[Sila KLIK DI SINI untuk kenyataan media oleh Kavyan berhubung isu ini.] Peribahasa Arab yang diterjemahkan ke Bahasa Inggeris menyatakan, “The straw that broke the camel’s back”. Dalam konteks ini, kejadian yang benar-benar memusnahkan segala harapan dan keyakinan saya terhadap Kementerian Pelajaran adalah “jawapan bodoh” berciri “perkauman melampau” semasa cuba menjelaskan isu yang ditimbulkan di atas. Saya tidak mahu masuk campur dalam soal apakah perkataan yang dimaksudkan dalam isu di atas. Perkara yang membuatkan saya hilang segala kepercayaan terhadap kredibiliti pihak terbabit adalah jawapan yang diberikan. Terbukti menggambarkan “kebodohan”, “kejahilan” dan “perkauman melampau” yang sekali gus memusnahkan harapan membina Bangsa Malaysia dengan menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama, latar belakang, adat, budaya dan agama. Saya juga ada alasan untuk mempercayai teori konspirasi bahawa memang ada usaha jahat pihak tertentu untuk memanipulasi segala “peluang” yang wujud untuk memusnahkan usaha murni melahirkan Bangsa Malaysia! Sebaik membaca jawapan “kurang ajar” itu di portal rasmi kementerian terbabit – KLIK DI SINI – pada petang 14 April 2011, saya memutuskan bahawa BN sudah “kehilangan” undi saya pada Pilihan Raya Umum akan datang. Mungkinkah BN akan sempat “bertaubat” sebelum PRU-13? Namun, keputusan saya ini tentulah bukan isu besar bagi BN kerana saya hanya “memegang” satu undi. Satu undi tidak akan mengubah “nasib” sesiapa. ... Dalam pada itu, Kenyataan Media Kavyan berhubung perkara ini boleh dibaca DI SINI.