[BACA BAHAGIAN PERTAMA DI SINI] Semasa topik
berkaitan kalimah “Allah” dibincangkan menerusi laman
rangkaian sosial Facebook sejak 6 Januari 2013, ada
beberapa rakan yang memberikan pandangan. Memandangkan umat Tidak Islam dilarang
melafazkan perkataan itu, pengkaji agama dan ahli akademik, Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani)
tertanya-tanya, “bagaimanakah agaknya anak-anak sekolah yang Bukan Islam harus
menyebut kalimah Allah saat menyanyikan lagu negeri masing-masing?”
Kebimbangan sama diluahkan rakan-rakan
seperti Kanaga Raja Muniandy, Zul Fikri Zamir, Ambiga Rajanthran, Saran
Krishnan, Revathi, Nageswary Loganathan, Roshidayu Che Mat, Hazayani Zakaria,
Aslam Bigai dan Saadah Jaffar. Mereka adalah individu dari pelbagai negeri serta
tahu bahawa lagu rasmi kebanyakan negeri memuatkan kalimah “Allah”. Apakah
perlu dicipta lirik baru, seperti ditanya Ustaz Datuk Dr Mohd Asri Zainul
Abidin (The Malaysian Insider, 9
Januari 2013).
Pada pandangan penulis novel Baldatun Thoiyyibatun (2011), Kamaludin Endol (Pelita di Dalam
Kaca), “Allah adalah Tuhan bagi seluruh alam dan bagi seluruh makhluk termasuk
manusia. Ini adalah hakikat. Sama ada seseorang itu beriman kepada Allah atau
kafir (tidak percaya kepada Allah), Allah tetap Tuhan bagi semua manusia! Jadi,
mengapa manusia cuba mengubah hakikat bahawa Allah adalah Tuhan bagi semua
manusia? Kenapa (mereka) cuba mengatakan bahawa Allah adalah Tuhan bagi orang
Melayu/Islam sahaja?”
Faisal Tehrani juga berpandangan bahawa
golongan Tidak Islam boleh menggunakan kalimah “Allah” kerana “saya dapati
dalam banyak keadaan, non-Muslim jauh lebih Islam daripada umat Islam. Sekadar
menurunkan kata-kata el-Afghani, ‘aku melihat Islam di Eropah pada orang-orang
Bukan Islam, aku hanya melihat Muslim yang namanya Islam di negara-negara
Islam’. Jika non-Muslim lebih Islam daripada Muslim, maka mereka lebih berhak
menggunakan nama Allah daripada kita (Muslim).”
Pada pendapat peribadi Kamaludin Endon, “orang
Islam pada zahirnya Islam, tapi batinnya belum pasti. Sebilangan orang Bukan
Islam, zahirnya memang Tidak Islam, tetapi batin/jiwanya jelas seolah-olah ada
Islamnya; lebih baik Islamnya. Kalaulah orang Bukan Islam jelas dan betul
tauhidnya, nescaya orang Bukan Islam lebih Islam berbanding orang Islam sendiri
kerana Islam sesungguhnya ada dua dimensi: zahir dan batin. Sebab itu timbul
kata-kata ‘Islam hanya pada nama’ bagi sebilangan umat Islam.”
Hafiz
Zainuddin yang tidak tahan dengan polemik
berterusan kalimah “Allah” mencatatkan pada ruangan statusnya: “Balik-balik isu
Allah, balik-balik isu Allah. Weh! Orang Kristian dah guna kalimah tu sebelum
Islam ada lagi tau.”
Seperti dilaporkan di The Malaysian Insider (9 Januari 2013), Majlis Gereja Malaysia
(CCM) menegaskan bahawa penganut Kristian di Malaysia telah menggunakan kalimah
“Allah” dalam Alkitab sejak
berabad-abad lamanya serta sudah menjadikan perkataan “Allah” yang berasal
daripada Bahasa Arab itu sebagai sebahagian bahasa harian mereka. [Topik
berkaitan: BACA DI SINI]
Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) turut
mengingatkan bahawa kalimah “Allah” sudah digunakan dalam agama Sikh sejak awal
dan adalah bertentangan dengan hak mereka (penganut agama Sikh) jika mereka
dihalang menggunakan perkataan itu.
