa” dalam Bahasa Arab)
berhubung larangan penyebaran agama Bukan Islam kepada orang Islam.
Buku Pendedahan
Agenda Kristian menghuraikannya lebih lanjut sebagai “larangan yang
menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam serta larangan umat Islam
menyertai aktiviti yang mempunyai kaitan dengan agama lain khususnya Kristian.”
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa
majlis fatwa merumuskan senarai “agama lain” sebagai “Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian”. Mungkin
sahaja “Cina” merujuk kepada pelbagai ajaran, kepercayaan dan agama yang
dianuti orang Cina.
Bagi tujuan Forum Mempertahankan Agama
Minoriti yang dicadangkan ini, senarai “agama minoriti” tidak dikhususkan kepada
mana-mana agama. Sebaliknya merujuk kepada mana-mana agama, ajaran, anutan dan
mazhab minoriti yang terkeluar daripada acuan “agama bagi Persekutuan” dalam
Perkara 3 (1).
Forum itu nanti akan membuka peluang
meneliti hak dan kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan kepada penganut agama
minoriti, serta menghuraikan batasan dan had yang ditetapkan dalam Perlembagaan
berkaitan hak penganut agama minoriti.
Panel juga dijangka memperkatakan isu-isu
semasa berkaitan agama minoriti dalam ruang lingkup dan kebebasan yang
diperuntukkan oleh Perlembagaan. Maknanya, tidak ada apa-apa kandungan yang
melanggar peruntukan Perlembagaan.
Saya membayangkan suatu forum ilmiah di
mana panel membentangkan hujah, pandangan dan fakta berdasarkan kajian,
penyelidikan dan pengalaman berkaitan topik dakyah pihak luar ke atas penganut
agama minoriti.
Panel dan peserta tentu berpeluang
membincangkan cara-cara mempertahankan agama minoriti dan penganut agama
minoriti daripada serangan dan dakyah pihak luar. Hal ini selaras peruntukan
Perkara 11 dan maklumat terperinci boleh dirujuk dalam buku Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di
Malaysia (2006).
Selaras semangat Bangsa Malaysia, forum itu juga boleh
dijadikan medan untuk mencadangkan cara-cara memupuk perpaduan, meraikan kepelbagaian
dan meningkatkan sifat tolak-ansur dalam kalangan masyarakat pelbagai agama.
Puak ultra kiasu, pelampau tidak dibenarkan hadir
Pembicara atau ahli panel forum akan
dipilih daripada kalangan individu intelektual, rasional dan matang yang mampu
mengemukakan pandangan, hujah, idea, pengalaman dan kritikan berdasarkan topik
yang ditetapkan.
Panel diberikan kebebasan untuk berbicara
secara akademik serta berdasarkan penyelidikan dan pengalaman sambil mengambil
kira segala peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara.
Pembicara bertanggungjawab sepenuhnya atas
segala pandangan, hujah dan kritikan yang dikemukakan. Pemudah cara (moderator)
pula berhak menghalang pembicara daripada meneruskan hujah-hujah yang
difikirkan kurang sesuai.
Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah
aktiviti tertutup kerana topik berkaitan agama minoriti mungkin dianggap
sensitif bagi kelompok tertentu yang berminda tertutup dan takut pada
bayang-bayang sendiri.
Peserta mestilah berumur lebih 18 tahun dan
mahu hadir atas kerelaan sendiri. Penyertaan hanya atas undangan penganjur bagi
memastikan puak ultra kiasu, pelampau, fanatik, kurang cerdik, rasis dan
seumpamanya tidak terlepas masuk ke forum ilmiah ini.
Orang ramai, wakil media, pemerhati atau
sesiapa yang berminat untuk hadir wajib mendapatkan kelulusan penganjur dengan
mengisi borang dalam talian (online).
Segala langkah berjaga-jaga ini penting –
antara lain – demi “keperluan memelihara ketenteraman awam” serta memastikan
forum itu nanti tidak disalah anggap mengandungi unsur hasutan.
