5 Oct 2009

Apa Khabar Sandakan?

Seawal pukul 5:30 pagi, Rajan sudah datang untuk membawa saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).


Selepas mendaftar masuk bagi penerbangan MH2710 ke Sandakan, kami bersarapan sandwic dan teh di Asian Café. Bayaran yang ternyata tidak setimpal dengan makanan yang kurang menyelerakan.


Tidak lama kemudian, Rajan membawa kereta saya ke tempat kerjanya sementara saya menunggu penerbangan ke Sandakan, Sabah pada pukul 8:05 pagi.


Pejalanan selama sekitar 2 jam 40 minit itu saya isi dengan membaca akhbar The Star dan majalah dalam penerbangan, Going Places.


Antara berita yang mencuri tumpuan adalah bahawa Agensi Anti Dadah Kebangsaan memerlukan sukarelawan.


Dalam kerancakan berkempen di Bagan Pinang, nampaknya ada pihak yang baru menyedari bahawa ada kawasan tertentu di Port Dickson yang tidak mempunyai lampu jalan! Rakyat Diutamakan?


Tidak terkecuali juga suatu kenyataan lucu yang mengatakan Kelantan mundur. Entahlah dari segi mana.


Lebih melucukan membaca berita bahawa Presiden MIC mengatakan bahawa MIED dan AIMST adalah milik peribadinya dan bukan milik parti. Apakah reaksi para ahli tegar MIC selepas ini?


Berita-berita berkaitan susulan gempa bumi di Padang, Sumatera juga menyentuh perasaan. Apapun, mengenai pelbagai “tabung segera” yang diwujudkan, saya tetap tidak yakin bahawa bantuan akan sampai sepenuhnya kepada mangsa terbabit. Saya tidak mahu berpura-pura mempercayai segala “tabung segera” ini!


Turut disiarkan laporan khas mengenai “Boh Plantations” yang kini berusia 80 tahun. Teringin pula berada di sana!


Artikel bertajuk “He Ain’t Heavy, He’s My Brother” dalam Going Places (Oktober 2009) mengenai Henry Wanyoike dan Joseph Kibunja turut menyentuh perasaan.


“I’ve lost my sight but I have never lost my vision. … I am not ashamed to be blind,” kata Henry. Sila KLIK DI SINI untuk membaca lagi mengenai ahli sukan cacat penglihatan itu.


Turut menarik perhatian adalah iklan CarloRino yang menampilkan model yang “bergaya” dengan buku! Sila KLIK DI SINI untuk maklumat “Jom Bergaya dengan Buku!”


Penumpang wanita di sebelah bertanya adakah saya peniaga di Sandakan. Saya katakan tidak. Katanya, rata-rata kaum India di Sandakan adalah peniaga atau guru.


Pesawat MH2710 mendarat di Lapangan Terbang Sandakan pada pukul 10:45 pagi dalam keadaan cuaca cerah dan suhu 32 darjah Celsius. Inilah kali pertama saya ke sini.


Berbading pengalaman ke Sibu, saya telah merujuk peta untuk mengetahui kedudukan geografi Sandakan.


Di lapangan terbang, seorang pegawai imigresen bertanya adakah saya datang dari India! Apabila saya menjawab “Semenanjung”, beliau meminta maaf beberapa kali sambil menambah, “Saya hanya menjalankan tugas.”


Kenderaan Jabatan Pelajaran sedia menunggu untuk membawa saya ke Hotel Sabah. Melalui paparan pada pintu gerbang, saya mendapat tahu bahawa Sandakan digelar “Bandar Raya Alam Semula Jadi”.


Sebuah bandar raya yang ternyata maju dan tidak berapa berbeza dengan bandar-bandar lain di Semenanjung Malaysia.


Masuk ke Bilik 613 Hotel Sabah, saya terus memblog dan memuatnaik foto-foto ke Facebook sebagai dokumentasi dan untuk makluman rakan-rakan. Rakan sebilik saya, Sdr Ahmad Fazli dari MBKM.