Penggal
persekolahan bagi tahun 2013 sudah bermula dan pasti akan kedengaran pelbagai
rungutan daripada pihak ibu bapa dan sekolah mengenai prestasi murid/pelajar
dalam kurikulum.
Bagaimanapun,
tentu sahaja kelompok yang tampil membantu menyelesaikan masalah adalah lebih
mulia berbanding kelompok yang hanya tahu mengungkitkan isu. Tambahan pula,
cukuplah golongan politikus terus mengeluarkan kenyataan
berupa retorik yang tidak akan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam
sistem pendidikan negara.
Dalam hal seperti
inilah saya sangat kagum dengan usaha yang dilakukan kumpulan Teach for the
Needs (TFTN) sejak diasaskan pada 1 Mac 2012. Kumpulan
yang bergerak secara bebas dan sukarela itu menyediakan platform, rundingan,
bahan mengajar, buku dan sistem sokongan yang diperlukan bagi mengatasi masalah
pembelajaran.
Saya sempat
berbual-bual dengan pengerusi TFTN, Zul Fikri Zamir Mohamad Munir yang mengasaskan kumpulan itu bersama-sama
Asmidar Alias (presiden).
“TFTN mempunyai
objektif menyediakan kelas tambahan (tuisyen) percuma untuk murid-murid kelas
corot, anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga miskin. Kami juga
berusaha membantu guru dan sukarelawan meningkatkan kemahiran diri melalui
kerja sukarela dan mendepani masalah masyarakat secara ‘hands on’,” kata pemuda
kelahiran Jerantut, Pahang itu.
Pada umumnya,
walaupun belum sampai setahun diasaskan, TFTN memang berpegang pada satu lagi
objektif penubuhan iaitu menggerakkan sebuah gerakan berasaskan pendidikan
untuk masyarakat. Tentulah usaha murni ini bukan suatu kerja mudah; apatah lagi
apabila dilaksanakan secara “apolitikal” dan tanpa mengharapkan
naungan mana-mana politikus.
Saya sangat
memahami keadaan ini kerana Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
yang diasaskan pada Ogos 1999 juga berpegang pada konsep memartabatkan Bahasa Malaysia menerusi
aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya tanpa bernaung pada mana-mana politikus
dan parti politik. Sekurang-kurangnya kami boleh membuat kebaikan tanpa
menanggung dosa orang lain.
Sumbangan dan
aktiviti TFTN pula semakin dikenali umum dan berita-berita mengenainya semakin
banyak disiarkan di media konvensional dan alternatif. Perkembangan ini amatlah
membanggakan dan diharap boleh menarik perhatian anggota masyarakat untuk
tampil membantu sekadar termampu.
Berani bersuara demi golongan
marginal
Zul Fikri yang
bekerja sebagai guru Pendidikan Jasmani dan Bahasa Malaysia sejak 2010 berkata,
terdapat 19 duta TFTN daripada kalangan guru di seluruh negara. Selain itu,
sukarelawan berdaftar pula terdiri daripada 300 orang, di mana sekitar 50
daripadanya terlibat secara aktif melalui kerja-kerja pentadbiran, projek rumah
anak yatim dan kerja-kerja mengumpul dana.
Pemuda berkenaan
yang kini tinggal di Kuala Lumpur memang lantang bersuara di forum, dialog dan
melalui tulisan apabila bercakap mengenai soal pendidikan dan kelompok marginal
yang sering terpinggir dan dipinggirkan dalam arus pendidikan negara.
Hasil pemerhatian
saya, beliau dan rakan-rakannya dalam TFTN ikhlas dalam perjuangan; sekali gus
tidak tunduk pada tekanan dan pujukan “puak arus perdana” yang tidak mahu
sebarang kepincangan sistem pendidikan negara didedahkan.
“Di bawah program
TFTN, ada sekitar 230 murid berumur 11 dan 12 tahun yang kami bimbing selepas
tamat waktu pelajaran di sekolah. Sebagai tambahan, ada sekitar 70 murid yang
dibimbing secara berterusan menerusi projek Rumah Anak Yatim,” kata guru
berumur 27 tahun itu.
Mengulas lanjut,
Zul Fikri menceritakan bahawa program tambahan (expansion programme) dikendalikan bagi memastikan penghuni rumah
anak yatim turut mendapat manfaat dan peluang menimba ilmu secara adil dan
saksama.
“Program pertama
bermula pada 7 April 2012 melibatkan 52 penghuni Asrama Anak Yatim dan Miskin
Darul Hikmah di Gopeng, Perak. Program itu kendalian Anas Hakimie. Yuni Roslan
pula menangani program sama di Asrama Baitul Husna, Bukit Sekilau, Kuantan,
Pahang melibatkan 15 murid bermula awal Jun 2012,” katanya dengan penuh semangat.
Satu aktiviti
tambahan yang dinamakan “Parenting Programme” turut dilaksanakan sebagai
sebahagian projek “I Luv My Kids” dengan bantuan Profesor Dr Saedah Siraj,
tokoh pendidik dari Universiti Malaya.
Pelbagai program
berskala kecil, sederhana dan besar diadakan dari semasa ke semasa sebagai
bukti kesungguhan dan keikhlasan TFTN membantu kanak-kanak yang memerlukan
bantuan dalam pembelajaran dan pendidikan. Konvensyen Pendidikan TFTN di
Universiti Malaya pada 8 Disember 2012 menjadi salah satu bukti komitmen
mereka.
