Monday, 9 July 2012

Sea of Rainbows

Kita sering memperkatakan mengenai budaya Malaysia yang pelbagai dan penuh warna. Segala “warna-warni” itu juga seharusnya dan selayaknya turut terpancar menerusi karya-karya sastera, khasnya cerpen dan novel yang dihasilkan pengarang pelbagai kaum, agama, latar budaya dan tempat tinggal.

Antologi Sea of Rainbows: An Anthology of Multi-Cultural Short Stories from Malaysia (2009) tampil antara lain untuk memenuhi tuntutan itu. Apatah lagi apabila kesemua karya asli dalam Bahasa Malaysia sudah diterjemah ke Bahasa Inggeris, maka ia boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.

Buku ini antara terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (kini Institut Terjemahan & Buku Negara) yang dilancarkan secara besar-besaran di Putrajaya pada 19 Mei 2009. Bagaimanapun, antologi ini sedikit terlewat masuk ke dalam pasaran kerana beberapa isu “hak cipta” dan “izin terbit” yang penerbit terlepas pandang dan mengambil sedikit masa untuk selesaikan secara baik. [BACA DI SINI]

Sasterawan Negara Dr Muhammad Haji Salleh selaku penyunting antologi ini ternyata melakukan suatu kerja yang amat baik dalam mempastikan bahawa buku ini bersifat inklusif.

Hal ini penting kerana dalam pada politikus dan jabatan/agensi kerajaan melaungkan slogan muluk “1Malaysia”, lagu tema yang berkumandang saban hari di stesen radio MinnalFM (Tamil) hanya mengiktiraf tiga kaum (Melayu, Cina, India) sebagai “berpimpin tangan” dan membentuk 1Malaysia.

Sebaliknya, Sea of Rainbows berusaha menyedarkan khalayak (termasuk politikus dan kelompok berfikiran etnosentrik) bahawa negara ini amat unik dan terdiri daripada pelbagai budaya, kaum, etnik, keturunan dan suku kaum. Pengarang yang dipilih juga merentas pelbagai bidang, kepakaran, geografi dan keturunan.

Tahniah kepada ITNM/ITBM dan Muhammad Haji Salleh kerana berjaya memecah tembok kaum/etnosentrik yang sering membayangi penyelenggaraan dan penerbitan buku-buku karya penulis Malaysia apabila mahu diangkat ke peringkat antarabangsa sebagai “sastera Malaysia” (Malaysian literature).

Dalam pada itu, perlu dinyatakan juga bahawa terdapat beberapa kelemahan dan kesilapan penterjemahan yang wajar diperbetulkan sekiranya buku ini diulang cetak.

Sejumlah 17 cerpen oleh sekelompok pengarang muda yang menang pelbagai anugerah/hadiah diterjemahkan khusus untuk antologi ini. Pada bahagian pengenalan dinyatakan bahawa antologi ini sesungguhnya bertujuan menyajikan kepelbagaian budaya di Malaysia kepada khalayak umum.

Antara pengarang yang karya mereka terpilih untuk diterjemahkan dan dimuatkan dalam antologi ini ialah Amaruszati Noor Rahim (Melayu), Daniel Jebon Janaun (Kadazandusun), Faisal Tehrani (Melayu), Jais Sahok (Bidayuh), Jasni Matlani (Bisaya), Jaya Ramba (Iban), Jong Chian Lai (Cina), Mahat Anak China (Semai), Mawar Shafei (Melayu), S.M. Zakir (Arab), Saroja Theavy Balakrishnan (India) dan Siow Siew Sing (Cina).

Walaupun disasarkan bagi khalayak luar, antologi ini tetap merupakan koleksi yang amat sesuai untuk dimiliki oleh sesiapa sahaja yang ingin mengenali citra kepelbagaian budaya masyarakat di Malaysia.

(Uthaya Sankar SB gemar membaca karya kreatif antarabangsa yang diterjemah ke Bahasa Inggeris. Selain menonton filem dan menulis, beliau juga suka tidur apabila ada masa lapang. Ulasan buku ini ditulis pada 26 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 2 Jun 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!