16 May 2011

Ibu bapa pelajar kecewa pengetua ‘lepas tangan’

SHAH ALAM – Ibu bapa pelajar terlibat kejadian dua kes gaduh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda di sini mendakwa kecewa dengan sikap pengetua sekolah itu yang bersikap ‘lepas tangan’.

Kekecewaan itu diluahkan 30 ibu bapa yang berhimpun di hadapan sekolah terbabit, kira-kira jam 12.30 tengah hari.


Kia Ooi Meng, 50, ibu kepada pelajar tingkatan tiga yang mengalami kecederaan di kepala dan anggota badan mendakwa, ketika kejadian pada 13 April lalu, anaknya dipukul lapan pelajar tingkatan empat.


Menurutnya, anak lelakinya diarahkan guru untuk mengambil kerusi di sebuah kelas yang kosong dan ketika itu terdapat lapan pelajar lain di dalam kelas berkenaan.


“Anak saya mengalami pendarahan teruk di kepala dan saya hantar ke Hospital Pakar KPJ di Seksyen 20 untuk dapatkan rawatan.


“Sehingga sekarang, pengetua sekolah tidak beri sebarang penjelasan kepada saya. Laporan polis sudah dibuat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, sehingga kini anaknya yang juga pengawas sekolah itu trauma ke sekolah kerana dikhuatiri kejadian sama berulang.


Kejadian terbabit dipercayai berlarutan pada 20 April lalu sehingga mencetus satu lagi pergaduhan membabitkan 23 pelajar tingkatan empat dan lima diambil keterangan.


Semua pelajar terbabit dibawa ke Balai Polis Seksyen 15 di sini, kira-kira jam 11 pagi dengan menaiki kenderaan polis.


Difahamkan, pergaduhan melibatkan dua kumpulan pelajar bermula jam 10 pagi dan berlarutan ke padang perhimpunan sekolah.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi Sinar Harian berkata, polis sedang mengemas kini kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pendakwa Raya.


Menurutnya, beliau meminta ibu bapa pelajar bersabar dan tidak mengambil tindakan sewenang-senangnya.


(Sinar Harian, 26 April 2011)