Friday, 14 January 2011

Saya Mahu Hadir dengan Semangat Ahimsa

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) merakamkan rasa sedih dan kecewa kerana isu yang tercetus akibat novel Interlok (edisi murid) semakin jauh daripada titik penyelesaian yang sama-sama diharapkan oleh semua pihak yang mencintai sastera kebangsaan dan tanah air.
.
Saya selaku Presiden Kavyan akan menghadiri perhimpunan anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan 21 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Rumah Gapena, Kuala Lumpur pada Sabtu, 15 Januari 2011 sebagai tanda ‘sokongan neutral’.
.
Maksud saya, kumpulan yang terlibat dalam perhimpunan itu rata-rata adalah rakan-rakan saya dalam bidang bahasa, sastera, seni dan budaya sejak lebih 20 tahun lalu; serta Kavyan mempunyai pengalaman bekerjasama dengan mereka dalam menjayakan pelbagai aktiviti sejak lebih 10 tahun lalu.
.
Ada beberapa pihak di luar Kavyan menasihatkan saya supaya tidak hadir pada perhimpunan ini kerana bimbang berlaku apa-apa yang tidak diingini berikutan ‘sentimen’ yang wujud sekarang ini, tetapi saya bertegas mahu hadir kerana saya yakin dan percaya kita sama-sama mahu menenangkan keadaan dan memulihkan situasi; bukan menjadikannya lebih membinasakan.
.
Saya juga rasa sedikit bersalah kerana wakil Kavyan tidak berpeluang hadir semasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) mengadakan dialog pada 8 Januari 2011. Jika tidak, mungkin ada ruang dan peluang lebih cerah untuk menjadi ‘jambatan’ yang mungkin mampu menghubungkan dua ‘kumpulan’ besar dalam usaha menenangkan keadaan sebelum menjadi lebih parah.
.
Maka, saya akan hadir di Rumah Gapena pada 15 Januari 2011 untuk menghulurkan salam perpaduan serta bertemu rakan-rakan sambil mendukung semangat “ahimsa” yang turut menjadi amalan idola saya, Mahatma Gandhi.
.
Saya akan menulis sedikit catatan di blog ini pada pukul 12:00 tengah hari (waktu Malaysia), 15 Januari 2011 - BACA DI SINI - sebelum berangkat ke Rumah Gapena. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat perhimpunan berkenaan. Nota: Sambutan Ponggal juga pada 15 Januari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca catatan saya di akhbar Sinar Harian pada 15 Januari 2011.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!