25 Feb 2013

Demi Allah! (Bahagian 2)

[BACA BAHAGIAN PERTAMA DI SINI] Semasa topik berkaitan kalimah “Allah” dibincangkan menerusi laman rangkaian sosial Facebook sejak 6 Januari 2013, ada beberapa rakan yang memberikan pandangan. Memandangkan umat Tidak Islam dilarang melafazkan perkataan itu, pengkaji agama dan ahli akademik, Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani) tertanya-tanya, “bagaimanakah agaknya anak-anak sekolah yang Bukan Islam harus menyebut kalimah Allah saat menyanyikan lagu negeri masing-masing?”
 
Kebimbangan sama diluahkan rakan-rakan seperti Kanaga Raja Muniandy, Zul Fikri Zamir, Ambiga Rajanthran, Saran Krishnan, Revathi, Nageswary Loganathan, Roshidayu Che Mat, Hazayani Zakaria, Aslam Bigai dan Saadah Jaffar. Mereka adalah individu dari pelbagai negeri serta tahu bahawa lagu rasmi kebanyakan negeri memuatkan kalimah “Allah”. Apakah perlu dicipta lirik baru, seperti ditanya Ustaz Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (The Malaysian Insider, 9 Januari 2013).
 
Pada pandangan penulis novel Baldatun Thoiyyibatun (2011), Kamaludin Endol (Pelita di Dalam Kaca), “Allah adalah Tuhan bagi seluruh alam dan bagi seluruh makhluk termasuk manusia. Ini adalah hakikat. Sama ada seseorang itu beriman kepada Allah atau kafir (tidak percaya kepada Allah), Allah tetap Tuhan bagi semua manusia! Jadi, mengapa manusia cuba mengubah hakikat bahawa Allah adalah Tuhan bagi semua manusia? Kenapa (mereka) cuba mengatakan bahawa Allah adalah Tuhan bagi orang Melayu/Islam sahaja?”
 
Faisal Tehrani juga berpandangan bahawa golongan Tidak Islam boleh menggunakan kalimah “Allah” kerana “saya dapati dalam banyak keadaan, non-Muslim jauh lebih Islam daripada umat Islam. Sekadar menurunkan kata-kata el-Afghani, ‘aku melihat Islam di Eropah pada orang-orang Bukan Islam, aku hanya melihat Muslim yang namanya Islam di negara-negara Islam’. Jika non-Muslim lebih Islam daripada Muslim, maka mereka lebih berhak menggunakan nama Allah daripada kita (Muslim).”
 
Pada pendapat peribadi Kamaludin Endon, “orang Islam pada zahirnya Islam, tapi batinnya belum pasti. Sebilangan orang Bukan Islam, zahirnya memang Tidak Islam, tetapi batin/jiwanya jelas seolah-olah ada Islamnya; lebih baik Islamnya. Kalaulah orang Bukan Islam jelas dan betul tauhidnya, nescaya orang Bukan Islam lebih Islam berbanding orang Islam sendiri kerana Islam sesungguhnya ada dua dimensi: zahir dan batin. Sebab itu timbul kata-kata ‘Islam hanya pada nama’ bagi sebilangan umat Islam.”
 
Hafiz Zainuddin yang tidak tahan dengan polemik berterusan kalimah “Allah” mencatatkan pada ruangan statusnya: “Balik-balik isu Allah, balik-balik isu Allah. Weh! Orang Kristian dah guna kalimah tu sebelum Islam ada lagi tau.”
 
Seperti dilaporkan di The Malaysian Insider (9 Januari 2013), Majlis Gereja Malaysia (CCM) menegaskan bahawa penganut Kristian di Malaysia telah menggunakan kalimah “Allah” dalam Alkitab sejak berabad-abad lamanya serta sudah menjadikan perkataan “Allah” yang berasal daripada Bahasa Arab itu sebagai sebahagian bahasa harian mereka. [Topik berkaitan: BACA DI SINI]
 
Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) turut mengingatkan bahawa kalimah “Allah” sudah digunakan dalam agama Sikh sejak awal dan adalah bertentangan dengan hak mereka (penganut agama Sikh) jika mereka dihalang menggunakan perkataan itu.
 
