13 Jan 2011

Cereka UPSR - Mari Terbitkan Cereka!

Terima kasih kepada adik-adik yang setia mengikuti ruangan ini sejak Mei 2010. Semoga segala ilmu dan panduan yang dikongsikan membantu adik-adik menghasilkan karangan cereka yang bermutu dan disukai guru.
.

Kepada adik-adik yang sudah tamat Tahun Enam dan bersiap sedia untuk melangkah ke sekolah menengah, jangan lupa segala panduan yang dipelajari selama ini. Tentu sahaja adik-adik boleh memanfaatkannya apabila menulis karangan dalam persekitaran baru yang lebih mencabar.

.

Adik-adik yang kini sudah bersedia “meninggalkan” pembacaan majalah e-baca tentu sahaja boleh sentiasa berkunjung atau melawat kandungan majalah penuh informasi ini dari semasa ke semasa.

.

Malah, adik-adik juga wajar menggunakan segala ilmu yang ditimba sebelum ini untuk berusaha pula menghasilkan karangan cereka yang tentu sahaja akan dinilai secara adil untuk disiarkan di majalah e-baca.

.

Bayangkan! Adik-adik pernah membaca majalah e-baca semasa belajar di sekolah rendah dan apabila adik-adik melangkah ke sekolah menengah, adik-adik sudah mampu menghasilkan cerpen (cerita pendek) untuk dibaca oleh adik-adik di sekolah rendah.

.

Sementara itu, apa perancangan adik-adik pada bulan ini? Abang Uthaya ada satu cadangan. Mengapa tidak adik-adik menyelongkar buku-buku nota dan karangan sepanjang penggal persekolahan lalu?

.

Cuba baca semula karangan cereka yang pernah adik-adik hasilkan. Perhatikan komen dan pembetulan yang dibuat guru. Adakah adik-adik berasa seronok membaca karangan itu? Jika jawapannya adalah “Ya” maka mengapa tidak adik-adik mengusahakan supaya karangan bermutu itu terbit di majalah?

.

Dalam keluaran lalu, sudah diterangkan mengenai penghasilan karya yang asli. Maka, sekiranya karangan cereka yang adik-adik tulis adalah asli, eloklah dikirim ke majalah e-baca untuk diterbitkan.

.

Berikut beberapa perkara yang perlu dilakukan jika adik-adik mahu merebut peluang untuk melihat karya adik-adik diterbitkan:

..

1. Pastikan karangan cereka yang dihasilkan itu adalah asli dan tidak mengandungi apa-apa unsur peniruan.

.

2. Karangan yang biasanya adik-adik tulis di sekolah panjangnya sekitar 80 patah perkataan. Bagi tujuan penerbitan di majalah, cuba tokok-tambah supaya cereka itu menjadi sekurang-kurangnya 100 patah perkataan.

.

3. Besar kemungkinan karangan cereka yang adik-adik tulis itu tidak mempunyai dialog. Maka, cuba masukkan dialog atau perbualan yang sesuai.

.

4. Untuk mempelajari cara menulis dialog yang betul, sila rujuk cerpen-cerpen yang disiarkan di majalah e-baca.

.

5. Adik-adik juga amat wajar merujuk nota-nota yang disiarkan dalam ruangan “Cereka UPSR” sejak Mei 2010. Seperti yang ditekankan sejak dahulu, panduan yang diberikan bukan hanya bagi menulis karangan untuk UPSR, sebaliknya bertujuan membimbing adik-adik menjadi penulis karya kreatif bermutu.

.

6. Adik-adik masih boleh mengirim karya bertulis tangan dan dikirim melalui pos. Walau bagaimanapun, Abang Uthaya percaya bahawa ramai dalam kalangan adik-adik ada kemudahan Internet dan alamat e-mel peribadi.

.

7. Sekiranya adik-adik tiada kemudahan Internet atau alamat e-mel, adik-adik boleh meminta bantuan ibu bapa dan guru-guru. Tentu sahaja mereka akan bersedia membantu sekiranya adik-adik mahu berusaha mengirim karya untuk disiarkan di majalah e-baca.

.

8. Adik-adik tentu celik IT dan tahu menggunakan program Microsoft Word untuk menaip. Jadi, sila taip semula karangan adik-adik dengan kemas dan simpan (save) dengan cermat.

.

9. Apabila menaip manuskrip cerpen menggunakan komputer, adik-adik perlu menggunakan format yang betul, iaitu saiz fon 12 dan ditaip langkau dua (double spacing).

.

10. Apabila menaip, mulakan dengan menaip tajuk karangan cereka, diikuti nama adik-adik. Selepas itu, mulalah menaip semula manuskrip sulung adik-adik!

.

11. Adik-adik perlu mahir membuat perenggan. Elakkan perenggan yang terlalu panjang kerana pembaca akan terasa penat membacanya.

.

12. Bagi setiap dialog, adik-adik perlu memulakan pada perenggan baru.

.

13. Apabila manuskrip cerpen adik-adik sudah siap, taip “TAMAT” sebagai tanda bahawa cerita sudah ditamatkan.

.

14. Seterusnya, taip nama penuh adik-adik, alamat rumah, nama dan alamat sekolah, nombor telefon serta alamat e-mel. Maklumat ini penting untuk membantu editor menghubungi adik-adik jika perlu.

.

15. Adik-adik perlu menyemak manuskrip berulang kali bagi memastikan tiada kesalahan bahasa dan tanda baca. Sila dapatkan bantuan ibu bapa, abang, kakak atau guru-guru.

.

16. Apabila manuskrip cerpen sudah siap, adik-adik bolehlah mengirimnya secara lampiran (attachment) kepada Abang Uthaya melalui alamat e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk dibaca dan diberi komen. Karya yang bermutu akan disalurkan kepada editor majalah e-baca untuk diterbitkan.

..

Tunggu apa lagi? Mari terbitkan cereka!

...

(Panduan ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan Bengkel Cereka UPSR anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan dan disiarkan dalam majalah e-baca, Disember 2010. Ikuti Bahagian Sembilan dalam majalah e-baca keluaran Januari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk panduan mengirim manuskrip cereka bagi tujuan penerbitan di majalah dan sila KLIK DI SINI untuk maklumat aktiviti Kavyan.)