Sejak bangun daripada tidur yang lena, saya kembali tekun meneliti pelbagai perbincangan, maklumat dan pandangan berhubung kontroversi novel Interlok edisi murid.
Selepas segala pekikan dan lolongan di pentas terbuka oleh pihak tertentu sudah reda, barulah gambaran lebih jelas mula kelihatan; benar-benar di depan mata!
Isu sebenar di sebalik segala apa yang berlaku sejak penerbitan novel ini sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) bukanlah seperti apa yang saya fikir selama ini.
Teori terbaru berhubung konspirasi “membunuh” Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) muncul selepas saya meneliti segala apa yang berlaku sejak 15 Disember 2010.
Bagaimana jika teori, malah fakta, yang saya kemukakan ini tidak betul? Tidak mengapa! Kesalahan fakta tidak menjadi masalah kerana “kesalahan fakta” tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum sehingga memaksa apa yang saya kemukakan ini perlu dipinda.
Tambahan pula, saya hanyalah satu watak dalam sebuah faksyen yang merakamkan realiti sosial, sejarah dan fakta.
“Oh, Tuhan!” Fikir saya sebaik bangun; tentunya dengan “T” huruf besar kerana kalau saya menggunakan “Tuhan” untuk agama tertentu dan “tuhan” untuk agama-agama lain, maka saya secara langsung dan penuh sedar membuat kenyataan bahawa saya mengakui ada lebih daripada satu Tuhan. Masya-Allah!
Pada waktu seluruh negara sibuk terlibat dalam kontroversi berhubung novel Interlok edisi murid dari aspek “menentang Interlok” dan “mempertahankan Interlok”, saya pula menemui teori berhubung konspirasi “membunuh” Pak Lah.
Tentulah “membunuh” yang saya maksudkan bukannya tindakan secara fizikal. Mungkin istilah yang lebih tepat adalah “pancung” seperti digunakan penulis veteran, Dr Ilias Zaidi, semasa Dialog Novel Interlok anjuran Persatuan Penulis Nasional (Pena) pada 8 Januari 2011.
Bagaimanapun, saya menggunakan istilah “membunuh” sebagai tribute kepada novel The Da Vinci Code karya Dan Brown dan cerpen “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” iaitu sebuah faksyen oleh Uthaya Sankar SB.
Bayangkan! Sebuah novel yang terbukti mengandungi pelbagai kesilapan bahasa, kesalahan fakta serta menyentuh sensitiviti kaum Melayu, Cina dan India mahu terus dijadikan teks wajib (baca: teks paksa) di sekolah dengan hanya meminda satu perkataan!
[TAMBAHAN: Sila rujuk Modul Pengajaran Komsas Novel Interlok - DI SINI. Jangan baca jika anda ada masalah penyakit jantung!]
Baca teks penuh dalam buku Pulau Pendatang (2015)
© Uthaya Sankar SB 2011. Faksyen ini dipromosikan DI SINI pada 20 Mac 2011, sebelum ditulis pada 20 Mac 2011 dan pertama kali disiarkan di portal berita The Malaysian Insider pada 21 Mac 2011 sebelum didokumentasikan di Blog UthayaSB pada 22 Mac 2011. Baca teks penuh di Pulau Pendatang (2015).