Pelbagai pihak tampil membantu
Dalam usianya
yang relatif muda – belum sampai setahun – tentulah masih terlalu awal untuk
menilai kejayaan TFTN dalam misi membantu murid-murid yang lemah dalam
pelajaran. Namun, jika keputusan UPSR 2012 diambil kira, rata-rata anak didik
TFTN menunjukkan peningkatan dalam prestasi.
“Melalui
penglibatan kami secara langsung sejak Mac tahun lalu, ada beberapa perkara
yang dikenal pasti. Kami dapati bahawa anak-anak yatim dan anak-anak daripada
keluarga miskin kurang diberi perhatian oleh sekolah dan masyarakat,” Zul Fikri
memberitahu saya.
Pendedahan yang
dilakukan ini tentu sahaja (mungkin) akan membuatkan pihak sekolah dan
lebih-lebih lagi Kementerian Pelajaran naik angin serta tampil menafikan
apa-apa yang dikatakan. Mana mungkin jabatan dan kementerian menerima kritikan
pedas seperti ini; bahawa ada murid yang sengaja dibiarkan terpinggir dalam
sistem pendidian negara.
Di pihak TFTN,
mereka tidak sekadar mengkritik atau menyalahkan pihak lain. Sebaliknya, mereka
berusaha membantu sekadar termampu berdasarkan kemahiran yang dimiliki para
sukarelawan. Bagi hampir 70 murid di bawah program tambahan di Gopeng dan
Kuantan, masing-masing diberikan kamus sebagai langkah awal untuk cemerlang
dalam pelajaran.
“Melalui
sumbangan buku daripada penerbit seperti PTS dan Institut Terjemahan dan Buku
Malaysia (ITBM), kami berusaha menanam minat membaca dalam kalangan lebih
daripada 170 kanak-kanak yang menyertai projek TFTN,” pemuda yang gemar membaca
dan mengembara itu menghuraikan.
Bagi menjayakan
segala projek yang dilaksanakan secara sukarela dan tanpa bantuan politikus,
tentulah melibatkan pelbagai cabaran. Zul Fikri mengakui bahawa komitmen serta
kekurangan sukarelawan daripada kalangan guru menjadi cabaran utama. Selain
daripada itu, tentulah soal kewangan perlu diambil kira.
Buat masa ini,
TFTN bergantung sepenuhnya pada hasil jualan butang/lencana dan kemeja-T serta
sumbangan kecil-kecilan daripada anggota masyarakat yang prihatin terhadap
nasib kanak-kanak yang terpinggir dan dipinggirkan dalam sistem pendidikan
negara.
“Sesungguhnya
TFTN amat memerlukan lebih ramai guru muda untuk menyertai program ini dan
menyediakan kelas-kelas TFTN di sekolah masing-masing. Kami juga mengharapkan
kerjasama syarikat-syarikat korporat untuk menyediakan sumbangan kewangan bagi
memastikan gerakan yang dimulakan oleh TFTN boleh dikekalkan dan diberi
penambah baikan demi masa depan kanak-kanak,” katanya dengan penuh harapan.
Nafi mitos anak-anak kelas corot
Bercakap mengenai
perancangan bagi tahun ini, Zul Fikri berkata, selain memberi tumpuan kepada
program dan duta sedia ada, TFTN turut merancang Futsal Guru Muda pada 27 Januari
2013, makan malam amal pada Mac 2013 dan larian amal pada Jun 2013.
“Advanced
Research Projects for Education (ARPE) di bawah seliaan Anas Alam Faizli pula
akan memberi fokus terhadap penyediaan modul pembelajaran anak-anak
berkeperluan dalam TFTN; kajian rintis terhadap duta/sukarelawan/guru di
seluruh negara; serta kajian akademik berkaitan isu pendidikan masa depan,”
katanya.
Harus ditekankan
bahawa TFTN ditubuhkan untuk menyediakan platform sukarela kepada guru dan
bukan guru bagi menggerakkan program berasaskan pendidikan. TFTN secara terus-menerus
memperjuangkan golongan marginal tertindas seperti murid kelas corot, anak
miskin, anak yatim dan anak-anak di pedalaman.
Sukarelawan
daripada kalangan guru dan bukan guru memang diharapkan dan dialu-alukan untuk
sama-sama terlibat dalam menjayakan misi yang sangat murni ini. Malah, itulah
juga sebabnya saya tampil memperkatakan mengenai TFTN menerusi makalah ini.
“Ruang untuk orang
ramai menyumbang memang terbuka; daripada menjadi sumber tenaga pengajar kepada
menjadi sebahagian rangkaian dan pentadbir TFTN di seluruh negara. Melalui
TFTN, rakyat Malaysia boleh membuktikan bahawa isu pendidikan boleh ditangani
melalui kerjasama kolektif, berbanding hanya mengharap kepada kerajaan semata-mata,”
Zul Fikri menyatakan dengan penuh optimis.
Menurut guru itu
lagi, salah satu objektif penubuhan TFTN adalah untuk membuktikan betapa tidak
benar suatu mitos yang sudah berakar-umbi dalam kalangan masyarakat. Mitos yang
dimaksudkan adalah tanggapan bahawa anak-anak kelas corot, anak miskin, anak
yatim dan anak-anak pedalaman tidak berhak mendapat peluang pendidikan yang
sama rata dengan rakan mereka yang lain.
Dengan semangat,
kesungguhan dan sikap tegas yang ditunjukkan, saya juga optimis bahawa TFTN
akan berjaya dalam misi murni yang diperjuangkan demi golongan minoriti,
marginal dan tertindas.
[Maklumat
lanjut mengenai aktiviti TFTN boleh dibaca DI SINI. Makalah ini ditulis pada 4
Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 7 Januari
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]