[Label “pendatang”
bagaikan sudah dilekatkan pada dahi kaum India walaupun mereka adalah
warganegara sah di Malaysia. Siri makalah ini berusaha mengupas topik
berkenaan.]
Walaupun negara merdeka pada 1957
dan Malaysia terbentuk pada 1963, desas-desus melibatkan “pendatang” terus
kedengaran.
Saya bukan bercakap mengenai
pendatang asing tanpa izin (PATI) yang khabarnya dengan mudah boleh mendapatkan
kad pengenalan biru dan hak kewarganegaraan sejak Tun Mahathir Muhammad menjadi
Perdana Menteri. Sebaliknya saya bercakap mengenai warganegara sah yang masih
dilabel “pendatang”.
Sejak kecil, saya sering mendengar kanak-kanak,
remaja, orang dewasa dan warga emas mengatakan bahawa kaum Cina dan kaum India
di negara ini tetap dilihat sebagai pendatang dan boleh “dihalau keluar pada
bila-bila masa”.
Tentu sahaja sebagai seorang kanak-kanak – dan
kemudian remaja – perasaan saya terguris mendengar kata-kata yang menafikan hak
dan kedudukan mana-mana warga Malaysia. Saya juga sedikit marah terhadap
generasi terdahulu kaum Cina dan kaum India yang masih risau memikirkan
kemungkinan mereka “dihalau keluar pada bila-bila masa” kerana mereka tetap
dianggap “pendatang” walaupun mereka lahir, tinggal dan bakal meninggal dunia
di sini.
Bagi saya, citra kaum India di Malaysia adalah seperti
watak Madhavi dan Vijay Kumar serta datuk mereka yang saya paparkan dalam
cerpen “Nayagi” (Kisah dari Siru Kambam, 2013). Keakraban generasi muda pelbagai
kaum di Malaysia adalah seperti yang diwakili dua watak kanak-kanak dalam
cerpen “Orang Pulau” (Siru Kambam, 1996).
Dahulu, saya tidak faham mengapa ada kaum Cina dan
kaum India yang masih “takut” sedangkan segala hak dan kedudukan mereka
terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi
negara. Malah, Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957
memberi jaminan bahawa kepentingan sah orang Bukan Melayu tetap dilindungi.
Namun, nampaknya isu “pendatang” masih berlarutan sehingga
ke saat ini. Pelbagai cara licik dan tidak bermaruah digunakan oleh puak
etnosentrik, ultra kiasu dan fanatik untuk terus mempersoalkan kesetiaan rakyat
negara ini. Kreativiti dan inovasi ternyata dimanipulasi sepenuhnya dalam hal
ini. Sekadar contoh, apabila kaum Cina dan kaum India kurang berminat menyertai
angkatan tentera, mereka dikatakan tidak patriotik!
Pada 8 Disember 2010, seorang Badut Paul Lathic yang mempersoalkan kesetiaan, semangat
patriotik dan cinta terhadap negara, semata-mata kerana kaum Cina dan India
kurang berminat “masuk tentera” – senada dengan “masuk Melayu” – akhirnya
terpaksa memohon maaf secara yang amat tidak langsung. Ulang: terpaksa; tidak
langsung.
Katanya, beliau langsung
tidak berniat mempertikaikan semangat patriotik golongan Bukan Melayu semasa
membuat kenyataan itu pada 9 November 2010. Nampaknya, beliau sudah sedar
bahawa kaum Cina, India, Iban, Kadazan, Dayak, Punjabi dan sebagainya turut
menjadi wira negara yang berjuang menentang penjajah British dan pengganas
komunis pada masa silam.
Siti
Inshah cetus fenomena pendatang
Para wira yang mempertahankan kedaulatan negara di
Lahad Datu dan Semporna, Sabah daripada pengganas Sulu melakukan demikian
dengan semangat patriotik sejati; tanpa membezakan kaum, etnik dan agama.
Itulah realiti sebenar di Malaysia yang cuba dinafikan puak berkepentingan.
Orang ramai mungkin masih ingat kisah “hebat” Hajah Siti Inshah, Pengetua
SMK Tunku Abdul Rahman Putera, Kulaijaya, Johor yang mencetuskan fenomena “pendatang”
semasa perhimpunan
sempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan pada 12 Ogos 2010.
Ada juga rakan-rakan yang menyifatkan apa yang berlaku
itu adalah kes terpencil dan tidak patut diperbesarkan. Sesungguhnya ketololan wanita itu
tidak mewakili majoriti kaum Melayu yang memahami peruntukan
Perlembagaan Persekutuan serta mahu hidup aman damai di negara bertuah ini.
Pada waktu sama, beberapa rakan mendedahkan bahawa
perbuatan menghina dan melabel kaum India dan Cina sebagai “pendatang” sebenarnya berlaku di seluruh
negara tetapi pelajar/murid serta ibu bapa tidak tampil “bersuara”, apatah lagi
membuat laporan polis.
