15 May 2011

Tamil Nesan

Akhbar Tamil Nesan keluaran 12 Mei 2011 menyiarkan berita mengenai sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam dengan tajuk besar “Perhimpunan Aman Memprotes Pengetua” dan tajuk kecil “Tindakan Ibu Bapa Pelajar Sekolah Menengah Taman Sri Muda”.

Laporan akhbar Bahasa Tamil itu menyatakan bahawa pengetua sekolah berkenaan mengamalkan sikap perkauman sehingga membuatkan ibu bapa, penjaga dan orang ramai di kawasan sekitar taman itu mengadakan perhimpunan aman sebagai tanda protes terhadap wanita berkenaan.


Turut dinyatakan mengenai kes buli dan belasah pada 13 April 2011 serta insiden pergaduhan pada 20 April 2011 di mana pengetua bersikap lepas tangan dan cuba memanipulasi fakta dengan menyalahkan orang lain.


Dalam perhimpunan aman pada pukul 10:00 pagi, 11 Mei 2011, lebih 100 individu pelbagai kaum, etnik dan agama yang terdiri daripada ibu bapa, penjaga, bekas pelajar dan penduduk sekitar dilaporkan hadir di sekitar sekolah berkenaan.


Bagaimanapun, perhimpunan aman hanya diadakan selama lima minit atas nasihat polis dan kenderaan Black Maria milik polis juga kelihatan menanti berdekatan sekolah.


Tiga keping foto turut disiarkan bersama-sama laporan ini. Foto pertama menunjukkan sebahagian ibu bapa dan penjaga yang menyertai perhimpunan aman di hadapan sekolah. Foto kedua adalah apabila polis memberi nasihat kepada ibu bapa sebelum perhimpunan aman bermula. Satu lagi adalah foto Stephen Perumal yang diwawancara oleh wartawan, R. Raja.