“Saya rasa tidak ada sesiapa pun yang ingin salah gunakan kalimah tersebut,” kata Eza Izaham dalam komen di Facebook berikutan kebimbangan pihak tertentu bahawa kalimah “Allah” akan disalah gunakan oleh orang Tidak Islam.
 
Amat jelas bahawa orang Islam – di Semenanjung Malaysia – tidak semestinya benar-benar kenal Islam; apatah lagi “kenal” agama-agama lain. Ada masanya kita khilaf lalu mengeluarkan pandangan/fatwa yang sebenarnya bertentangan dengan firman Allah (s.w.t), sunah (perbuatan, perkataan, pengakuan dan sifat) Rasulullah (s.a.w) dan hadis (seperti diriwayatkan para sahabat Rasulullah). Sekali gus mendedahkan kejahilan diri dan tahap pengetahuan kita yang sebenar tentang Islam.
 
Dalam hal ini, saya teringat akan buku kajian akademik Takmilah dalam Novel Melayu (2011) karya Dr Kamariah Kamaruddin. Sewaktu menjelaskan konsep dakwah, diterangkan bahawa “dakwah” haruslah dimulakan dengan dakwah terhadap orang Islam dahulu, iaitu terhadap diri, ahli keluarga dan masyarakat Islam di sekeliling. Apabila sudah sempurna, barulah (ulang: barulah) wajar dikembangkan dan dilebarkan kepada orang Tidak Islam. Akan tetapi, nampak gayanya, kita melihat perkara yang sebaliknya berlaku di negara tercinta ini – daripada peringkat pemerintah hinggalah kepada orang biasa.
 
Tentulah “dakwah” saya tidak akan diterima baik oleh kebanyakan orang kerana bertentangan dengan ego (keangkuhan) yang menguasai diri. Seperti mana dikatakan secara tersirat oleh seorang rakan, Azman Borhan dalam komen menerusi Facebook: “Mereka cukup marah kalau Bukan Islam menggunakan nama Allah, tapi ada kalangan mereka langsung tak solat, tak sebut Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) atau Subhanallah (Maha Suci Allah).”
 
Harap maklum bahawa saya bukannya sedang menyebarkan ajaran agama Hindu, Kristian, Buddha, Sikh dan sebagainya kepada orang Islam. (Perbuatan seperti itu juga adalah bertentangan dengan peruntukan Perkara 11 (4) dalam Perlembagaan Persekutuan.) Sebaliknya, saya sedang berdakwah mengenai Islam kepada mereka.
 
Saya selalu berterus-terang kepada rakan-rakan Melayu-Islam bahawa sikap anti-dakwah yang sebahagian daripada mereka tunjukkan boleh menjadi antara sebab orang ramai menjauhi Islam. Bagi saya, sifat terpuji yang mereka tunjukkan tanpa perlu berdakwah secara berlebih-lebihan kepada golongan Tidak Islam adalah sebenarnya dakwah terbaik. Tentulah saya mengambil Rasulullah sebagai idola dalam hal ini.
 
Rupa-rupanya perkara sama juga terkandung dalam Hadis Riwayat an-Nasa’i yang dikongsikan oleh rakan dari Kota Kinabalu, Amiruddin M.R (Penduga Arus): “Jadilah penyeru Islam tanpa berkata apa-apa. Para sahabat bertanya, ‘Wahai utusan Allah, seperti apa sifatnya menyeru Islam tanpa kata-kata?’ Rasulullah menjawab, ‘Dengan sikap baik dan kemuliaan akhlak kamu’.”
 
Pada pandangan saya, perkara sama wajar ditangani dalam isu penggunaan kalimah Allah. Jika kita terus melakukan anti-dakwah sambil berpegang pada ego, kejahilan dan kekhilafan, akhirnya yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran. Malah, mungkin boleh membawa kepada keadaan syirik dan munafik. Wallahu Alam; Allahlah yang Maha Mengetahui.
 
[Uthaya Sankar SB sedar bahawa mungkin lebih ramai orang akan memanfaatkan butang unfriend dan block pada Facebook selepas membaca makalah ini. Makalah ini ditulis pada 10 Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 15 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]