[Sebuah akhbar Tamil juga sedang menjalankan kajian mengenai
topik yang cukup sensitif ini.]
Pada pagi 10 Januari 2013, saya terdengar
suatu maklumat penting yang disampaikan menerusi stesen radio Tamil, MinnalFM mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Dinyatakan bahawa kajian awal mendapati
jumlah pendaftaran murid ke SJKT semakin merosot dan sebuah akhbar Tamil sedang membuat kajian serta
tinjauan bagi mengenal pasti punca-puncanya.
Topik berkaitan guru besar SJKT pernah saya bincangkan
bersama-sama rakan-rakan menerusi laman rangkaian sosial Facebook sebelum didokumentasikan dalam dua makalah pada November
dan Disember 2012.
Pada kali ini, saya juga berminat untuk
tahu mengapa ibu bapa kurang berminat menghantar anak-anak ke SJKT. Selain
daripada itu, apakah kekurangan (jika ada) pada sistem pendidikan SJKT yang
perlu dibaiki. Saya bersama-sama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
turut mengendalikan aktiviti bahasa dan sastera di SJKT dan tahu serba sedikit
mengenai situasi sebenar yang wujud.
Saya membuka topik ini untuk dibincangkan oleh
rakan-rakan menerusi Facebook dan
maklum balas yang diperoleh agak menarik dan menyeluruh. Topik ini juga saya
percaya sangat sesuai dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
dan melibatkan hampir kesemua 523 buah SJKT di Malaysia.
Semasa Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara
anjuran Yayasan Selangor di Universiti Selangor (Unisel) pada 18 November 2012,
Jiwi Kathiah dari Yayasan Tamil mendedahkan
pelbagai kepincangan yang wujud dalam sistem SJKT. Pada pandangan beliau,
Kerajaan Pusat – “Barisan Nasional dan UMNO” – sedang berusaha
bersungguh-sungguh dan licik untuk menghapuskan SJKT secara terancang.
Apabila topik SJKT dibincangkan menerusi Facebook pada 11 Januari 2013, Revathi dari Kedah mengemukakan
pandangan bahawa SJKT berdepan dengan masalah kekurangan pelbagai kemudahan
paling asas yang diperlukan untuk menjalankan proses pengajaran dan
pembelajaran (P & P).
“Maka, pada pemerhatian saya, ibu bapa
terpaksa memilih antara sentimen kepada sekolah aliran bahasa ibunda atau
suasana pembelajaran terbaik bagi anak-anak. Secara rasional, tentulah mereka
lebih memilih Sekolah Kebangsaan (SK) dalam hal ini,” kata pelajar jurusan
undang-undang itu.
Bagi Ally
Hazran Hashim @ Johnson Doss, seorang pendakwah bebas dari Cheras,
kekurangan infrastruktur menjadi punca utama ibu bapa kurang berminat
menghantar anak-anak ke SJKT walaupun mereka amat mencintai bahasa ibunda.
“Kebanyakan bangunan SJKT umpama pondok dan
kontena, tanpa kemudahan padang dan pelbagai kemudahan lain. Kekurangan guru
pakar terlatih dan sumber yang sangat terhad juga menjadi punca. Berbanding
dahulu, ibu bapa kaum India pada masa kini tidak menghadapi kesukaran
menghantar anak-anak ke SK untuk mendapatkan pendidikan yang lebih menyeluruh
dan sempurna,” katanya.
Pada pandangannya, ibu bapa juga mahu
anak-anak belajar dan membesar dalam kalangan rakan-rakan pelbagai kaum dan agama. Kehadiran
guru-guru pelbagai kaum yang terlatih dan pakar bidang di SK juga menjadikan
murid-murid lebih berpeluang menimba ilmu secara menyeluruh dan berkesan.
[Wajib Baca -- Tamil Nesan Kecam Pendedahan Uthaya]
Sukatan pelajaran dan pendekatan pelajaran
yang digunakan di SJKT mendapat perhatian seorang surirumah, Aslambigai dari Sentul, Kuala Lumpur. Katanya,
Bahasa Tamil sepatutnya diajar sebagai
“bahasa” dan bukan dijadikan sebagai “bahasa pengantar tunggal” di sekolah.
“Pengajaran Bahasa Tamil di SJKT seharusnya
menggabungkan usaha-usaha memperkaya penguasaan bahasa, sastera dan budaya
Tamil. Pada masa sama, biarlah sukatan pelajaran sama seperti di SK kerana
murid SJKT berhak mendapat pendidikan sama rata. Janganlah kerana mengejar
‘bahasa’, kita menafikan hak-hak lain anak-anak kita,” ujarnya.
