20 Nov 2014

Selamatkan Legenda Yang Hidup!

[Jaminan oleh Ketua Menteri Melaka belum cukup meyakinkan bagi Kumpulan Sasterawan Kavyan yang berjuang demi penduduk Kampung Chetti.]

Ketibaan tahun baru 2014 disambut dengan penuh keresahan oleh Rakyat (huruf besar disengajakan) yang semakin bimbang berikutan pelbagai masalah yang kurang berjaya diatasi oleh kerajaan; sebaliknya beban diserahkan kepada Rakyat untuk ditanggung.

Nampaknya beban menangani isu melibatkan projek pembinaan mega di tanah “Lot 93” yang terletak di tengah-tengah Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka juga perlu ditanggung oleh Rakyat sendiri selaku warga prihatin.

Pada 16 Disember 2013, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengeluarkan kenyataan media bertajuk “Jangan Hapuskan Kampung Chetti” serta tersiar di beberapa media alternatif dan sebuah akhbar Bahasa Tamil.

Kavyan mendesak campur tangan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) bagi memastikan perkampungan warisan itu tidak menjadi mangsa akibat pembinaan dua blok kondominium 22 tingkat, sebuah hotel 12 tingkat dan sebuah tempat letak kereta 6 tingkat di “Lot 93”.

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa sebuah parti politik menciplak (salin dan tampal) kandungan kenyataan media Kavyan lalu menghasilkan memorandum yang diserahkan dengan penuh bangga kepada Ketua Menteri Melaka pada 20 Disember 2013.

Semoga perbuatan memalukan, tidak beretika, tidak bermoral seperti itu tidak berulang. Kalaulah mana-mana parti politik dan politikus memerlukan khidmat rundingan, mereka boleh menghubungi kami melalui e-mel infokavyan@yahoo.com.my untuk perbincangan lanjut.

Pada 29 Disember 2013, Kavyan menjayakan “Solidariti Kampung Chetti” di Kampung Chetti dengan mengendalikan bengkel penulisan makalah, bengkel komunikasi media, bengkel fotografi dan bengkel dokumentari.

Kesemuanya bertujuan memberikan “kuasa” (power) dan “ilmu” (knowledge) kepada para penduduk minoriti kaum Chetti sendiri untuk memperjuangkan hak mereka menerusi saluran yang betul dan dengan cara yang berkesan.

Melihat kepada perhatian yang turut diberikan oleh akhbar arus perdana selepas tarikh itu – khususnya akhbar Bahasa Tamil, Inggeris dan Mandarin – ternyata Kavyan berjaya membimbing kaum Chetti untuk meneruskan perjuangan.

Penduduk tidak berniat menggulingkan kerajaan

Jawatankuasa Kavyan membincangkan isu “Lot 93” semasa dalam perjalanan pulang selepas menyertai “Solidariti Kampung Chetti”. Berikut gesaan Kavyan sebagai tambahan kepada pendirian sebelum ini. Gesaan ini akan lebih berjaya jika warga prihatin turut bersatu memperjuangkan nasib perkampungan warisan itu.

Hasil taklimat, perbualan, wawancara, tinjauan dan penelitian pada 29 Disember 2013, Kavyan membuat kesimpulan bahawa para penduduk Kampung Chetti tidak menentang pembangunan. Tidak sama sekali.

Hakikat ini perlu ditegaskan kerana khabarnya ada pihak membuat laporan polis sebelum ini kononnya penduduk Chetti bakal “menggulingkan kerajaan negeri” menerusi perhimpunan besar-besaran secara haram semasa acara “Solidariti Kampung Chetti”.

Kavyan memberikan jaminan bahawa kaum Chetti tidak mengadakan perhimpunan haram; apatah lagi cuba menggulingkan kerajaan! Sebaliknya kaum minoriti itu setakat tidak merelakan pembangunan di “Lot 93” atau mana-mana kawasan berhampiran yang menjejaskan perkampungan warisan itu.

