16 May 2011

Ibu Bapa Mangsa Sanggup Maafkan Pembuli

SHAH ALAM, 16 Mei 2011 – Ibu bapa kepada seorang pelajar Tingkatan Tiga yang dibuli sekumpulan lapan pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini pada 13 April lalu sedia memaafkan kelapan-lapan pelajar (pembuli) terbabit.

Kedua-dua mereka bagaimanapun tidak bersedia “memaafkan dan memberi peluang kedua” kepada pengetua terbabit yang bersikap lepas tangan dan cuba mengalihkan tanggungjawab atas kesalahan dirinya kepada orang lain.


Hui Chee Kool dan Kia Ooi Meng berkata, isu penting sekarang bukanlah mengenai lapan pelajar yang membuli dan membelasah anak mereka sehingga cedera parah dan terpaksa mendapat rawatan di hospital.


“Kami cuba berjumpa dengan puan pengetua pada 15 April lalu tetapi dia bersikap lepas tangan dan sehingga kini tidak mengambil sebarang tindakan; termasuk langsung tidak melaporkan insiden itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Selangor (JPS),” kata mereka kepada perunding media selepas mengadakan pertemuan dengan pengetua di sekolah itu, pagi tadi.


Pertemuan tertutup itu turut dihadiri dua pegawai JPS dan seorang pegawai PPD. Manakala dua individu yang hadir bersama-sama pasangan suami isteri itu, serta Yang Dipertua PIBG dan seorang AJK PIBG yang berada di sana tidak dibenarkan turut serta dalam “sesi perbincangan bersama pengetua”.


“Pegawai JPS dan PPD sendiri kata mereka tidak menerima surat bertarikh 12 Mei sedangkan tercatat ‘s.k. PPD, JPS dan Fail Sekolah’ pada surat yang ditandatangani puan pengetua.


“Malah, saya sendiri menemui surat tanpa setem di dalam peti surat pada petang 13 Mei dan saya tidak tahu siapa yang memasukkannya di situ,” kata Ooi Meng.


Chee Kool pula berkata, sudah terlambat untuk pengetua meminta maaf dan minta diberi peluang kedua selepas lebih sebulan kejadian berlaku sedangkan dia (pengetua) bersikap lepas tangan.


“Kalau mahu peluang kedua, elok minta ditukar ke sekolah lain dan boleh memulakan dengan sikap baru sebagai pengetua yang benar-benar berkaliber dan bertanggungjawab.


"Lagi pun, sejak empat tahun lalu, rekod menunjukkan pengetua ini gagal melaksanakan tugas sebagai pentadbir yang baik di sekolah ini,” katanya.