Raba’ahtul
‘Alawyah Kamaruddin dari Taiping, Perak berpendapat
bahawa persepsi golongan ibu bapa kaum India yang berpendidikan tinggi juga
menjadi salah satu punca mereka kurang berminat menghantar anak-anak ke SJKT.
“SK dengan kemudahan yang lebih lengkap
serta lokasi yang kondusif berdekatan tempat kerja ibu bapa juga boleh menjadi
punca. Proses P & P juga didapati lebih baik di SK dengan suasana
murid-murid dan guru-guru pelbagai kaum,” kata guru itu yang mempunyai enam
anak.
Pada pemerhatian Nahur A Kamel Omar dari Kuala Lumpur pula, kekurangan kemudahan
asas menjadi punca utama dan ibu bapa memang berhak memilih sekolah yang
lengkap serta sempurna untuk menghantar anak-anak bagi menimba ilmu.
“Kita lihat sendiri bagaimana SJKT selalu
meminta derma daripada orang ramai tetapi sehingga kini, nampaknya tidak ada
banyak perubahan pada keadaan SJKT. Cabaran dunia pendidikan semakin meningkat
tetapi malangnya SJKT masih di takuk lama,” usahawan berumur 40 tahun itu
meluahkan kekesalan.
Mohd
Isadlihafizie Ismail @ Isadli Al-Lanasi turut
berpendapat bahawa prasarana di SJKT wajar dipertingkat jika mahu ibu bapa
memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah berkenaan.
“Saya rasa, SJKT boleh berusaha mendapatkan
sumbangan daripada syarikat-syarikat besar bagi mengatasi masalah ini. Sasaran
SJKT pula tidak harus lagi hanya tertumpu pada komuniti Tamil; sebaliknya usaha
menarik murid pelbagai kaum perlu dipergiatkan. Akan tetapi, tentulah pelbagai
masalah di SJKT perlu diatasi terlebih dahulu,” kata pemuda berumur 30 tahun
itu yang menjadi guru Pendidikan Islam di sebuah SK di Keningau, Sabah.
Topik mengenai kemerosotan kemasukan murid
ke SJKT turut mendapat perhatian R.
Balamurali @ Vehl Murali, seorang peguam dari Sungai Buloh.
“Setiap kali berlaku kemerosotan kemasukan
murid ke SJKT, strategi yang lazim digunakan untuk memujuk ibu bapa adalah
‘kesetiaan terhadap bahasa ibunda’. Sepatutnya, kita memikirkan punca
kemerosotan dan bukan menggunakan sentimen seperti itu. Ibu bapa sekarang lebih
mementingkan kualiti pendidikan bagi anak-anak. Saya juga bekas murid SJKT tapi
saya lihat kualiti dan komitmen guru-guru SJKT sekarang merosot,” kata pemuda
berumur 29 tahun itu.
Bagi Nizha
Periaswamy, 32 tahun, dari Shah Alam, beliau sudah memutuskan untuk
menghantar seorang atau kedua-dua anaknya ke SJKT. Pandangan wartawan ini
mengenai punca kemerosotan pendaftaran murid SJKT agak menarik.
“Pasangan suami-isteri kaum India pada masa
kini mempunyai jumlah anak yang kurang berbanding zaman ibu bapa dan
datuk-nenek mereka. Dalam keadaan ini, mereka mahu memberikan peluang
pendidikan terbaik bagi anak-anak. Sebab itu mereka sanggup mengeluarkan
belanja tambahan bagi menghantar anak-anak ke SJK Cina, sekolah swasta atau
sekolah antarabangsa,” katanya.
Sivabarathi
Munikanan ada tiga anak dan seorang daripadanya
belajar di SJKT. Pada pemerhatiannya, masyarakat India bersikap terlalu pemurah
apabila diminta memberi sumbangan wang bagi kuil dan upacara agama. Akan
tetapi, jika diminta menderma bagi SJKT, mereka berfikir banyak kali dan hanya
memberi sedikit sumbangan.
“Satu lagi realiti yang tidak boleh
disembunyikan adalah politik dalaman di SJKT. Bukanlah suatu rahsia bahawa
sering kali berlaku pertelingkahan dan perebutan dalam soal-soal kecil dan
besar seperti jawatan dalam PIBG dan kontrak pengurusan kantin. Tentulah ibu
bapa gusar untuk menghantar anak-anak ke sekolah yang ‘bermasalah’ seperti
ini,” kata ibu berkenaan yang merupakan editor kanan sebuah jurnal perundangan.