Lebih teruk jika dituduh sebagai usaha
menyebarkan agama minoriti kepada masyarakat awam (termasuk penganut agama
Islam dalam lingkungan mazhab Ahlu Sunnah
Waljamaah).
Kalau forum diadakan di Selangor, maka
Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988
perlu diambil kira, walaupun forum ini hanya bertujuan “mempertahankan agama
minoriti” dan bukannya “menyebarkan agama minoriti”.
Sebelum forum bermula, pemudah cara akan
mengingatkan para peserta bahawa tujuan forum tertutup itu diadakan bukan untuk
dicurigai, memperkecilkan mana-mana agama dan bukan untuk menyerang pegangan
dan kepercayaan penganut mana-mana agama lain.
Sebaliknya, forum ini adalah semata-mata
bagi mempertahankan jati diri penganut agama minoriti di Malaysia dan memberi
kefahaman kepada penganut agama minoriti yang diselubungi pelbagai kekeliruan
seperti isu serangan, cabaran dan ancaman dakyah pihak luar.
Berdialog sambil memartabatkan bahasa kebangsaan
Istilah “dakwah” tidak digunakan dalam
cadangan forum ini kerana bimbang kemungkinan ada puak kurang cerdik yang hanya
tahu mengaitkan perkataan “dakwah” dengan agama Islam. Lalu, mungkin frasa
“serangan, cabaran dan ancaman dakwah pihak luar” disalah tafsir sebagai
“serangan, cabaran dan ancaman dakwah Islam”.
Sekiranya Forum Mempertahankan Agama
Minoriti menjadi kenyataan, penganjur mungkin wajar membenarkan wartawan dan
media membuat liputan. Untuk selamat, wartawan dan media juga perlu
mengemukakan borang penyertaan untuk kelulusan sebelum hadir.
Kalau wartawan hadir dan membuat liputan,
mungkin akan timbul pula persoalan bahawa kandungan forum itu tidak lagi
bersifat “tertutup”. Sebagai individu yang pernah bekerja di bahagian editorial
berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akhbar Sinar Harian, tentulah perkara itu juga sudah saya fikirkan.
Sebarang siaran berita mengenai forum agama
minoriti itu nanti adalah atas dasar etika kewartawanan dan tidak bertujuan
mengganggu ketenteraman awam.
Apa-apa yang dilaporkan wartawan dan media
adalah interpretasi berdasarkan etika kewartawanan dan tidak semestinya
menggambarkan secara tepat kandungan forum serta apa yang benar-benar berlaku
dalam forum.
Forum perlu dikendalikan dalam Bahasa Malaysia selaras dengan
kedudukan bahasa ini sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa
komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.
Frasa dan istilah bahasa-bahasa lain boleh
digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian. Peserta yang mengemukakan soalan
perlu diingatkan supaya menggunakan Bahasa Malaysia. Langkah ini sebagai usaha
memartabatkan bahasa kebangsaan.
Peserta akan dibenarkan mengambil foto
(atau selfie) serta membuat rakaman audio
dan visual (jika mahu) untuk tujuan akademik, rujukan, penulisan atau untuk
disebarkan kepada umum atas tanggungjawab sendiri.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa forum
yang dijalankan itu adalah aktiviti tertutup (closed door forum). Segala perkara yang diperkatakan semasa forum
tertutup adalah bersifat ilmiah, akademik dan penyelidikan; serta mungkin tidak
mampu difahami khalayak umum.
Bayangkan jika forum tertutup
ini dapat benar-benar dijalankan dalam skala kecil-kecilan pada 6 Julai 2014,
genap dua bulan selepas seminar anti-Kristian di UiTM. Jika anda benar-benar
berminat menjayakannya, hubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan
maklumat lanjut.
Terkini -- Forum Agama-agama Minoriti di Malaysia -- Disember 2017.
Terkini -- Forum Agama-agama Minoriti di Malaysia -- Disember 2017.
[Makalah ini ditulis pada 19 Jun 2014 dan disiarkan di Projek Dialog pada 23 Jun 2014. Forum Mempertahankan Agama Minoriti berjaya dianjurkan di Rumah Kavyan pada 6 Julai 2014. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan
sendiri.]