“Saya rasa tidak ada sesiapa pun yang ingin
salah gunakan kalimah tersebut,” kata Eza
Izaham dalam komen di Facebook
berikutan kebimbangan pihak tertentu bahawa kalimah “Allah” akan disalah
gunakan oleh orang Tidak Islam.
Amat jelas bahawa orang Islam – di Semenanjung
Malaysia – tidak semestinya benar-benar kenal Islam; apatah lagi “kenal”
agama-agama lain. Ada masanya kita khilaf lalu mengeluarkan pandangan/fatwa
yang sebenarnya bertentangan dengan firman Allah (s.w.t), sunah (perbuatan,
perkataan, pengakuan dan sifat) Rasulullah (s.a.w) dan hadis (seperti
diriwayatkan para sahabat Rasulullah). Sekali gus mendedahkan kejahilan diri
dan tahap pengetahuan kita yang sebenar tentang Islam.
Dalam hal ini, saya teringat akan buku
kajian akademik Takmilah dalam Novel Melayu (2011)
karya Dr Kamariah Kamaruddin. Sewaktu menjelaskan konsep dakwah, diterangkan
bahawa “dakwah” haruslah dimulakan dengan dakwah terhadap orang Islam dahulu,
iaitu terhadap diri, ahli keluarga dan masyarakat Islam di sekeliling. Apabila
sudah sempurna, barulah (ulang: barulah) wajar dikembangkan dan dilebarkan
kepada orang Tidak Islam. Akan tetapi, nampak gayanya, kita melihat perkara
yang sebaliknya berlaku di negara tercinta ini – daripada peringkat pemerintah
hinggalah kepada orang biasa.
Tentulah “dakwah” saya tidak akan diterima
baik oleh kebanyakan orang kerana bertentangan dengan ego (keangkuhan) yang
menguasai diri. Seperti mana dikatakan secara tersirat oleh seorang rakan, Azman Borhan dalam komen menerusi Facebook: “Mereka cukup marah kalau
Bukan Islam menggunakan nama Allah, tapi ada kalangan mereka langsung tak
solat, tak sebut Alhamdulillah (segala puji bagi
Allah) atau Subhanallah (Maha Suci
Allah).”
Harap maklum bahawa saya bukannya sedang menyebarkan ajaran agama Hindu,
Kristian, Buddha, Sikh dan sebagainya kepada orang Islam. (Perbuatan seperti
itu juga adalah bertentangan dengan peruntukan Perkara 11 (4) dalam Perlembagaan
Persekutuan.) Sebaliknya, saya sedang berdakwah mengenai Islam kepada mereka.
Saya selalu berterus-terang kepada
rakan-rakan Melayu-Islam bahawa sikap anti-dakwah yang sebahagian daripada mereka
tunjukkan boleh menjadi antara sebab orang ramai menjauhi Islam. Bagi saya,
sifat terpuji yang mereka tunjukkan tanpa perlu berdakwah secara
berlebih-lebihan kepada golongan Tidak Islam adalah sebenarnya dakwah terbaik.
Tentulah saya mengambil Rasulullah sebagai idola
dalam hal ini.
Rupa-rupanya perkara sama juga terkandung
dalam Hadis Riwayat an-Nasa’i yang
dikongsikan oleh rakan dari Kota Kinabalu, Amiruddin M.R (Penduga Arus): “Jadilah penyeru Islam tanpa berkata apa-apa. Para
sahabat bertanya, ‘Wahai utusan Allah, seperti apa sifatnya menyeru Islam tanpa
kata-kata?’ Rasulullah menjawab, ‘Dengan sikap baik dan kemuliaan akhlak kamu’.”
Pada pandangan saya, perkara sama wajar
ditangani dalam isu penggunaan kalimah Allah. Jika kita terus
melakukan anti-dakwah sambil berpegang pada ego, kejahilan dan kekhilafan,
akhirnya yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran. Malah, mungkin
boleh membawa kepada keadaan syirik dan munafik. Wallahu Alam; Allahlah yang Maha Mengetahui.
[Uthaya
Sankar SB sedar bahawa mungkin lebih ramai orang akan memanfaatkan butang unfriend dan block pada Facebook
selepas membaca makalah ini. Makalah ini ditulis pada 10 Januari 2013 dan
disiarkan di The Malaysian Insider pada 15 Januari
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]