Rayner
Sylvester Yeo dari Bandar Baru Klang pula ada
pandangan berbeza dan ‘amaran’ tersirat. “Sekiranya sekolah aliran Inggeris
tidak dihapuskan dahulu, saya yakin SJKC juga mungkin mengalami nasib yang
sama. Hilangnya sekolah aliran Inggeris dalam sistem pendidikan negara
menyebabkan ibu bapa kaum Cina memilih untuk menghantar anak-anak ke SJKC,” kata
kakitangan awam itu yang berasal dari Sabah.
“Ramai ibu bapa – termasuk saya – tidak
sudi menghantar anak-anak ke SJKT kerana kekurangan prasarana dan pentadbiran
yang tidak cekap. Terlalu banyak politik di SJKT, selain isu kebersihan dan
kesihatan yang kurang diberi perhatian. Sebenarnya, ada ramai guru berpotensi
di SJKT tetapi dipinggirkan atas sebab politik dalaman,” kata Antonie William S. Augustine, seorang
pekerja swasta dari Simpang Ampat, Pulau Pinang.
Turut mengemukakan pandangan mengenai topik
kemerosotan kemasukan murid SJKT ialah Shakti
Nageshvari dari Teluk Intan, Perak yang kini sedang melanjutkan pengajian
peringkat kedoktoran di Universiti Sains Malaysia (USM).
“SJKT di Pulau Pinang juga berada dalam
keadaan daif. Sekolah-sekolah ini berjiran dengan kuil dan dewan perkahwinan
yang lengkap dengan segala kemudahan. Manusia takut untuk ‘tidak’ menghulurkan
derma untuk kuil, tetapi kalau derma untuk SJKT, seribu satu soalan ditanya dan
akhirnya dengan berat hati menghulurkan seringgit atau dua ringgit sahaja.
Maka, pada pandangan saya, mentaliti atau pemikiran masyarakat India terhadap
SJKT perlu juga diubah bagi mengatasi masalah yang berlaku ini,” katanya.
Seorang lagi rakan yang sempat mengemukakan
pendangan menerusi perbincangan di Facebook
ialah Thipajothi Ramani, seorang
peguambela dan peguamcara dari Petaling Jaya. Sebagai seorang ibu, beliau
mengaku ingin menghantar anaknya ke SJKT atau sekurang-kurangnya ke kelas khas
bagi memastikan anaknya tahu bahasa ibunda.
“Berkenaan topik kemerosotan pendaftaran
murid di SJKT, fakta yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa kebanyakan SJKT
mengalami kekurangan prasarana dan kemudahan asas. Memang ada yang berkata,
sekiranya kaum Cina boleh membangunkan dan memajukan SJKC dengan duit sendiri,
kenapa kaum India tidak boleh. Kita perlu
faham bahawa rata-rata kaum India makan gaji dan masih dalam proses
meningkatkan diri dari segi sosio-ekonomi dan politik.
“Kita juga jangan lupa akan tanggungjawab
pihak berkenaan yang sememangnya bertanggungjawab memastikan semua sekolah (termasuk
SJKT dan SJKC) di negara ini mempunyai kemudahan yang wajib. Tiada alasan untuk
lari daripada tanggungjawab itu,” katanya tanpa menghuraikan siapakah ‘pihak
berkenaan’ yang dimaksudkan.
[Wajib Baca - Uthaya Tidak Layak Kritik SJKT]
Mungkin juga “pihak berkenaan” merujuk
kepada Kerajaan Pusat atau Kementerian Pelajaran yang sesungguhnya
bertanggungjawab dalam hal ini. Atau mungkin juga MIC sebagai parti politik yang mengaku
ia satu-satunya pertubuhan politik yang layak dan berhak mewakili kaum India.
Malah, seperti diketahui umum, MIC juga diberi kepercayaan – dan wang – oleh
Kerajaan Pusat untuk disalurkan ke SJKT.
Apa-apa pun, nyatalah bahawa ada pelbagai
pihak dan pelbagai sebab yang menjadi punca kemerosotan kemasukan murid-murid
ke SJKT sejak belakangan ini. Jika tiada langkah segera diambil, maka lingkaran
syaitan – vicious circle – ini akan
berterusan sampai bila-bila di negara bertuah ini.
[Makalah
ini ditulis pada 17 Januari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 21 Januari
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]