Kenyataan
media ini dikeluarkan oleh Projek Dialog pada 22 Mac 2013. Saya menerima
salinan kenyataan media berkenaan menerusi e-mel pada 23 Mac 2013. Sila hubungi editor@projekdialog.com untuk maklumat lanjut dan maklum balas. Saya menyiarkan
kenyataan media ini di blog saya atas kapasiti sebagai pengamal media dan
perunding media.
Projek Dialog menentang sekeras-kerasnya tindakan Angkatan
Belia Islam Malaysia (ABIM) menganjurkan sebuah bengkel yang bertujuan
menfitnah dan mengancam golongan minoriti Syiah Islam di Malaysia.
Kami dimaklumkan melalui poster yang disebarkan di laman
sosial Facebook bahawa ABIM akan
mengadakan sebuah bengkel perbandingan agama yang bertemakan “Bengkel Bahaya
Syiah” pada 13 April 2013 di Universiti Selangor (UNISEL). Bengkel tersebut
akan disampaikan oleh Ustaz Mohd Naim Mohd Noor, iaitu Timbalan Presiden ABIM.
Di dalam poster tersebut, ia menyatakan bahawa Al-Quran dan Al-Kitab (Bible)
akan disediakan bagi para peserta.
Tindakan ABIM menganjurkan ‘Bengkel Bahaya Syiah’ ini adalah
tidak wajar sama sekali, kami menentang mana-mana pihak yang menggunakan agama
Islam untuk menyelewengkan umat Islam dengan sifat rasisme dan sektarianisme
yang memecahbelahkan masyarakat.
Golongan Syiah adalah golongan Islam minoriti di Malaysia
yang telah bertapak di sini sejak berkurun-kurun dahulu. Walaupun menganuti
agama Islam yang sama, komuniti Syiah di Malaysia dilebelkan sebagai ‘ajaran
sesat’ oleh Jabatan Agama Islam di Malaysia, malah kehidupan serta identiti
Syiah mereka sentiasa diancam oleh masyarakat sekeliling. Mereka terpaksa
menganuti agama mereka secara senyap-senyap dan dalam ketakutan. Bengkel yang
sedemikian hanya akan melanjutkan lagi hasutan dan fitnah terhadap mereka.
Projek Dialog juga ingin menyatakan kekesalan kami terhadap
ABIM kerana tidak memainkan peranan yang lebih besar dan mulia dalam
menyebarkan ilmu dan ajaran Islam yang bersifat kecintaan dan universal.
Laman web ABIM mencerminkan sebuah organisasi pejuangan
Islam yang progresif, di mana ia menyatakan “ABIM
adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu (knowledge-based) dan memilih
untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana (moderate) berasaskan realiti
masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta
kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia…”.
Namun begitu, bengkel-bengkel anjuran ABIM seperti ini sama
sekali tidak berpaksikan misi dan visi asal mereka. Bengkel ini tidak akan
membawa apa-apa manfaat terhadap umat Islam kerana ia hanya akan mengapi-apikan
umat Islam dengan perkara yang tidak membawa kebaikan ataupun kebajikan kepada
masyarakat.
Sebaliknya, sebagai sebuah organisasi Islam yang menjadi ‘watchdog’ atau pemantau akan kebajikan
dan kefahaman Islam di Malaysia, ABIM sepatutnya memperjuangkan isu-isu penting
yang menghimpitkan umat islam (dan masyarakat Malaysia secara keseluruhan) di
Malaysia. Walhal, isu-isu yang dikeji oleh islam seperti diskriminasi antara
kaum dan agama, rasuah yang berleluasan, ketidakadilan dalam perlaksanaan
undang-undang Syariah dan Sivil, , penyelewengan kuasa, penindasan terhadap
golongan miskin/orang asli/pekerja asing, dan sebagainya tidak pula diberikan
perhatian yang mendalam oleh ABIM.
Maka demikian, Projek Dialog menyeru agar diwujudkan dialog
bagi memahami dilema minoriti Syiah yang diancam ini serta meningkatkan
pemahaman terhadap ajaran Syiah.
Dialog yang berterusan akan membuka ruang kepada ilmu
pengetahuan yang lebih mendalam terhadap Islam, dan mengelakkan daripada
membuta-tuli mempercayai propaganda, desas-desus dan stereotaip yang tidak
berasas.
Pihak ABIM, atau mana-mana pihak berkuasa Islam seharusnya
kembali kepada asas ilmu Islam yang mengajar umat Islam untuk bertoleransi,
menghormati, dan menegakkan nilai-nilai humanistik antara agama dan kaum.
Islam, sebagai agama yang berlandaskan keamanan sejagat, umat-umatnya perlulah
memain peranan aktif dalam mengeratkan semangat perpaduan, harmoni dan
persaudaraan sesama umat islam tidak kiralah mazhab atau kefahaman Islam
mereka.
Projek Dialog berpegang teguh dengan prinsip berdialog, dan
kami menggalakkan niai-nilai humanistik dan universal di kalangan umat manusia.
Harap maklum: Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Projek Dialog pada 22 Mac 2013. Saya menerima salinan kenyataan
media berkenaan menerusi e-mel pada 23 Mac 2013. Kenyataan media ini turut disiarkan di Malaysiakini pada 23 Mac 2013. Sila hubungi editor@projekdialog.com untuk maklumat
lanjut dan maklum balas. Saya menyiarkan kenyataan media ini di blog saya atas
kapasiti sebagai pengamal media dan perunding media.