Maka, tindakan berani pelajar SMK Tunku Abdul Rahman
Putera membuat laporan polis dilihat sebagai pencetus positif ke arah mendepani
masalah yang memang nyata berada di depan mata. Sesungguhnya minoriti yang
tertindas dan dizalimi perlu berani tampil bersuara demi hak dan maruah.
Realiti di negara ini adalah bahawa sesiapa yang tidak
termasuk dalam acuan “Melayu” dan/atau acuan “Islam” secara automatik masih
boleh dipertikaikan semangat patriotik mereka dan masih boleh dipanggil
“pendatang”. Anehnya tindakan tidak bermaruah ini dianggap tidak bertentangan
Perlembagaan Persekutuan.
Malah, kaum India yang dipanggil dengan gelaran yang
sungguh menghinakan dalam novel Interlok: Edisi Murid (2010) juga dianggap
tidak menjadi masalah oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia
(Gapena) dan sekutu, sejumlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan ahli
akademik tertentu.
Orang ramai tentu sahaja berhak mempertikaikan hasil
penelitian rambang yang saya paparkan di atas bahawa kaum Cina dan kaum India
di Malaysia masih dilabel sebagai “pendatang”. Pada masa sama, orang ramai juga
tidak boleh menafikan realiti yang benar-benar wujud di depan mata. Kita tidak memerlukan
WikiLeaks untuk membantu membuka mata
kita!
Saya amat menyampah apabila sesiapa
merujuk warganegara Malaysia daripada kalangan kaum Cina, kaum India dan
“Lain-lain” sebagai “pendatang” dan “bangsa asing”.
Himpun
dan campak ke laut!
Ternyata kelompok yang menggunakan istilah berbentuk
penghinaan itu tidak tahu membezakan antara “keturunan”, “kaum” dan “bangsa”
serta tidak tahu sejarah dan asal-usul masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Sepatutnya kelompok seperti itu dihimpunkan dan dicampak
ke tengah laut kerana mereka mampu menggugat keamanan negara dengan membawa
unsur-unsur ekstremis dan perkauman melampau. Pandangan ini juga dikongsi ramai
rakan-rakan pelbagai kaum dalam perbincangan kami.
Saya biasa mendengar penggunaan istilah “bangsa asing”
dan “pendatang”; misalnya apabila kelompok tertentu (termasuk politikus,
tentunya) berkata, “Bangsa asing dan pendatang perlu menghormati bla bla bla ...” di mana istilah itu
digunakan untuk merujuk pada mana-mana warganegara Malaysia yang bukan “kaum
Melayu”.
Saya juga amat menyampah apabila kelompok tertentu
bercakap mengenai penduduk di Sabah dan Sarawak bagaikan kedua-dua negeri itu
bukan sebahagian Malaysia!
Sering juga saya mendengar orang berkata, “Bangsa asing
dan pendatang pun sudah pandai Bahasa Malaysia” di mana “bangsa asing” dan
“pendatang” bukan merujuk kepada bangsa asing (bukan warganegara Malaysia) dan
pendatang asing tetapi merujuk kepada sesiapa sahaja yang bukan “kaum Melayu”
walaupun mereka adalah warganegara Malaysia yang berjiwa Bangsa Malaysia.
Saya yakin bahawa istilah “pendatang” dan “bangsa asing”
digunakan ke atas warganegara Malaysia yang bukan “kaum Melayu” hanya oleh
kelompok yang fanatik, penuh dengan kebencian, bersikap perkauman secara
ekstrem, ultra kiasu, etnosentrik serta menganggap dirinya sendiri adalah
“pendatang” yang sedikit pun tidak berjiwa Bangsa Malaysia.
Maka, untuk menutup hakikat kelemahan diri itu, mulalah
individu berkenaan melabel orang lain sebagai “pendatang” dan “bangsa asing”;
tidak ubah seperti kelompok yang takut bayang-bayang sendiri dalam soal penggunaan istilah
“Bahasa Malaysia”.
Pada 26 Julai 2010, saya menyatakan begini pada ruangan
status di Facebook: “Terkejut kerana
masih ada kelompok tertentu yang merujuk pada warganegara Malaysia kaum India
dan kaum Cina sebagai ‘bangsa asing’ dan ‘pendatang’.”
Status
itu mendapat beberapa reaksi daripada rakan-rakan. Masing-masing memberikan
pandangan, komen dan kritikan untuk manfaat bersama. Sekurang-kurangnya, ada
ruang dan peluang untuk bersuara dan menyatakan pendirian. – Bersambung minggu hadapan [BACA DI SINI]
[Makalah
ini dikemas kini pada 2 Mac 2013 berdasarkan bahan lama dan disiarkan di Roketkini pada 10 Mac 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]