4 Oct 2009

Berehat-rehat

Saya, Devishi dan Prabhawathy bersarapan di Restoran Sri Paandi, Petaling Jaya pada 4 Oktober 2009. Devishi memakai kemeja-T Sarawak yang sempat saya beli di Sibu pada Jumaat.

Selepas itu, kami ke Bilik Operasi Unit Bencana RTM untuk meninjau keadaan di sana. Saya mengandaikan bahawa keadaan akan sibuk sejak berlakunya gempa bumi di Sumatera baru-baru ini.

Sebaliknya, keadaan kelihatan tenang. Mungkin semuanya di bawah kawalan. Memandangkan saya mengambil cuti tahunan pada 1-9 Oktober, eloklah saya tidak “menyibuk” dalam urusan para petugas.

Kami bertiga singgah di Brickfields kerana Prabha mahu membeli lagu-lagu filem Tamil terbaru dalam bentuk MP3. Kemudian saya memandu pulang.

Saya ke kedai ubat Cina di Taman Sri Muda, Shah Alam untuk membeli ubat bagi meredakan batuk, selesema dan kahak. Semoga kesihatan akan pulih sebelum saya ke Sandakan, Sabah awal pagi esok.

Pada sebelah petang, saya ke rumah Puan Shyamala, Encik Tharma dan Arun. Selepas menghantar Arun ke kelas guitar, Puan Shyamala dan saya minum di restoran berdekatan sambil berbual-bual tentang hal itu dan hal ini.

Antara lain, saya menyarankan supaya Encik Tharma dan Puan Shyamala melayan Arun sebagai seorang dewasa; umurnya 16 tahun sekarang. Pasti sahaja Arun pada usia 16 tahun mengingatkan saya kepada Ganesan pada usia yang sama, sebelas tahun lalu!

Kemudahan WiFi yang terdapat di restoran berkenaan (walaupun tiada notis dipasang untuk memaklumkan mengenainya) memungkinkan saya melayari internet dan membalas beberapa e-mel.

Kemudian, kami bertiga ke Restoran Jalan Seratus Tahun di mana saya memesan sup bebola ikan. Semuanya dengan harapan dapat meredakan batuk, kahak dan selesema.

Pulang ke rumah sekitar 7:30 malam dan membuat persiapan yang perlu untuk ke Sandakan. Pasti sahaja sempat juga memblog!