Novel Baldatun
Thoiyyibatun (2011) karya Pelita di Dalam Kaca (Kamaludin Endol)
sebuah novel Islamik yang sangat penting. Saya telah menyebut dalam catatan ringkas di blog dan Facebook pada Disember 2012 bahawa novel
terbitan Pustaka Kanzun Mahfiyyan ini pasti akan hangat diperkatakan dalam masa
terdekat.
Memang benar kerana pada 28 Disember 2012,
novel berkenaan menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011. Tentu
sahaja ini suatu anugerah dan pengiktirafan besar bagi sebuah novel daripada seorang
penulis yang kurang dikenali serta kurang memperkenalkan dirinya kepada
khalayak penulis lain.
Pembaca yang sudah biasa dengan konsep
“Baldatun Thoiyyibatun Wa Rabbun Ghafur” pasti akan lebih cepat menangkap makna
dan kepentingan novel setebal 403 halaman ini. Kisah berlaku pada tarikh 13-23
Ogos 2020, iaitu selama sebelas hari.
Dalam sebuah ulasan di akhbar Berita Harian (15 Julai 2011), Baldatun Thoiyyibatun dinyatakan sebagai
“Novel futuristik Malaysia sebagai model negara Islam moden pada 2020” dan
ulasan itu memang tepat. Malah, keistimewaan itulah yang menarik perhatian saya
untuk menghayati novel ini sebaik sahaja saya mendapat tahu mengenai
kewujudannya.
Kedai Buku Anda yang menguruskan pembelian buku
dalam talian mempromosikannya sebagai “sebuah novel futuristik mengenai Negara
Islam Moden yang melaksanakan sistem Islam sepenuhnya berdasarkan al-Quran dan
Sunnah Rasulullah saw.”
Pada tahun 1980-an, Perdana Menteri waktu
itu, Tun Dr Mahathir Muhamad memperkenalkan Wawasan 2020 yang kemudian –
seperti diketahui umum – menjadi sebutan dan dasar bagi setiap perkara yang
dilakukan oleh sesiapa sahaja di seluruh negara.
Kemudian, sewaktu Tun Abdullah Ahmad Badawi
menjadi Perdana Menteri, konsep Islam Hadhari diperkenalkan. Sekali lagi,
ramailah yang berlumba-lumba mahu memastikan semua perkara dalam kehidupan dan
barangan keperluan harian ada kaitan dengan sebutan – walaupun bukan amalan –
Islam Hadhari.
Novel Baldatun Thoiyyibatun yang diterbitkan oleh Pustaka Kanzun Mahfiyyan, Kuantan pula membawa kita lari daripada segala agenda parti politik serta realiti kaki ampu, kroni dan juak-juak yang sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan keuntungan bagi diri dan keluarga.
Bagaimana jika Malaysia benar-benar menjadi
sebuah Negara Islam menjelang tahun 2020? Tanpa angka “1” diletakkan dan
dilekatkan pada setiap objek – dari seluar dalam hingga kepala kereta api?
Sebuah negara yang ditadbir oleh pemimpin yang benar-benar Islam (bukan hanya
pada nama dan kad pengenalan) serta benar-benar melaksanakan pemerintahan
berdasarkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah (bukan sekadar membuat kempen dan
slogan Islamik yang muluk tanpa pengisian).
Sebagai sebuah novel sulung yang
diterbitkan sendiri oleh pengarang, memanglah banyak kelemahan. Khabarnya
manuskrip pernah diberi kepada beberapa penerbit terkenal tetapi ditolak. Sewaktu
saya bertemu Kamaludin pada 27 Disember 2012, beliau mengakui ada terlalu
banyak kesalahan bahasa, tanda baca dan penyuntingan yang tidak sempurna. Edisi
kedua dijadual untuk diterbitkan pada Februari 2013 selepas penyuntingan dan
pemurnian dilakukan.
Pada masa sama, dalam usaha bekas pensyarah ini mahu menonjolkan sebuah Negara Islam, berlaku juga kekhilafan dalam menggambarkan hak dan kebebasan penganut agama-agama lain seperti yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlu juga kita fahami konsep keadilan dalam pentadbiran Islam terhadap penduduk Bukan Islam. Saya percaya, kebanyakan politikus di Malaysia kurang memahami konsep-konsep ini. Begitu juga dengan kehadiran watak utama, Dr Lleyton Hewitt dari Australia yang kosong jiwa dan secara amat nyata sekadar dijadikan alat dan wahana untuk menyampaikan dakwah Islam. Seperti biasa, “barat” adalah jahat.
Perkara-perkara ini akan menjadi lebih
jelas sekiranya dikaji secara teliti menggunakan Teori Takmilah yang dipelopori
Dr Shafie Abu Bakar. Rujukan terbaik adalah buku akademik Takmilah dalam Novel Melayu (2011)
karya Dr Kamariah Kamaruddin.
Namun begitu, sedikit kekurangan dan
keadaan “terlepas pandang” seperti itu tidaklah menjejaskan keunikan Baldatun Thoiyyibatun sebagai sebuah
novel penting yang perlu dikaji secara mendalam. Sekiranya dilihat dalam
kerangka konvensional karya bertema Islam yang menjadi ikutan dan pegangan di
Malaysia, maka novel ini memenuhi kesemua ciri yang diharapkan.
Soalnya kini, mampukah novel unik ini
menjadi semacam pegangan dan panduan (blueprint)
kepada politikus – Barisan Nasional (BN) mahu pun Pakatan Rakyat (PR) – untuk
membentuk pentadbiran Negara Islam yang adil, hebat, sempurna, berkebajikan dan
unggul menurut al-Quran dan Sunnah?
Pada masa sama, usah kita lupa bahawa latar
masa tahun 2020 yang digambarkan dalam novel ini akan sampai dalam masa
terdekat. Tidak seperti tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 yang terus
menjadi teka-teki dan rahsia peribadi Pengerusi BN merangkap Perdana Menteri
tercinta, Datuk Seri Najib Razak.
Menjelang tarikh 21 Disember 2012, ramai
yang “ternanti-nanti” akan kiamat seperti diramalkan – sebenarnya, disalah
tafsir oleh mereka – menurut kalendar Mayan. Akan tetapi, ramalan itu tidak
menjadi kenyataan dan kita masih meneruskan hidup seperti biasa serta
berpeluang menjadi saksi kepada Himpunan
Kebangkitan Rakyat (HKR) pada hari ini (12 Januari 2013).
Bagaimana pula dengan Negara Islam Moden yang
diramalkan menerusi novel Baldatun Thoiyyibatun?
Apakah politikus masih bertelagah dan mengetepikan nilai-nilai Islam dalam
pentadbiran negara menjelang tarikh 13 Ogos 2020? Bolehlah kita mula membaca
novel ini dan membuat catatan serta nota sementara menanti impian murni pengarang
menjadi kenyataan.
[Ulasan buku ini ditulis pada 11 Januari 2013 dan disiarkan
di The Malaysian Insider pada 12 Januari 2013. ©
Uthaya Sankar SB
2013. Sila KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku. Harap
maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan sendiri.]