22 Mar 2013

Budaya “Pendatang” – Bahagian 1

[Label “pendatang” bagaikan sudah dilekatkan pada dahi kaum India walaupun mereka adalah warganegara sah di Malaysia. Siri makalah ini berusaha mengupas topik berkenaan.]
 
Walaupun negara merdeka pada 1957 dan Malaysia terbentuk pada 1963, desas-desus melibatkan “pendatang” terus kedengaran.
 
Saya bukan bercakap mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang khabarnya dengan mudah boleh mendapatkan kad pengenalan biru dan hak kewarganegaraan sejak Tun Mahathir Muhammad menjadi Perdana Menteri. Sebaliknya saya bercakap mengenai warganegara sah yang masih dilabel “pendatang”.
 
Sejak kecil, saya sering mendengar kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga emas mengatakan bahawa kaum Cina dan kaum India di negara ini tetap dilihat sebagai pendatang dan boleh “dihalau keluar pada bila-bila masa”.
 
Tentu sahaja sebagai seorang kanak-kanak – dan kemudian remaja – perasaan saya terguris mendengar kata-kata yang menafikan hak dan kedudukan mana-mana warga Malaysia. Saya juga sedikit marah terhadap generasi terdahulu kaum Cina dan kaum India yang masih risau memikirkan kemungkinan mereka “dihalau keluar pada bila-bila masa” kerana mereka tetap dianggap “pendatang” walaupun mereka lahir, tinggal dan bakal meninggal dunia di sini.
 
Bagi saya, citra kaum India di Malaysia adalah seperti watak Madhavi dan Vijay Kumar serta datuk mereka yang saya paparkan dalam cerpen “Nayagi” (Kisah dari Siru Kambam, 2013). Keakraban generasi muda pelbagai kaum di Malaysia adalah seperti yang diwakili dua watak kanak-kanak dalam cerpen “Orang Pulau” (Siru Kambam, 1996).
 
Dahulu, saya tidak faham mengapa ada kaum Cina dan kaum India yang masih “takut” sedangkan segala hak dan kedudukan mereka terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara. Malah, Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957 memberi jaminan bahawa kepentingan sah orang Bukan Melayu tetap dilindungi.
 
Namun, nampaknya isu “pendatang” masih berlarutan sehingga ke saat ini. Pelbagai cara licik dan tidak bermaruah digunakan oleh puak etnosentrik, ultra kiasu dan fanatik untuk terus mempersoalkan kesetiaan rakyat negara ini. Kreativiti dan inovasi ternyata dimanipulasi sepenuhnya dalam hal ini. Sekadar contoh, apabila kaum Cina dan kaum India kurang berminat menyertai angkatan tentera, mereka dikatakan tidak patriotik!
 
Pada 8 Disember 2010, seorang Badut Paul Lathic yang mempersoalkan kesetiaan, semangat patriotik dan cinta terhadap negara, semata-mata kerana kaum Cina dan India kurang berminat “masuk tentera” – senada dengan “masuk Melayu” – akhirnya terpaksa memohon maaf secara yang amat tidak langsung. Ulang: terpaksa; tidak langsung.
 
Katanya, beliau langsung tidak berniat mempertikaikan semangat patriotik golongan Bukan Melayu semasa membuat kenyataan itu pada 9 November 2010. Nampaknya, beliau sudah sedar bahawa kaum Cina, India, Iban, Kadazan, Dayak, Punjabi dan sebagainya turut menjadi wira negara yang berjuang menentang penjajah British dan pengganas komunis pada masa silam.
 
Siti Inshah cetus fenomena pendatang
 
Para wira yang mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu dan Semporna, Sabah daripada pengganas Sulu melakukan demikian dengan semangat patriotik sejati; tanpa membezakan kaum, etnik dan agama. Itulah realiti sebenar di Malaysia yang cuba dinafikan puak berkepentingan.
 
Orang ramai mungkin masih ingat kisah “hebat” Hajah Siti Inshah, Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putera, Kulaijaya, Johor yang mencetuskan fenomena “pendatang” semasa perhimpunan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan pada 12 Ogos 2010.
 
Ada juga rakan-rakan yang menyifatkan apa yang berlaku itu adalah kes terpencil dan tidak patut diperbesarkan. Sesungguhnya ketololan wanita itu tidak mewakili majoriti kaum Melayu yang memahami peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta mahu hidup aman damai di negara bertuah ini.
 
Pada waktu sama, beberapa rakan mendedahkan bahawa perbuatan menghina dan melabel kaum India dan Cina sebagai “pendatang” sebenarnya berlaku di seluruh negara tetapi pelajar/murid serta ibu bapa tidak tampil “bersuara”, apatah lagi membuat laporan polis.
 