Kavyan menyokong penuh pendirian penduduk Kampung Chetti dalam hal ini kerana permintaan, rayuan dan desakan mereka adalah berasas serta sah mengikut undang-undang dan peraturan yang digazetkan sebaik Kampung Chetti diwartakan sebagai perkampungan warisan.

Ada pandangan yang mengatakan bahawa projek Jalan Pelanduk Putih tidak akan dijalankan. Malah, pihak tertentu dari pejabat Ketua Menteri Melaka khabarnya menelefon wakil kaum Chetti semasa “Solidariti Kampung Chetti” sedang berlangsung.

Khabarnya Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka yang mengadakan taklimat khas dan sidang media sempena “Solidariti Kampung Chetti” diminta – diarahkan menerusi panggilan telefon – oleh pegawai tertentu dari pejabat ketua menteri supaya tidak menyebut langsung tentang projek Jalan Pelanduk Putih.

Kononnya pembinaan jalan itu memang sudah dibatalkan dan tidak harus ditimbulkan lagi oleh mana-mana pihak. Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang jaminan bertulis daripada mana-mana pihak berhubung pembatalan itu.

Maka, Kavyan sebagai pencinta bahasa, sastera, seni dan budaya menyeru Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan pemaju terbabit memberikan jaminan bertulis bahawa Jalan Pelanduk Putih atau mana-mana jalan lain tidak akan dibina sehingga menjelaskan kedudukan Kampung Chetti.

Lot 93 langgar syarat Unesco secara amat nyata

Kerajaan Barisan Nasional (BN) selaku Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka perlu memberikan jaminan rasmi dan secara bertulis bahawa kampung itu yang diwartakan sebagai perkampungan warisan (warisan dunia) akan dilindungi buat selama-lamanya sebagai warisan budaya negara.

Media melaporkan pada 1 Januari 2014 bahawa Ketua Menteri Melaka mengarahkan projek “Lot 93” disiasat segera. Di pihak Kavyan, perjuangan perlu diteruskan tanpa henti. Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), projek dihentikan tetapi diteruskan selepas BN menang besar di Melaka. Maka, jangan sampai pisang berbuah dua kali.

Politikus tetap politikus walaupun seekar tebu ditanam sekeliling bibir mereka. Maka, Kavyan bercadang meneruskan “Solidariti Kampung Chetti” sehingga projek “Lot 93” benar-benar dibatalkan dan jaminan bertulis diberikan oleh kerajaan.

Kavyan mahu menegaskan bahawa penduduk Kampung Chetti dan warga prihatin berhak untuk menuntut supaya tidak ada sebarang projek pembangunan dibuat pada jarak sekitar 100 meter dari kawasan yang digazetkan sebagai tapak warisan. Segala peraturan dan syarat ditetapkan Unesco perlulah dipatuhi.

Kavya juga mengingatkan semua pihak terbabit bahawa mengikut syarat dan peraturan Unesco, sebarang bangunan baru yang dibina berhampiran tapak warisan (perkampungan warisan) tidak boleh melebihi 4 tingkat. Maka, pembangunan di “Lot 93” ternyata melanggar syarat ditetapkan badan antarabangsa.

Pada pandangan Kavyan, sekiranya berlaku sebarang kemusnahan terhadap Kampung Chetti berikutan pembangunan di “Lot 93” atau kawasan sekitarnya, maka kesan negatif bukan hanya diterima oleh penduduk kampung itu.

Sebaliknya, Malaysia akan kehilangan status warisan dunia (World Heritage) yang diberikan oleh Unesco. Hal ini pasti memberikan imej negatif dan buruk kepada negara dan kerajaan yang sedang ghairah menjalankan kempen  Tahun Melawat Malaysia 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan kempen itu secara rasmi dalam upacara gilang-gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 4 Januari 2014; sedangkan Kampung Chetti yang sepatutnya menjadi salah satu destinasi pelancongan dan tapak warisan budaya berdepan kemusnahan yang amat nyata.

