[Rumah-rumah ibadat seperti masjid, tokong, gereja, kuil, wat dan
sebagainya harus kembali menjadi pusat pendidikan tidak formal.]
Aspek pendidikan amat perlu diberi
perhatian kerana saya secara peribadi yakin bahawa hanya ilmu dan pendidikan
yang mampu membawa mobiliti sosial.
Selaras pendirian itu, saya tidak
melepaskan peluang mengikuti Konvensyen
Halatuju Pendidikan Negara anjuran Yayasan Selangor di Universiti Selangor
(Unisel) pada 18 November 2012.
Memandangkan beberapa sesi berlangsung
serentak, saya hanya berpeluang mengikuti perbincangan berkaitan topik
pendidikan bahasa ibunda (Mandarin dan Tamil) serta pendidikan masyarakat awam.
Ketiga-tiga topik ini sangat mengujakan dan merangsang pemikiran berhubung
pelbagai isu yang berada di depan mata.
Dr Tee Boon Chuan dari UTAR yang mengupas
topik “Pendidikan Bahasa Mandarin dalam Arus Perdana Pendidikan Negara”
menyatakan pandangan bahawa aspek pendidikan Bahasa Mandarin sebagai “bahasa
ibunda” sebenarnya sudah ada dan sudah pun dilaksanakan secara agak menyeluruh.
Baginya, penekanan harus diberikan terhadap
pendidikan Bahasa Mandarin sebagai “bahasa asing” dan tidak tertumpu
semata-mata kepada khalayak kaum Cina di negara ini.
Mengulas pandangan itu, Teo Lee Ken dari
Institut Kajian Etnik UKM kurang setuju dengan label “bahasa asing” kerana
katanya, Bahasa Mandarin dan Tamil sudah menjadi sebahagian daripada bahasa
utama yang digunakan penduduk di negara ini.
Boon Chuan segera menjelaskan bahawa label
“bahasa asing” digunakan bukan untuk menafikan kedudukan Bahasa Mandarin di
negara ini tetapi untuk menunjukkan bahawa bahasa berkenaan bukan merupakan
“bahasa ibunda” bagi semua orang; termasuk kelompok kaum Cina sendiri.
Malah, katanya, ramai juga generasi muda
kaum Cina yang tidak lagi menggunakan Bahasa Mandarin sebagai “bahasa ibunda”.
Maka, walaupun mereka – atau anak-anak mereka – belajar di Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC), Bahasa Mandarin masih dipelajari sebagai bahasa kedua
atau “bahasa asing”.
Diskriminasi terancang terhadap SJKC dan SJKT
Satu lagi aspek menarik yang disentuh oleh
pembentang adalah mengenai hakikat bahawa pendidikan di SJKC adalah lebih
merupakan pendidikan menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar.
Dengan erti kata lain, aspek budaya, sejarah, pemikiran, kepercayaan, adat,
sastera dan pelbagai perkara berkaitan kaum Cina tidak diajar di SJKC.
Sebenarnya, perkara yang hampir sama juga
berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT);
walaupun ternyata bahawa pelbagai upacara keagamaan sempat diselitkan dalam
aktiviti sekolah.
Topik berkaitan pendidikan Bahasa Tamil
dihuraikan secara terperinci oleh Jiwi Kathiah dari Yayasan Tamil. Beliau
mengemukakan pelbagai maklumat, fakta, dokumen dan perangkaan daripada
sumber-sumber sahih untuk menunjukkan perkembangan SJKT sejak sebelum merdeka.
Kathiah secara terang-terangan menyatakan
bahawa memang ada usaha menghapuskan SJKT dan SJKC oleh Kerajaan Barisan
Nasional (BN); khususnya UMNO. Pandangan ini disokong menerusi
pelbagai bahan bukti yang diambil dari pelbagai sumber.
Katanya, BN melakukan “diskriminasi
terancang” ke atas SJKT dan SJKC dalam usaha berterusan memastikan
sekolah-sekolah berasaskan bahasa ibunda itu pupus. Tentu sahaja sebarang usaha
seperti itu bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia.
Kathiah turut menghuraikan “permainan
politik” yang dilakukan pemimpin-pemimpin BN dan UMNO sejak dahulu berhubung
SJKC dan SJKT. Misalnya, beliau memetik kenyataan-kenyataan “flip flop” yang pernah dikeluarkan oleh
Tun Mahathir, Datuk Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kesemua
kenyataan itu dikemukakan berserta bahan bukti dan ternyata bukan usaha
memburuk-burukkan nama BN dan UMNO.