Maka, tindakan berani pelajar SMK Tunku Abdul Rahman Putera membuat laporan polis dilihat sebagai pencetus positif ke arah mendepani masalah yang memang nyata berada di depan mata. Sesungguhnya minoriti yang tertindas dan dizalimi perlu berani tampil bersuara demi hak dan maruah.
 
Realiti di negara ini adalah bahawa sesiapa yang tidak termasuk dalam acuan “Melayu” dan/atau acuan “Islam” secara automatik masih boleh dipertikaikan semangat patriotik mereka dan masih boleh dipanggil “pendatang”. Anehnya tindakan tidak bermaruah ini dianggap tidak bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
 
Malah, kaum India yang dipanggil dengan gelaran yang sungguh menghinakan dalam novel Interlok: Edisi Murid (2010) juga dianggap tidak menjadi masalah oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan sekutu, sejumlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan ahli akademik tertentu.
 
Orang ramai tentu sahaja berhak mempertikaikan hasil penelitian rambang yang saya paparkan di atas bahawa kaum Cina dan kaum India di Malaysia masih dilabel sebagai “pendatang”. Pada masa sama, orang ramai juga tidak boleh menafikan realiti yang benar-benar wujud di depan mata. Kita tidak memerlukan WikiLeaks untuk membantu membuka mata kita!
 
Saya amat menyampah apabila sesiapa merujuk warganegara Malaysia daripada kalangan kaum Cina, kaum India dan “Lain-lain” sebagai “pendatang” dan “bangsa asing”.
 
Himpun dan campak ke laut!
 
Ternyata kelompok yang menggunakan istilah berbentuk penghinaan itu tidak tahu membezakan antara “keturunan”, “kaum” dan “bangsa” serta tidak tahu sejarah dan asal-usul masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
 
Sepatutnya kelompok seperti itu dihimpunkan dan dicampak ke tengah laut kerana mereka mampu menggugat keamanan negara dengan membawa unsur-unsur ekstremis dan perkauman melampau. Pandangan ini juga dikongsi ramai rakan-rakan pelbagai kaum dalam perbincangan kami.
 
Saya biasa mendengar penggunaan istilah “bangsa asing” dan “pendatang”; misalnya apabila kelompok tertentu (termasuk politikus, tentunya) berkata, “Bangsa asing dan pendatang perlu menghormati bla bla bla ...” di mana istilah itu digunakan untuk merujuk pada mana-mana warganegara Malaysia yang bukan “kaum Melayu”.
 
Saya juga amat menyampah apabila kelompok tertentu bercakap mengenai penduduk di Sabah dan Sarawak bagaikan kedua-dua negeri itu bukan sebahagian Malaysia!
 
Sering juga saya mendengar orang berkata, “Bangsa asing dan pendatang pun sudah pandai Bahasa Malaysia” di mana “bangsa asing” dan “pendatang” bukan merujuk kepada bangsa asing (bukan warganegara Malaysia) dan pendatang asing tetapi merujuk kepada sesiapa sahaja yang bukan “kaum Melayu” walaupun mereka adalah warganegara Malaysia yang berjiwa Bangsa Malaysia.
 
Saya yakin bahawa istilah “pendatang” dan “bangsa asing” digunakan ke atas warganegara Malaysia yang bukan “kaum Melayu” hanya oleh kelompok yang fanatik, penuh dengan kebencian, bersikap perkauman secara ekstrem, ultra kiasu, etnosentrik serta menganggap dirinya sendiri adalah “pendatang” yang sedikit pun tidak berjiwa Bangsa Malaysia.
 
Maka, untuk menutup hakikat kelemahan diri itu, mulalah individu berkenaan melabel orang lain sebagai “pendatang” dan “bangsa asing”; tidak ubah seperti kelompok yang takut bayang-bayang sendiri dalam soal penggunaan istilah “Bahasa Malaysia”.
 
Pada 26 Julai 2010, saya menyatakan begini pada ruangan status di Facebook: “Terkejut kerana masih ada kelompok tertentu yang merujuk pada warganegara Malaysia kaum India dan kaum Cina sebagai ‘bangsa asing’ dan ‘pendatang’.”
 
Status itu mendapat beberapa reaksi daripada rakan-rakan. Masing-masing memberikan pandangan, komen dan kritikan untuk manfaat bersama. Sekurang-kurangnya, ada ruang dan peluang untuk bersuara dan menyatakan pendirian. Bersambung minggu hadapan [BACA DI SINI]
 
[Makalah ini dikemas kini pada 2 Mac 2013 berdasarkan bahan lama dan disiarkan di Roketkini pada 10 Mac 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]