Kavyan suka mengingatkan bahawa status warisan dunia yang diberikan oleh Unesco adalah bagi negara Malaysia; bukan secara berasingan bagi negeri-negeri tertentu (seperti Melaka dan Pulau Pinang) atau kawasan-kawasan tertentu (seperti Georgetown dan Kampung Chetti).

Menyedari hakikat ini, Kavyan berharap isu Kampung Chetti tidak hanya diserahkan bulat-bulat kepada Kerajaan Negeri Melaka. Sebaliknya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu, wajar dan berhak tampil menyatakan pendirian dalam isu ini.

Kavyan beri “kuasa” kepada kaum Chetti

Hasil kunjungan wakil Kavyan ke Georgetown pada 23-25 Oktober 2013, terbukti Kerajaan Negeri Pulau Pinang memelihara sepenuhnya kawasan yang diiktiraf sebagai warisan dunia.

Walau bagaimanapun, sekiranya Kampung Chetti di Melaka musnah dan hilang status perkampungan warisan, Unesco berhak menarik balik status warisan dunia yang diberikan kepada Georgetown.

Kavyan berharap serta menyeru seluruh Bangsa Malaysia supaya bangkit mempertahankan Kampung Chetti yang kini benar-benar berdepan dengan masalah yang amat nyata. Jangan biarkan sejarah hitam Lembah Bujang berulang.

Selepas acara “Solidariti Kampung Chetti”, kami di pihak Kavyan menyerahkan “kuasa” kepada penduduk Chetti sendiri untuk bangkit memperjuangkan nasib dan hak mereka secara berani, terancang, profesional dan bersatu.

Sebagaimana etnik minoriti Seediq di Taiwan bangkit bersatu untuk berjuang mempertahankan Wushe daripada pencerobohan Jepun sekitar tahun 1930, begitulah juga kaum Chetti perlu diberikan keberanian, semanngat dan ilmu untuk memperjuangkan hak.

Kavyan pula sudah menghubungi pihak berkenaan di Unesco untuk mendapatkan pandangan. Pihak BBC World yang pernah membuat liputan khas “Konvoi Rumah Ibadat” anjuran Kavyan pada 12 Oktober 2013 juga dihubungi untuk membantu membuat liputan isu “Lot 93” supaya mendapat perhatian pencinta budaya dan warisan pada peringkat antarabangsa.

Pengkaji dan penulis dari Singapura, Samuel S Dhoraisingam yang menulis buku Peranakan Indians of Singapore and Melaka (2006) menyebut bahawa kelompok Chetti di Singapura lebih tersusun dan mempunyai persatuan yang lebih kuat.

Maka, pihak itu juga cuba dihubungi oleh Kavyan supaya mereka dapat tampil menghulurkan bantuan dan sokongan moral kepada “saudara-mara” mereka yang berdepan masalah besar di Melaka.

Kavyan menggelarkan Kampung Chetti dan minoriti kaum Chetti di perkampungan warisan itu sebagai “legenda yang hidup” dan perlu dilindungi daripada sebarang kemusnahan dan kepupusan – atau penghapusan etnik – secara terancang mahu pun secara tidak disedari.

Maklumat tambahan berupa makalah, foto dan video “Solidariti Kampung Chetti” boleh didapati di www.kampungchetti.blogspot.com iaitu blog khas yang diusahakan oleh Kavyan sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan penduduk Kampung Chetti.

Kalau bukan kita – Bangsa Malaysia – yang bersatu mempertahankan warisan budaya kita, siapa lagi yang akan melakukannya? Politikus? Lupakan! Tahun 2014 adalah tahun kebangkitan Rakyat.

[Makalah ini ditulis pada 1 Januari 2014 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 4 Januari 2014. BACA MAKALAH BERKAITAN DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]