Dalam pada memperkatakan mengenai SJKT dan
SJKC, Kathiah juga menyentuh mengenai Sekolah Kebangsaan (SK) yang dikatakannya
turut dijadikan alat demi kepentingan politik pihak tertentu. Beliau mengambil
contoh Datin Marina Mahathir yang tidak mahu anaknya belajar di SK kerana
katanya, aspek pendidikan di SK tidak membantu ke arah pembinaan individu
berjiwa Malaysia. Dengar kata lain, SK turut menanam bibit perkauman dalam jiwa
murid-murid.
Tidak dinafikan bahawa pemimpin politik
dari BN sering melaungkan bahawa mereka akan memberi sumbangan wang kepada
SJKT. Akan tetapi, menurut Kathiah, dalam kebanyakan kes, wang yang dijanjikan
itu tidak pernah kunjung tiba. Pemimpin MIC juga dikatakan turut terlibat sama
(secara langsung atau tidak langsung) dalam permainan politik, diskriminasi
terancang dan usaha penghapusan SJKT di negara ini.
Akhirnya, berlaku mogok lapar sebagai usaha
terakhir “pejuang bahasa ibunda” dalam memastikan SJKT mendapat perhatian,
peluang dan hak yang sewajarnya mengikut undang-undang. Malah, satu mogok lapar
juga dirancang pada minggu ini.
Pendidikan tidak formal kurang diberi perhatian
Kathiah turut mengemukakan bukti-bukti
kukuh yang menunjukkan bagaimana Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri
Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat berjaya melaksanakan pelbagai program
khusus bagi SJKT dan SJKC.
Dalam sesi soal-jawab, Hasni Abas
(Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI) mengemukakan pandangan berupa cadangan supaya
NGO kaum India bersatu, bergabung tenaga dan bersama-sama menuntut hak dalam
soal bahasa ibunda dan SJKT. Beliau menyatakan bahawa memang banyak penipuan
dilakukan politikus dalam usaha memastikan karier politik mereka tidak
terjejas. Sebab itulah, katanya, walaupun ada beberapa parti politik pro-BN
yang kononnya mewakili kaum India, mereka tidak berani dan tidak tegas dalam
memperjuangkan hak kaum India.
Satu lagi topik menarik diperkatakan oleh
Mohd Azmi Abd Hamid dari TERAS sewaktu membicarakan topik “Pendidikan
Masyarakat Awam”. Huraian beliau amat kemas dan mudah difahami serta
benar-benar membuka minda. Ternyata bahawa apa yang dipentingkan dalam sistem
pendidikan negara tercinta ini hanyalah pendidikan formal yang mementingkan
keupayaan melahirkan robot yang mampu menghafaz dan “memuntahkan” jawapan
tepat/sama semasa peperiksaan.
Pendidikan tidak formal sepatutnya diberi
penekanan kerana bentuk pendidikan itu memberi sumbangan besar terhadap
kemampuan sebenar dan jati diri individu. Sekiranya difikirkan, bentuk
pendidikan masyarakat atau pendidikan tidak formal bukan sesuatu yang baru
dalam budaya masyarakat tempatan – tanpa mengira kaum dan etnik. Sayang sekali
kerana institusi pendidikan sudah dikerajaankan; seperti kata Mohd Azmi.
Menurut beliau, rumah-rumah ibadat seperti masjid,
tokong, gereja, kuil, wat dan sebagainya harus kembali menjadi pusat pendidikan
tidak formal. Pendidikan bentuk ini amat penting kerana ia tidak memandang pada
sijil, ijazah dan sebagainya. Sebaliknya, masyarakat menimba ilmu demi ilmu itu
sendiri; bukan untuk “kelayakan pada kertas” (paper qualification).
Pandangan yang dikemukakan Mohd Azmi memang
amat menarik dan membuatkan kita sedar – dan menyesal – memikirkan pelbagai
peluang yang terlepas kerana tumpuan sistem pendidikan hanya pada pendidikan
formal.
Secara keseluruhan, Konvensyen Halatuju
Pendidikan Negara memang membuka minda para hadirin untuk memikirkan dan
membahaskan secara serius berhubung pelbagai persoalan berkaitan pendidikan.
Apatah lagi, penganjur berpendapat bahawa
Transformasi Pendidikan Negara yang diumumkan kerajaan pusat baru-baru ini
“hanya sebagai ‘lips service’ kerana
tidak menyentuh isu-isu yang lebih dasar seperti Falsafah Pendidikan Negara,
pendemokrasian pendidikan, pendidikan agama, pendidikan bahasa ibunda,
prasarana pendidikan di Sabah dan Sarawak, pendidikan Orang Asal, pendidikan
khas dan pendidikan vokasional dalam konteks pembinaan negara yang maju”.
[Makalah
ini ditulis pada 19 November 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 19 November 2012.
© Uthaya Sankar SB
2012. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]